Manisfestasi tujuh pengembara Melayu hebat | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 3 July 2021

MANIFESTASI TUJUH PENGEMBARA MELAYU HEBAT
 

 

Pisang emas dibawa belayar
M
ari diletak di atas peti
utang emas boleh dibayar
Hutang budi dibawa mati

 

Bangsa Melayu ini pengembara hebat. Pada zaman dahulu, mereka mengkaji bintang dan arus laut, menggunakan pemerhatian, naluri dan intuisi semulajadi tentang laut.

 

Sejak dari zaman Mesir kuno,  bangsa Melayu belayar, untuk berdagang dan membuka dunia baru. Orang Melayu membina bahtera, jong dan pinis, menggunakan kayu cengal untuk badan kapal, buluh disulam menjadi layar dan kulit pokok gelam untuk memastikan kapal berdaya-tahan untuk belayar jauh.

 

Tambahan pula, teknik pasak, dan bukannya paku besi yang mudah berkarat memastikan kapal orang Melayu begitu utuh.

 

Dalam artikel saya akan memperkenalkan semula tujuh pelayar dan pengembara hebat membuktikan bahawa jiwa Melayu itu jiwa pengembara yang kental dan berani meredah lautan bergelora atau angkasa yang luas.

 

  1. Sang Nila Utama, 1299
  2. Sri Parameswara Paduka Sri Maharaja, 1411
  3. Hang Tuah Laksamana melaka 1500an
  4. Enrique dari Melaka 1520an
  5. Laksamana Keumalahayati, 1600an
  6. Mohamad Hamzah 1938
  7. Sheikh Muszaphar, 2007

 

 

Sang Nila Utama membuka Singapura 1299

Sang Nila Utama, putera kepada   Sri Maharaja Sang Sapurba Paduka Sri Trimurti Tri Buana dan Wan Sendari dari kerajaan Srivijaya telah pergi memburu di Pulau Bintan yang indah. Di sana, Sang Nila Utama ternampak seekor rusa dan mengejarnya sehingga ke puncak tertinggi. Pemandangan laut terbentang luas di hari itu dan Sang Nila Utama ternampak sebuah pulau dengan pantai berpasir putih menawan.

 

nila
ARCA Sang Nila Utama di Singapura.

 

Sang Nila Utama pun belayar ke tanah seberang dengan para para pelautnya.  Namun apabila separuh jalan, tiba-tiba,  ribut taufan melanda.  Pelautnya terus membuang semua barangan berat ke laut tetapi kapal mulai karam sedikit demi sedikit. Akhirnya Sang Nila Utama membuang mahkotanya ke laut.  Setelah dibuang, tak semena-mena, ribut pun berhenti dan Sang Nila Utama selamat tiba ke Tumasek.

 

Tiba-tiba terlihat haiwan berbadan merah, berkepala hitam dan berdada putih; sangat gah rupanya. 

“Apakah binatang itu?”

“Ampun Tuanku, Singa Tuanku…”

“Aaaah. Begitu hebat! Kita namakan tempat baik ini Singapura. Mari kita bertemu rakyat di sini….”

Dengan itu, Sang Nila Utama membuka negeri baru. Singapura bermaksud kota singa atau bandar singa dan nama itu kekal hingga hari ini, antara pelabuhan terpesat dunia hari ini.

 

 

Sri Parameswara Paduka Sri Maharaja ke China 1400s

Sri Parameswara Paduka Sri Maharaja merupakan raja kelima dan terakhir Singapura. Ia mendirikan Kerajaan Melaka pada hujung abad ke-14.  

 

para
Parameswara... mengikut imaginasi pelukis.

 

Hubungan antara negara Melaka dan Cina bermula pada awal abad ke-15. Pada 1403, utusan dagang rasmi pertama Cina yang diketuai oleh Laksamana Yin Qing tiba di Melaka. Laksamana Zheng He pula sampai pada tahun 1409. Kemudian, Parameswara diiringi oleh Laksamana Zheng He mengadakan kunjungan rasmi ke China pada 1411. Sri Parameswara bersama 500 pengiring memberi penghormatan kepada Maharaja Yongle yang mengalu-alukan kedatangan Raja Melaka dengan besar hati.

 

 “Wahai Raja Melaka yang merentas lautan dari jauh ke ibu kota dengan yakin tanpa sebarang khuatir, Tuhan telah menyelamatkan mereka yang taat setia dan tulus ikhlas. Beta berbesar hati dapat mengenali Raja Melaka….”

 

Dengan menjalin hubungan dengan kerajaan Ming di China, Melaka memperoleh kekuatan strategik daripada serangan-serangan Siam dan Majapahit. Ini memperhebatkan posisi Melaka sebagai pelabuhan utama - ‘crossroads’ antara timur dan barat.

 

Pada tahun 1414, Sri Parameswara memeluk ugama Islam dengan nama Sultan Megat Iskandar Syah berangkat sekali lagi ke negara China.

 

Persahabatan China Melaka berterusan untuk enam abad setelah baginda  belayar ke China.

 

 

Hang Tuah Laksamana Melaka, 1500s

Dalam Hikayat Hang Tuah, Laksamana Hang Tuah tersohor sebagai pendekar,  pengembara , pelayar,  pakar bahasa (12 bahasa) dan  tentunya Laksamana mengawal keselamatan Melaka dari ancaman musuh. Perairan Selat Melaka itulah tempat berlabuh bahteranya Mendam Berahi.

 

volatiliti
Arca Hang Tuah di Muzium Negara.

 

 

Hang Tuah telah belayar seluruh dunia, ke timur dan barat. Seluruh alam Nusantara, ke China, ke Ryukyu (Okinawa) dan ke barat seperti  VijayaNagar di mana ia telah memperlihatkan kehebatan mengawal kuda mengamuk kepada Raja. Hang Tuah juga dikatakan ke Rom untuk memohon bantuan - pada masa itu, dikatakan pemerintahan Rom itu berpusat di Istanbul setelah kerajaan Uthmaniyah membebaskan Konstantinopel dan memanggilnya Istanbul. Inilah Rom yang dimaksudkan dalam Hikayat Hang Tuah? Lebih logik Hang Tuah memohon pertolongan dari kerajaan Islam dari Rom di Itali.  Hang Tuah juga telah belayar ke dunia Arab, menunaikan haji di Mekah.

 

Hingga abad ke-20, Hang Tuah mendapat tempat istimewa di hati bangsa Melayu di Malaysia dan Indonesia terutamanya - sehingga kini  ada Universitas Hang Tuah di Surabaya khas untuk ilmu Kelautan dan Pelayaran serta jurusan Kedokteran, Politik , Hukum dan Psikologi.

 

Sudah tiba masanya di Malaysia kita menghargai tokoh Melayu Nusantara ini.

 

Hilang disaput awan putih

Hilang disaput awan kuning

Hilang disaput awan biru

Sekali membawa edar ke kiri

Dua kali membawa edar lagi

Hilang disaput mega-mega

 

Rangkap di atas adalah petikan dari Hikayat Malim Deman merujuk kepada penerbangan Malim Deman ke kayangan menaiki Burung Buraj. Bukankah hebat imaginasi penglipur lara kita yang begitu berseni pada zaman dahulu?

 

Seterusnya, saya akan memperkenalkan pengembara hebat membuktikan bahawa jiwa Melayu itu jiwa pengembara yang kental dan berani. Memang Orang Melayu dahulukala mengkaji bintang di langit bagi mengharungi lautan. Terbukti apabila kita meredah dunia baru termasuk angkasa lepas, mengejar bintang.

 

 

Panglima Awang Mengelilingi Dunia 1520s

‘Panglima Awang' aka Henry the Black of Melaka yang belayar bersama Ferdinand Magelan diakui oleh ahli akademik dunia sebagai orang pertama yang kemungkinan besar telah mengelilingi dunia. 

 

Statue of Enrique in the Maritime Museum of Malacca, Malacca City, Malaysia
ARCA Enrique di Muzium Maritime Melaka.

 

Dr Joyce Chaplin, pemegang sarjana Fullbright dan Sejarawan Harvard University, dalam bukunya yang berjudul “Round About the Earth: Circumnavigation from Magellan to Orbit,” mengandaikan, kemungkinan besar orang pertama yang mengelilingi dunia adalah seorang Melayu,  dikenali dengan nama Enrique de Malacca, seorang hamba Ferdinand Magellan, yang diperolehnya semasa perang di Melaka. Magellan membawanya ke Sepanyol dan kemudian mereka belayar ke Filipina. Magellan  berharap Enrique bertindak sebagai penterjemah dan navigator di beberapa wilayah tertentu di Asia.

 

Apabila Magellan dibunuh Dato Lapu-Lapu, Enrique dikatakan pulang ke Dunia Melaka.

 

Kisah Enrique ini sangat dekat di hati saya sehingga menulis novel YA bertajuk NIK and The Secrets of the Sunset Ship berdasarkan kisah Enrique tau Panglima Awang.

 

Baru baru ini, dalam Webinar Representations of Enrique de Malacca pada 25 Jun 2021, dihadiri panel dari Kuala Lumpur, Lisbon, Baguio dan New York, saya memberikan pandangan bahawa pada masa itu, Melaka meliputi  Semenanjung, Sumatera dan wilayah yang luas. Oleh itu, benarlah Enrique berasal di kawasan di bawah Kesultanan Melaka. Enrique adalah produk Nusantara sebenarnya, kebanggan Kepulauan Melayu di mana kita semua dapat menikmati dan menghargai legasi dan sejarahnya. Ini diperakui panel.

 

Tentulah kita patut memberi penghormatan sewajarnya kepada Enrique of Malacca.

 

 

Keumalahayati Laksamana Wanita Agung, Awal abad ke 17

Wanita terulung mengetuai Armada Acheh ini boleh berbahasa Arab, Inggeris, Perancis, Sepanyol selain Bahasa Melayu dan Acheh. Dari kecil ia sangat mencintai ilmu perlautan mengikuti Mahad Baityul Makdis Kesultanan Aceh Darussalam uituk mempelajari ilmu angkatan bersenjata.

 

Keumalahayati Laksamana Wanita Agung
Keumalahayati Laksamana Wanita Agung, mengikut imaginasi pelukis.

 

Sebenarnya, cinta ini terzahir dari minat yang diturunkan oleh ayahnya,  Laksamana Mahmud Shah yang gugur menentang Portugis pada tahun 1575  di Famosa Melaka, disusuli suaminya juga Laksamana Muda Ibrahim.

 

Keumahayati mengambil alih dan di bawah pimpinannya,  menyerang dan menawan tiga buat kapal Portugis. Selepas itu Sultan Aladdin Riayat Shah Al Mukammal mengiktiraf Laksamana Keumalahayati yang memimpin laskar Inong Balee yang terdiri dari janda perang bersemangat waja melawan Belanda dan berpakat dengan utusan khusus Ratu Elizabeth I dari Inggris!

 

Kisah perjuangan antara armada pasukan Portugis dengan Kesultanan Aceh Darussalam yang dipimpin oleh Sultan Alauddin Riayat Syah al-Mukammil amat sengit. Pertempuran sengit terjadi di Teluk Haru dan dimenangi oleh armada Aceh, tetapi dua laksamana dan ribuan perajuritnya gugur di medan perang.

 

Keumalahayati diberikan tugas memimpin Armada Inong Balee dan diangkat sebagai laksamananya. Armada ini berkekuatan 2,000 orang, pasukan khusus terdiri dari para janda Inoong Balee mengawasi perairan Selat Melaka, mereka mengintai armada-armada Portugis,  Belanda, dan Inggeris dan kisah Keumalahayati membunuh Jenderal Cornelis de Houtman yang terkenal kejam dalam pertempuran satu lawan satu di geladak kapal pada 11 September 1599.

 

Keunalahayati juga menjalin ikatan persahabatan dengan utusan Ratu Elizabeth I dari Kerajaan Inggeris, pada tahun 1602.

 

Kehebatannya memimpin sebuah angkatan perang maritim ketika itu diakui oleh Negara Belanda, Portugis, Inggeris, Arab, China dan India.

 

 

Mohamad Hamzah, Penerbang Pesawat Pertama 1938

Ramai tidak tahu bahawa penerbang pertama dunia sebenarnya seorang Islam pada tahun 875 Masehi. Abu al-Qasim Abbas bin Firnas ibn Wirdas al-Takurini yang juga dikenali sebagai Abbas bin Firnas dari Andalusia.

 

acer
Tugu Abbas bin Firnas di lapangan terbang Baghdad.

 

Beliau adalah seorang  ahli astronomi, doktor, ahli kimia, jurutera dan pemuzik Andalusia, serta penyair berbahasa Arab telah membuat penerbangan pertama selama 10 minit di Cordoba. Sebagai perbandingan, Wright bersaudara membuat penerbangan pertama 1000 tahun kemudian selama 12 saat!

 

Inilah sebabnya adalah penting kita merekodkan kejayaan kita sendiri. Bagi dunia Melayu pula, Mohamad Hamzah, menjadi anak Melayu pertama berjaya memperolehi sijil menerbangkan kapal terbang bertauliah dalam usia 26 tahun pada tahun 1938.

 

Juruterbang kelahiran Pulau Pinang pada tahun 1912, berkhidmat dengan Kelab Penerbangan Pulau Pinang setelah tamat persekolahannya. Khidmat cemerlang Mohamad Hamzah, mendapat perhatian daripada Presiden Kelab, E.Newbold.

 

Beliau menggalakkan Mohamad Hamzah berlatih memandu kapal terbang dan diberikan sijil penuh setelah selesai tempoh Latihan sebagai juruterbang di Negeri-negeri Selat dan memandu kapal terbang jenis Tiger Moth, Gypsy Major, Avero Cadet dan Chipmunk.

 

Kejayaan Mohamad Hamzah ini membuktikan kebolehan bangsa dalam bidang penerbangan ini. Kini anak Melayu sudah boleh membina komponen kapalterbang terhebat dunia, apatah lagi menerbangkan kapal terbang.

 

 

Sheikh Muszaphar Angkasawan Negara  2007

Program Angkasawan Malaysia diadakan pada tahun 2006 untuk memilih calon angkasawan dari 11,275 orang yang mendaftarkan diri.

 

Sheikh Muszaphar Shukor, seorang doktor, akhirnya berjaya setelah melalui saringan dan latihan. Setelah selesai menjalani latihan di Star City, Sheikh Muszaphar menjalani latihan selama 18 bulan di Rusia. Dia akhirnya  berlepas ke angkasa pada 10 Oktober 2007 dengan menaiki Soyuz TMA-11.

 

Sheik Muszaphar Angkasawan Negara 
Sheikh Muszaphar Angkasawan Negara 

 

Misi selama 11 hari ini telah berjaya dijalankan dari 10 Oktober 2007 jam 9.21 malam waktu Malaysia dan Angkasawan Dr Sheikh Muszaphar selamat kembali ke bumi pada 21 Oktober 2007 pada jam 6.44 petang waktu Malaysia. Beliau merupakan orang Islam pertama yang menjalani ibadah berpuasa dan meraikan Aidil Fitri pada 1 Syawal di angkasa lepas. Selain dari kajian sains, Dr Sheikh Muszaphar melengkapkan panduan beribadah di angkasa dan kisah pengembaraannya ke angkasa lepas menjadi inspirasi pada anak muda.

 

Dunia Hikayat sebenarnya mengajar kita bahawa segala pengembaraan itu, baik kisah Raja Chulan turun ke dasar laut Dika dalam pesawat kaca berantai emas atau Malim Deman terbang ke Kayangan menaiki Burung Buraq itu serta Awang Sulong Merah Muda belayar seluruh kepulauan Melayu dan Jawa itu tidak mustahil.

 

Impian bakal terbang menjadi kenyataan.

 

 

Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Sabtu.   Emel : ninotaziz@gmail.com

 

Klik di sini untuk koleksi DARI HIKAYAT KITA

 

 

Portfolio Tags