Skip to main content

Malaysian Genomics, MAHSA Health bentuk kerjasama strategik teroka peluang perkhidmatan kesihatan dan kesejahteraan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Malaysian Genomics Resource Centre Berhad (Malaysian Genomics) anak syarikat milik penuh MGRC Therapeutics Sdn. Bhd. menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan MAHSA Health Sdn Bhd (MAHSA Health) untuk membincangkan pembentukan perkongsian strategik yang menggalakkan pendidikan berasaskan amalan, penyelidikan dan pertukaran pengetahuan.

 

Kerjasama itu adalah rangka kerja yang mana MGRC Therapeutics dan MAHSA Health boleh meneroka peluang di dalam perkhidmatan berkaitan kesihatan dan kesejahteraan.

 

Ia termasuk mewujudkan peluang untuk penempatan klinikal pelajar, latihan amali dan pekerjaan, mengenal pasti peluang untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan kolaboratif (R&D) dan mencipta peluang dalam latihan, seminar serta persidangan.

 

Pengarah Eksekutif Malaysian Genomics, Azri Azerai berkata, mereka mengalu-alukan peluang untuk berkongsi pengalaman kami dalam genomik, bioinformatik dan biofarmaseutikal dengan MAHSA Health melalui kerjasama tersebut. 

 

"Dengan menyediakan input dan pandangan industri, kami berharap dapat memberi manfaat kepada pelajar di Universiti MAHSA dengan potensi besar yang ditawarkan oleh pelbagai sains penjagaan kesihatan untuk semua.

 

“Melalui kerjasama ini, kami juga berharap dapat mengenal pasti peluang untuk menambah baik penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan primer yang bersepadu dan holistik.

 

"Selain itu, ia termasuk perkhidmatan pemeriksaan genetik untuk meningkatkan kehidupan individu dalam jangka masa panjang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

genomics
Azri Azerai

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif MAHSA Health, Datin Dr Maya pula berkata, idea utama MAHSA Health adalah untuk meningkatkan kualiti hidup dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan dan kesejahteraan kepada komuniti. 

 

"Perkhidmatan penjagaan kesihatan berasaskan pasukan kami menyediakan penjagaan perubatan yang komprehensif kepada pesakit dengan matlamat untuk mendapatkan hasil kesihatan yang maksimum.

 

 

mahsa
Datin Dr Maya

 

 

“Melalui kerjasama ini, kami meramalkan peluang dan usaha kolaboratif dalam banyak bidang, baik dalam industri penjagaan kesihatan dan pendidikan dalam menyediakan ekosistem pengajaran, latihan dan menghasilkan perkhidmatan kepada negara di seluruh negara," katanya. - DagangNews.com