Malaysia mesti elak menjadi Argentina – inflasi 30% setahun | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 13 August 2022

Malaysia mesti elak menjadi Argentina – inflasi 30% setahun

Sin Chew Jit Poh dan Oriental Daily 12 Ogos 2022

 

 

 

ARGENTINA kekal sebagai negara yang merekodkan kadar inflasi tertinggi di dunia dan penduduknya telah mula berdepan dengan masalah hiperinflasi sejak tahun 1980.

 

Pada tahun 2018, kadar inflasi telah melebihi 30% setiap tahun dan bank pusat tempatan juga meramalkan kadar inflasi akan meningkat sebanyak 90% pada tahun ini.

 

Boleh dikatakan penduduknya telah hilang keyakinan terhadap mata wang negara mereka.

 

Menurut The New York Times, penduduk Argentina akan membelanjakan setiap sen yang mereka ada dan jika berpeluang untuk membuat pinjaman, maka mereka tidak akan membeli secara tunai.

 

Memandangkan inflasi semakin memburuk, jumlah penduduk yang miskin juga semakin bertambah, sebanyak 7% berbanding lima tahun yang lalu.

 

Lebih 100 tahun dahulu, Argentina merupakan sebuah negara yang kaya dan maju dari segi ekonomi di dunia.

 

Pada masa itu, ramai orang Eropah tidak teragak-agak untuk mengembara jauh demi bertapak di bumi idaman ini.

 

Bagaimanapun, negara yang sangat bergantung kepada pembangunan pertanian mengalami kemerosotan mendadak dalam permintaan hasil pertanian selepas Perang Dunia I dan Perang Dunia II, sehingga membawa kepada kemurungan ekonomi negara itu.

 

Tambahan lagi dengan pemerintahan diktator tentera, Argentina tidak dapat kembali ke zaman kegemilangannya.


 

argentina

 


Sehingga hari ini, negara itu masih mencetak wang secara menggila untuk membayar perbelanjaan awamnya yang tinggi dan masih meminjam dengan banyak daripada luar.

 

Bagi menyelesaikan masalah kehilangan pertukaran asing yang berterusan, kerajaan Argentina telah menyekat akses syarikat kepada dolar Amerika Syarikat (AS).

 

Tindakan ini menyebabkan syarikat asing yang besar seperti Nike dan Wal-Mart memilih untuk menarik diri daripada pasaran Argentina.

 

Kembali kepada Malaysia, negara yang sangat bergantung kepada sumber asli, pemberian subsidi yang hampir mencecah ratusan bilion ringgit kepada semua lapisan masyarakat dan terdapat banyak skandal rasuah dalam sektor awam.

 

Patutkah kita sebagai rakyat mengambil mudah perkara ini?

 

Penularan wabak telah menyebabkan had pinjaman kerajaan Malaysia dinaikkan dua kali dan kerajaan berterusan memberi bantuan bagi mengurangkan keperluan mendesak rakyat.

 

Tetapi industri pembuatan masih lagi bergantung sepenuhnya dengan tenaga kerja, persekitaran perniagaan semakin terhad, industri pengeluaran makanan dan keperluan harian sering menjadi mangsa korban kerajaan.

 

Harga komoditi peniaga dikawal ketat, tetapi perbelanjaan kerajaan tidak dihadkan.


 

LCS

 


Belum selesai lagi isu 1MDB, kini timbul pula isu kontrak kapal LCS yang bernilai RM9 bilion. Wang telah diberikan tetapi bayang kapalnya masih tiada.

 

Musang berbulu ayam yang berterusan menghakis kewangan negara, masih tiada tindakan yang diambil sehingga kini.

 

Kekuatan Malaysia berbanding Argentina adalah kerana Industri Kecil dan Sederhana (IKS) masih kukuh dan stabil, begitu juga harga semasa produk mentah dan minyak mentah tidak terlalu teruk.

 

Selagi Malaysia mengekalkan trend pertumbuhan eksport semasa, kita tidak akan menjadi seperti Argentina yang mengalami keruntuhan ekonomi.

 

Menurut Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), dianggarkan ekonomi negara akan mengambil masa dua tahun setengah untuk kembali pulih dan melepasi tahap keluaran ekonomi 2019 sebelum penularan wabak.

 

Pertumbuhan KDNK pada suku kedua perlu menjadi lebih tinggi daripada suku daripada suku pertama iaitu 5%, sekurang-kurangnya mencapai 6% pertumbuhan tahun ke tahun.


 

eko

 


Kerajaan juga perlu melaksanakan penyatuan kewangan untuk kembali ke landasan dan memastikan hutang negara berada pada tahap yang boleh diurus.

 

Bagaimanapun, perlu dielakkan untuk melakukan langkah penjimatan drastik yang boleh menjejaskan golongan yang lemah.

 

Sebaliknya boleh melaksanakan langkah seperti mengekang kenaikan gaji yang tidak munasabah, mengkaji semula pemberian bantuan dan mengurangkan program-program besar yang memerlukan perbelanjaan tinggi, dalam usaha untuk meredakan keresahan ekonomi semasa yang tidak menentu.

 

Meskipun kerajaan perlu menyelaraskan semula subsidi bagi mengelakkan penyalahgunaan, tetapi perlu untuk mengkaji semula rancangan perbelanjaan dan langkah penjimatan agar kebajikan rakyat tidak terjejas.

 

Pengurusan makroekonomi yang berhemat harus menjadi keutamaan khususnya untuk mencapai kemampanan fiskal dan hutang.


 

apa

 


Kerajaan juga harus memberi galakan kepada sektor swasta mengambil peranan besar sebagai enjin pertumbuhan ekonomi, memberi tumpuan kepada ekonomi hijau dan transformasi digital serta penggunaan teknologi baharu.

 

Pilihan Raya Umum (PRU) semakin hampir, akan kedengaran suara-suara jahat yang digunakan oleh politikus untuk memanipulasi dan mengelirukan orang ramai.

 

Sebagai rakyat, kita perlu membuka mata dan jangan sesekali ada perasaan sakit hati atau kecewa dengan situasi politik semasa. Masa depan negara ditentukan oleh kita sendiri. - DagangNews.com

 

 

Artikel ini disiarkan di dalam akhbar Sin Chew Jit Poh dan Oriental Daily 12 Ogos 2022 dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini. - DagangNews.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA

Portfolio Tags