Kolaborasi Pernas-Sabah sasar lahirkan ramai usahawan francais di Sabah | DagangNews Skip to main content

Kolaborasi Pernas-Sabah sasar lahirkan ramai usahawan francais di Sabah

Para usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) akan menerima bimbingan melalui projek Be Your Own Boss (BYOB) yang diperuntukkan oleh Pernas.

KOTA KINABALU 19 Mac –  Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) menjalin kerjasama dengan kerajaan Sabah membantu usahawan-usahawan kecil bumiputera dan bukan bumiputera di Sabah yang terjejas perniagaan berikutan kesan pandemik COVID-19 dengan meneroka bidang francais.

 

Kerjasama itu juga bermatlamat untuk meningkatkan bilangan usahawan IKS di Sabah untuk menceburi bidang perniagaan berlandaskan sistem francais dan pra-francais.

 

Melalui kolaborasi yang dijalankan, para usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) akan menerima bimbingan melalui projek Be Your Own Boss (BYOB) yang diperuntukkan oleh Pernas dan bantuan geran sebanyak RM400,000.00 yang dikenali sebagai Bantuan IKS (BAIKS) di Sabah.

 

Projek BYOB yang diperkenalkan pada tahun 2021 menawarkan 2 program iaitu program “Successful Women Entrepreneurship Engagement Talent (SWEET)” untuk wanita dan program “Young Entrepreneurship Engagement Talent (YOUNITY)” untuk golongan belia.

 

Melalui projek BYOB, para usahawan berpeluang mengikuti latihan berstruktur, padanan perniagaan, pembiayaan dan pemantauan perniagaan selama 6 bulan apabila bermulanya perniagaan.

 

Pernas menyasarkan untuk melahirkan 1,000 francaisi dan prafrancaisi melalui 2 program tersebut.  Sejak projek ini diperkenalkan, seramai 1,070 orang peserta telah mendaftar sebagai peserta BYOB dan sebanyak RM19 juta diperuntukkan dalam melaksanakan projek BYOB.

 

Dengan kolaborasi ini, MID akan menyalurkan geran kepada usahawan yang berjaya menyertai projek BYOB menerusi agensinya, DIDR dengan peruntukan sebanyak RM20,000 bagi setiap usahawan. 

 

Pengerusi Pernas, Datuk Zakaria Mohd Edris berkata, sekurang-kurangnya 20 usahawan di Sabah akan mendapat manfaat daripada kolaborasi yang dilaksanakan.

 

“Majlis pada hari ini menandakan satu lagi komitmen dan inisiatif Pernas dalam merealisasikan mandat dalam menerajui industri francais di Malaysia.   

 

''Pernas  sentiasa mencari peluang untuk bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan, Kementerian, pihak swasta, penggiat industri dan juga badan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan amnya seterusnya merancakkan pertumbuhan industri francais,” tambah beliau.


 

Pernas
Mohd Hilaluddin Abd Shukor (kiri) bertukar-tukar dokumen dengan Tseu Kei Yue di Kota Kinabalu pada 18 Mac 2022.

 

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani memorandum kolaborasi antara Pernas yang merupakan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan Sabah (DIDR) iaitu agensi di bawah Kementerian Perindustrian Sabah (MID) di sini pada 18 Mac 2022.

 

Dengan jumlah geran yang diberikan, Pernas menawarkan pakej perniagaan daripada jenama di bawah program Business In Transformation (BIT) seperti Alap-Alap, Mr. Doonat, Keropok Lekor Masyhur, Nuvis, Chik Satay, Eyda Ice-Cream dan Rollie Café.

 

Pernas

 

Turut diadakan dalam program yang sama ialah sesi penyampaian mock cheque kepada 7 usahawan prafrancaisor bagi jenama-jenama tersebut yang melibatkan jumlah keseluruhan RM365,950.00. Seramai 17 orang peserta BYOB telah hadir di dalam majlis ini.

 

Majlis tersebut turut dihadiri Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah, Tamin Zainal;  Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah, Thomas Logijin; Pengarah DIDR, Tseu Kei Yue; Timbalan Pengurus Besar Kumpulan SEDCO (Hal Ehwal Korporat dan Kewangan),  Azrul Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Pernas, Mohd Hilaluddin Abd Shukor. – DagangNews.com