Kesan Buruk Ajaran Sesat Terhadap Umat Islam | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 11 February 2022

Kesan Buruk Ajaran Sesat Terhadap Umat Islam

 


 

KEWUJUDAN golongan ajaran sesat sentiasa wujud pada setiap masa dan tempat disebabkan oleh kejahilan, kedegilan, mempercayai ilmu daripada sumber yang tidak benar, menyandarkan kepercayaan kepada sangkaan semata-mata, sifat ego, ingin dipuja dan disanjung, keinginan untuk menjadi berbeza daripada yang lain serta tunduk kepada hawa nafsu. 

  

Terdapat beberapa impak negatif ajaran sesat yang timbul dalam kalangan masyarakat Islam yang wajar diambil tindakan dan dibanteras segera kepada individu serta golongan terbabit.

 

Pertama, mencemari kesucian ajaran Islam. Dakwaan bahawa semua agama adalah sama atau penyatuan semua agama termasuk Islam ke dalam satu agama baharu adalah suatu kesesatan.

 

Misalnya, ajaran pluralisme agama yang mendakwa tiada satu pun agama tunggal dan eksklusif yang boleh disifatkan sebagai agama yang benar.

 

Sedangkan, Islam adalah agama yang telah lengkap dengan pengutusan nabi dan rasul-Nya yang terakhir iaitu Nabi Muhammad SAW.

 

Justeru, dakwaan wujud kitab lain selain al-Quran, nabi baharu sama ada nabi yang bersifat universal atau setempat seperti Rasul Melayu, syariat baharu atau tafsiran baharu terhadap syariat yang telah jelas dalam al-Quran dan Sunnah adalah ajaran menyeleweng dan sesat.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu” (Surah al-Maidah: 3).

 

Kedua, mendewa dan mengagungkan pemimpin secara salah. Perbuatan keterlaluan yang menganggap para pemimpin adalah suci seperti bersifat maksum (tidak berdosa), sebagai Imam Mahdi, Nabi, jelmaan Tuhan atau Tuhan.

 

Misalnya, ajaran Qadiani menganggap pemimpin mereka sebagai Imam Mahdi kemudian sebagai Nabi Isa.

 


 

irsyad

 

 

Selain itu, wujud dakwaan pemimpin atau guru ajaran mereka memegang kunci pintu syurga dan dapat menentukan siapa yang dijamin masuk syurga.

 

Seterusnya, wujud dakwaan pemimpin atau guru boleh menebus dosa dengan wang atau dengan penyerahan diri zahir dan batin.

 

Islam membenarkan perbuatan menghormati, menyantuni, berkhidmat serta mentaati guru atau pemimpin dalam batas yang dibenarkan syarak.

 

Namun, apabila ketaatan kepada guru atau pemimpin menafikan ketaatan serta kepatuhan kepada Allah SWT maka itu adalah kesalahan dan kesesatan.

 

Allah SWT telah menegur sikap Bani Israel yang telah mengagungkan pendeta bahkan mempertuhankan Nabi Isa AS dalam ayat yang bermaksud: “Mereka menjadikan pendeta-pendeta dan ahli-ahli agama mereka sebagai pendidik-pendidik selain daripada Allah, dan juga (mereka mempertuhankan) Al-Masih Ibni Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan” (Surah al-Taubah: 31)

 

Ketiga, terpengaruh dengan idea dan kepercayaan campur tangan terhadap perkara ghaib. Dakwaan mengetahui perkara akan datang atau mampu berinteraksi dengan jin, syaitan, roh, para wali, para nabi dan para malaikat.

 

Misalnya, amalan menyeru nama orang yang telah meninggal dunia atau roh tertentu dengan jampi sebagaimana yang dilakukan oleh bomoh, dukun atau pawang yang mengamalkan ilmu hitam.

 

Sedangkan, perkara ghaib adalah perkara yang hanya diketahui oleh Allah SWT sahaja dan manusia terpilih yang diizinkan Allah SWT untuk mengetahuinya.

 

irsyad

 

Jelas bahawa tiada ajaran yang istimewa sehingga mampu mengetahui, memahami dan mentafsir perkara ghaib. Apatah lagi perkara ghaib yang didakwa tersebut bercanggah dengan al-Quran dan Sunnah.

 

Demikianlah, masyarakat Islam disaran dan dianjurkan meningkatkan kefahaman akidah yang benar dan belajar dari guru yang betul supaya tidak terpengaruh dengan ajaran sesat. - DagangNews.com

 

 

DR. AZRI BHARI adalah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD

Portfolio Tags