Skip to main content

Kerajaan tumpu selesaikan isu rakyat, pulihkan ekonomi bukan politik - PM

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melawat Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Agro Malaysia Serdang (MAEPS) di sini pada 13 Ogos 2022.

SERDANG 14 Ogos - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, kerajaan pada masa ini menumpukan usaha menyelesaikan isu rakyat dan memulihkan ekonomi negara, bukan hal-hal politik.

 

"Rakyat mahu mendengar lebih lanjut mengenai perkara ini (menyelesaikan isu rakyat). Mari kita fokus kepada isu rakyat. Itu lebih penting.

 

“Sebagai contoh, harga barang yang dikatakan naik dan sebagainya, atas campur tangan kerajaan menyebabkan harga ayam turun....walaupun kita tetapkan harga siling RM9.40 (sekilogram), ia kini dijual pada harga RM7.50 dan di sesetengah tempat malah RM7. Tumpuan kerajaan lebih kepada menjaga kepentingan rakyat.

 

"Contoh lain ialah minyak masak. Harga minyak sawit turun tetapi minyak masak tidak turun. Sekarang ini, melalui pasukan petugas khas menguruskan inflasi, kita berjaya menurunkan harga minyak masak. Kita juga dimaklumkan oleh Kementerian Kerja Raya bahawa harga besi juga turun,” katanya.

 

Ismail Sabri yang turut diminta mengulas mengenai pertumbuhan 8.9 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku kedua tahun ini, berkata ia akan diulas semasa Konvensyen Wanita Barisan Nasional (BN) yang dijadualkan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

 

Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai tuntutan Perikatan Nasional (PN) selepas melawat Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Agro Malaysia Serdang (MAEPS) di sini Sabtu.

 

Menurut Ismail Sabri, beliau telah pun mengadakan pertemuan dengan wakil Perikatan Nasional (PN) dua minggu lalu.

 

Beliau berkata mesyuarat yang berlangsung pada minggu terakhir persidangan Dewan Rakyat di bangunan Parlimen itu dihadiri Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Bendahari PN Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.

 

"Sudah ada (mesyuarat). Bersatu membentangkan pandangan mereka dan saya juga membentangkan pandangan saya...jadi begitulah," katanya 

 

Ismail Sabri berkata perkara itu juga telah diumumkan semasa beliau merasmikan MAHA 2022 pada 6 Ogos, dan ia tidak perlu dibangkitkan lagi. - DagangNews.com