Kepelbagaian kaum di dunia menurut Islam | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 3 June 2022

Kepelbagaian kaum di dunia menurut Islam

 

 

 

MALAYSIA adalah sebuah negara bermasyarakat majmuk, kaya dengan budaya, adat resam serta kaum dan bangsa yang pelbagai. Secara praktis dan realiti dilihat sukar menyatupadukan kaum berbeza agama, budaya dan cara hidup.

 

Percantuman Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak telah menyatupadukan seluruh bangsa dan kaum sehingga terbentuknya suatu budaya sangat unik di bawah satu payung disebalik penubuhan Malaysia pada 16 September 1963.

 

Pada awalnya Singapura termasuk dalam percantuman tersebut, namun Singapura telah keluar dari Malaysia pada tahun 1965.

 

Latar belakang masyarakat Malaysia yang berbeza terdiri dari pelbagai kaum dan agama. Kaum yang wujud adalah Melayu, Cina, India dan Bumiputera sub-etnik Sabah dan Sarawak. Manakal agama yang wujud pula ialah Islam, Buddhisme, Hinduisme, Kristian, Sikh dan sebagainya.

 

Islam berpandangan kepelbagaian kaum dan bangsa yang wujud di Malaysia tidak menjadi isu dan masalah. Bahkan, kepelbagaian tersebut merupakan fitrah semulajadi kejadian manusia yang ditetapkan oleh Allah SWT.

 

Kelebihan dan hikmah kepelbagaian yang wujud adalah suatu peluang dan ruang untuk saling mengenali dan mempelajari kelebihan antara satu sama lain. Firman Allah SWT yang bermaksud:

 

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Al-Hujurat: 13)

 

Seterusnya, Allah SWT berfirman: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan.” (Surah al-Rum: 22)

 

 

irsyad

 

 

Selanjutnya, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Dari Abu Nadhrah telah menceritakan kepadaku orang yang pernah mendengar khutbah Rasulullah SAW ditengah-tengah hari Tasyriq, beliau bersabda: Wahai sekalian manusia! Rabb kalian satu, dan ayah kalian satu (maksudnya Nabi Adam). Ingatlah. Tidak ada kelebihan bagi orang Arab atas orang Ajam (non-Arab) dan bagi orang Ajam atas orang Arab, tidak ada kelebihan bagi orang berkulit merah atas orang berkulit hitam, bagi orang berkulit hitam atas orang berkulit merah kecuali dengan ketakwaan. Adakah aku sudah menyampaikan?” mereka menjawab: ya, benar Rasulullah SAW telah menyampaikan.” (Riwayat Ahmad)

 

Berdasarkan ayat dan hadis di atas, perkara yang diambil kira dan diperhatikan oleh Allah SWT adalah nilai ketakwaan untuk membezakan antara manusia. Kepelbagaian dan perbezaan itu bukanlah faktor untuk berpecah-belah dan bermusuhan.

 

Islam mengiktiraf kemuliaan setiap manusia tanpa mengira batas kaum dan tidak boleh berlaku perbezaan atau penafian hak berdasarkan kaum.

 

Perkara ini telah dijelaskan oleh Allah SWT menjadikan manusia secara fitrah dalam bentuk kelompok dan budaya yang berbeza supaya saling menerima dan menghormati kepelbagaian dan perbezaan sebagai satu lumrah dan hukum alam yang akan terus berlaku.

 

Terdapat formula dan panduan yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian dalam konteks kehidupan kepelbagaian kaum untuk menjamin keamanan, kesejahteraan dan kestabilan negara.

 

1. Bersifat terbuka dan saling berlapang dada

Masyarakat perlu menerima perbezaan yang wujud dan berlaku dalam persekitaran selagi tidak menggangu dan melanggar batas keharmonian kehidupan bersama.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Jika Tuhanmu mengkehendaki nescaya tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka sentiasa berselisih pendapat.” (Surah Hud:118)

 

Islam tidak menghalang perbezaan pandangan, menyekat kepelbagaian aliran pemikiran dan sebagainya. Bahkan Islam menggalakkan umat agar memaksimumkan keupayaan akal kurniaan Allah SWT untuk sentiasa berfikir dan bersikap kritis dalam menanggapi sesuatu perkara berpandukan ilmu dan fakta sahih.

 

 

irsyad

 

 

2. Saling menghormati dan berkasih sayang

Sikap sedemikian akan membentuk masyarakat yang akan saling tolong-menolong dan bersama-sama dalam aspek kebaikan dan kebajikan.

 

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak mengasihi, maka dia tidak akan dikasihi.” (Riwayat al-Bukhari)

 

3. Wujudkan perbincangan dan mencari titik persamaan

Pemimpin dan rakyat perlu bijaksana dan berhikmah dalam menyelesaikan sesuatu isu dan permaslahan yang timbul supaya saling menjaga sensitiviti masing-masing.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah kamu berdebat dengan Ahli Kitab, melainkan dengan cara yang paling baik, kecuali dengan orang zalim di antara mereka, dan katakanlah: "Kami telah beriman kepada (kitab-kitab) yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepadamu; Tuhan kami dan Tuhanmu adalah satu; dan kami hanya kepada-Nya berserah diri." (Surah al-Ankabut: 46)

 

 

irsyad

 

 

Kesimpulannya, Islam menolak sesuatu yang membentuk perbezaan dan ketidakadilan yang membezakan seseorang dengan seseorang yang lain atas dasar jantina, warna kulit, bahasa, keturunan, negara, kedudukan keluarga, orang bukan Islam dan harta.

 

Demikianlah, Islam adalah agama yang sentiasa menggalakkan keamanan dan kestabilan dalam kehidupan kepelbagaian latar belakang masyarakat. - DagangNews.com

 

DR. AZRI BHARI merupakan Pakar Rujuk, Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Selangor.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD

Portfolio Tags