Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 12 August 2022

Kemuliaan dan tuntutan sabar dalam kehidupan kita

 

 

 

SABAR adalah ungkapan dan perkataan yang sering dinasihatkan oleh ramai orang kepada individu yang mengalami situasi tertentu dalam kehidupan seharian.

 

Perkataan sabar mudah dilafazkan, namun sukar diaplikasikan dalam kehidupan kecuali individu yang benar-benar faham dan matang dalam berfikir.

 

Bukan hanya sekadar konsep dan teori sabar sahaja yang perlu diketahui, namun latihan demi latihan perlu dijalani dalam membentuk sifat sabar dalam diri seseorang individu.

 

Masyarakat Islam perlu berusaha dan mengutamakan sikap sabar dalam setiap urusan berkaitan agama dan dunia.  

 

Perintah dan saranan bersikap sabar telah dijelaskan dalam pelbagai ayat al-Quran dan hadis supaya masyarakat Islam jadikan panduan dan pedoman dalam mengharungi kehidupan seharian.

 

1. Sabar dalam mencapai kemenangan

 

Tiada jalan mudah untuk menuju kejayaan tanpa bersikap sabar.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah, supaya kamu beruntung.” (Surah Ali Imran: 200)

 

Ayat di atas menjelaskan perlu konsisten bersikap sabar dan bersiap sedia dalam semua keadaan untuk mencapai kejayaan.

 

sabar

 

2. Sabar adalah perkara yang perlu diutamakan

 

Perkara utama yang perlu diutamakan adalah bersikap sabar dalam setiap urusan kehidupan samada berkaitan agama atau pun dunia.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Tetapi orang yang bersabar dan memaafkan, sesungguhnya (perbuatan) yang demikian itu termasuk hal-hal yang diutamakan.” (Surah al-Syura: 43)

 

Selain itu, firman Allah SWT yang bermaksud: “…jika kamu bersabar dan bertakwa, maka sesungguhnya yang demikian itu termasuk urusan yang patut diutamakan.” (Surah Ali Imran: 186)

 

3. Keutamaan sabar dalam menghadapi ujian dan cubaan

 

Terdapat pelbagai ujian dalam kehidupan antaranya kefakiran, kelaparan, ketakutan, kekurangan harta, kezaliman, takdir yang menyakitkan, cercaan yang mencengkam jiwa dan sebagainya.

 

Setelah para Nabi, orang yang soleh adalah yang paling berat ujian dan cubaan yang akan diterima dari Allah SWT.

 

Ujian yang dihadapi perlu disusuli dengan sikap sabar dan mengharap pahala tanpa mengeluh serta berputus asa dengan rahmat Allah SWT.

 

irsyad

 

Sabar terbahagi kepada tiga kategori iaitu sabar terhadap maksiat, sabar terhadap takdir yang mencengkam jiwa dan sabar terhadap ketaatan kepada perintah serta larangan Allah SWT dalam kehidupan.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (iaitu) orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: “Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun” Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Baqarah: 155-157)

 

Selain itu, firman Allah SWT yang bermaksud: “…dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar (imannya); dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa. (Surah al-Baqarah: 177)

 

4. Ganjaran keutamaan bersabar

 

Syurga adalah ganjaran yang dijanjikan kepada golongan yang bersabar dalam menghadapi ujian dan cubaan dalam kehidupan.

 

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Jika engkau mahu, bersabarlah, bagimu syurga. Namun jika engkau mahu, berdoalah kepada Allah SWT agar diberikan kesembuhan”. (Riwayat Muslim)

 

irsyad

 

Demikianlah, saranan dan anjuran supaya bersifat sabar dalam kehidupan yang telah dijelaskan oleh Allah SWT dan Nabi SAW.

 

Sifat sabar akan menjadikan seseorang individu cemerlang di dunia dan juga akhirat. - DagangNews.com

 

 

 

DR. AZRI BIN BHARI adalah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.
Portfolio Tags