Kekurangan pemandu lori melalut ke pembelian panik di UK | DagangNews Skip to main content

Kekurangan pemandu lori melalut ke pembelian panik di UK

BARISAN kereta beratur untuk mengisi minyak di Ashford, England akibat pembelian panik.

 

 

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

 


SEJAK beberapa minggu lalu, United Kingdom berdepan gangguan bekalan bahan api untuk kenderaan yang serius. Puncanya, pembelian panik.

 

Kenapa panik? Ia berikutan laporan media yang mendakwa memperoleh butiran taklimat rahsia kerajaan mengenai kekurangan pemandu kenderaan barangan berat (HGV).

 

Nampak aneh? Bagaimana perbincangan mengenai kekurangan pemandu meleret kepada kekurangan bahan api, melalut sampai berlaku pembelian panik. Dan ini berlaku di UK, sebuah negara maju. Dan bekas penjajah kolonial kita.

 

Rasionalnya ialah tiada pemandu lori tanker minyak. Apa kaitan Brexit? Sebilangan pemandu berasal dari negara EU, warga UK tidak ramai jadi pemandu HGV. Tetapi bagaimana boleh sampai kepada pembelian panik?

 

Jika ada gemar membelek laman web agensi berita UK, hampir saban hari mereka melaporkan kegawatan barisan panjang di stesen-stesen minyak, membawa kepada tindakan nekad sesetengah pemilik stesen menaikkan harga dan paling teruk, pergaduhan antara pemandu yang berebut giliran.

 

Beberapa penganalisis dan ahli politik UK mengaitkan kekurangan pemandu itu kepada Brexit (langkah keluar UK dari Kesatuan Eropah) dan dikaitkan juga dengan pandemik COVID-19.

 

Hakikat sebenarnya, UK tidak berdepan dengan kekurangan bahan api tetapi disebabkan pembelian panik mengakibatkan banyak stesen minyak kehabisan bekalan dengan cepat.

 

Pada 26 September lalu, British Petrol atau BP yang memiliki 1,200 stesen minyak di UK, menganggarkan 30% stesennya tidak memiliki gred utama bahan api. Keesokan hari, Reuters melaporkan 50% hingga 90% stesen minyak di beberapa wilayah di Englang kehabisan sama sekali bekalan disebabkan pembelian panik.

 

Isu pokok iaitu kekurangan pemandu, menyaksikan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Boris Johnson mengerahkan tentera supaya bersedia sedia untuk memandu kenderaan barangan berat bermula 4 Oktober.

 

 

fuel
Pemandu mengisi minyak ke dalam bekas kecil akibat pembelian panik di UK

 

 

Brexit

Pengerusi Persatuan Stesen Minyak UK menyalahkan pembocoran maklumat mengenai tahap stok minyak BP sebagai punca panik.

 

Menteri Pengangkutan, Grant Shapps pula menuduh persatuan pengangkut barangan (haulage) sengaja mendedahkan maklumat kepada media untuk menyokong hujah mereka yang mahukan pemandu EU. Ini kerana gaji pemandu EU lebih rendah berbanding warga UK yang masih menggunakan mata wang Pound Sterling.

 

Hujah mengaitkan dengan Brexit diperkuatkan lagi dengan laporan sebuah majalah perniagaan, The Grocer bahawa 12,500 pemandu EU telah kehilangan kerja di UK sebelum tercetus pandemik COVID-19 lagi. Ia mewakili 18% keseluruhan kekurangan 70,000 pemandu HGV di Britain.

 

The Grocer merumuskan bahawa perubahan dasar imigresen pasca-Brexit bukan faktor utama kepada krisis, tetapi lebih kepada persaraan, kekurangan ujian pemandu (bagi pemandu baharu) semasa lockdown pandemik, dan perubahan dari segi percukaian.

 

Ia diperkuatkan lagi dengan laporan BBC News bahawa sebanyak 25,000 pemandu gagal ujian HGV antara 2019-2020 dan perubahan kepada peraturan cukai IR35 yang menjadikan lebih mahal bagi pemandu EU untuk bekerja di UK.

 

Penganalisis berkata walaupun berdepan kekurangan pemandu, negara EU belum mengalami masalah bekalan ke stesen minyak, dan ia disebabkan fleksibiliti lebih besar dalam dasar buruh dan kabotaj di dalam Pasaran Tunggal Eropah.

 

Keadaan kekurangan pemandu HGV agak besar di Poland dan Jerman tetapi kedua-dua negara berupaya mendapatkan bekalan pemandu dari EU.

 

UK tidak mungkin ada akses ini berikutan keputusan kerajaannya untuk meneruskan `Langkah Brexit’.

 

 

fuel
TENTERA Britain telah dikerah untuk memandu terak-terak di seluruh negara itu bermula 4 Oktober 2021, berikutan kekurangan pemandu HGV.

 

 

Tindakan segera Kerajaan Britain

Selain mengerahkan tentera memandu kenderaan barangan berat, kerajaan Boris meluluskan pemberian bisa sementara bagi pemandu terak asing dan menggantung undang-undang persaingan bagi membolehkan pembekal menghantar bahan api kepada syarikat pesaing.

 

Namun, tidak dapat dipastikan apakah pemandu asing akan menyahut tawaran bekerja di UK. Visa sementara itu hanya sah sehingga 24 Disember 2021, dan ramai pemandu merungut mengenai gaji rendah dan keadaan bekerja yang tidak selesa di negara tersebut, termasuk kekurangan kawasan rehat dan rawat yang bersih.

 

Ini secara tidak langsung meletakkan ekonomi UK masih dalam keadaan berisiko.

 

Presiden Dewan Perdagangan British, Ruby McGregor-Smith pula membidas pemberian hanya 5,000 visa sementara.

 

‘’Mana cukup. Ia seperti menjirus sebaldi air ke atas unggun api.

 

"Tanpa tindakan lanjut, kita kini berdepan dengan kemungkinan kerosakan serius terhadap usaha pemulihan ekonomi, pertumbuhan terencat serta perayaan Krismas yang muram untuk kebanyakan perniagaan dan pelanggan mereka di seluruh UK,’’ kata Ruby.

 

 

fuel
BARISAN panjang kereta beratur untuk mengisi minyak di sebuah stesen di Kuantan pada 2014, berikutan keputusan kerajaan ketika itu mengurangkan subsidi minyak. - Gambar Bernama

 

Perspektif Malaysia

Seingat memori, pembelian panik bahan api ini berlaku pada zaman pengumuman mendadak petrol semasa pentadbiran beberapa perdana menteri dahulu.

 

Sekitar 6 petang, tiba-tiba keluar pengumuman minyak naik 20 sen. Sejurus itu stesen minyak di seluruh negara jadi sesak disebabkan pemandu mahu mengisi sebelum detik 12.00 tengah malam di mana harga baharu berkuatkuasa.

 

Itu baru naik 20 sen sudah berlaku pembelian panik. Tentunya kejadian di UK lebih memeningkan. Bekalan minyak ada. Tiada kenaikan minyak (harga ditetapkan oleh pasaran, bukan kerajaan di sinun). Tetapi dek menularnya berita yang kurang bertanggungjawab, maka tercetuslah pembelian panik.

 

Bolehlah dijadikan iktibar kepada kita daripada apa yang berlaku di UK. Tiada yang luar biasa untuk kita memandang ke UK. Lagi pun hampir setiap minggu perhatian kita beralih ke stadium bola di UK.

 

Jangan terkejut bila ada pemain pujaan tidak bermain disebabkan kenderaannya tidak ada minyak untuk ke stadium.

 

 

MERREPAK adalah ruangan pojok setiap Ahad oleh Johardy Ibrahim sebagai Pengarang Urusan DagangNews.com - menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu Gerry & The Pacemakers - You'll Never Walk Alone berulang-ulang kali.

 

 

*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.