Skip to main content

Keharmonian negara bermula dari rumah

oleh Siti Rohana Daud

SLOGAN Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia kini perlu direalisasikan bermula dari akar umbi.

 

Ia bermatlamat menekankan nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran walaupun negara mempunyai pelbagai kaum, agama dan bangsa.

 

Sejajar dengan itu, keluarga kecil di rumah berperanan penting dalam mencapai matlamat Keluarga Malaysia.

 

Namun, beberapa bulan yang lepas, telah tular hantaran di media sosial tentang anak tahun satu yang disisihkan dari rakan sebayanya kerana tidak mempunyai beg sekolah berjenama.

 

Kejadian tersebut sangat terkesan kepada golongan ibu bapa terutama mereka yang kurang berkemampuan.

 

Walaupun tularan itu didapati palsu, namun isu tersebut perlu diambil serius kerana ia akan mempengaruhi hubungan sosial anak-anak pada masa sekarang dan akan datang.

 

Sedar atau tidak, kejadian seumpama itu memang berlaku dan ia memberi kesan negatif kepada emosi dan psikologi anak-anak yang disisihkan. Apa yang perlu diperhalusi ialah, bagaimana untuk mengelakkan dan memperbaiki keadaan ini.

 

Zaman kanak-kanak merupakan zaman yang perlu dipenuhi dengan aktiviti pembelajaran dan keseronokan. Bukan dibebankan dengan rasa sedih disisihkan dari rakan-rakan.

 

parafrasa

 

Berlakunya kejadian seumpama itu menjadi petanda bahawa kesihatan mental pelaku telah terganggu dan ia diterjemahkan melalui tingkah laku. Amat menyedihkan kerana sebahagian pelaku adalah dalam kalangan kanak-kanak.

 

Menurut Dr Meriam Omar Din, Pakar Psikologi, Pusat Khidmat Kaunseling ACCESS mengatakan bahawa kebanyakan masalah kesihatan mental adalah berpunca dari rumah. Kejadian yang tidak diingini mungkin akan terus berlaku jika tidak ditangani dengan serius.

 

Tingkah laku anak-anak tentunya dipengaruhi oleh didikan ibu bapa yang bermula dari rumah. Anak-anak perlu dididik dan diajar cara bersosial dengan betul.

 

Ibu bapa berperanan penting dalam menerangkan dan menerapkan adab-adab tersebut ketika di rumah.

 

Ia perlu dijadikan tunjang yang kukuh agar anak-anak tidak mudah terpengaruh dengan persekitaran yang akan menjejaskan tingkah laku mereka.

 

Konsep sederhana

Bersederhana sangat dituntut di dalam Islam. Seharusnya ibu bapa menerapkan sikap bersederhana dalam kalangan anak-anak. Ajari mereka untuk bertindak dan memiliki sesuatu itu dengan cara sederhana.

 

Ini akan dapat dipraktikkan oleh anak-anak walau di luar kawasan rumah. Secara tidak langsung mereka akan belajar tentang nilai bersederhana dan tidak berlebih-lebih serta tidak membazir. Mereka akan tidak terlalu berharap untuk memiliki sesuatu yang mahal dan bersedia menerima sesuatu dengan seadanya.

 

Ibu bapa juga perlu mengelakkan sikap pilih kasih antara anak-anak. Didikan tentang layanan yang sama dan adil kepada semua orang adalah penting bagi mewujudkan suasana yang harmoni.

 

parafrasa

 

Keadaan ini akan menjadi contoh kepada anak-anak dan mereka akan mencontohi sikap tersebut sesama mereka. Mereka akan selesa berkawan dengan semua tanpa mengira perbezaan terutamanya berkaitan status dan harta.

 

Selain itu, galakan dan sokongan ibu bapa terhadap hubungan sosial anak-anak juga penting bagi memastikan mereka mempunyai rakan-rakan yang baik dan berakhlak.

 

Walaupun begitu, mereka juga perlu dididik untuk bertingkah laku yang baik dan sentiasa mendorong rakan-rakan yang lain ke arah kebaikan. Keadaan ini boleh ditunjukkan melalui amalan dan komunikasi ibu bapa terhadap ahli keluarga sendiri.

 

Komunikasi secara baik dengan anak juga sangat penting dalam membentuk tingkah laku anak-anak. Sebagaimana Rasulullah sentiasa berlemah lembut dengan anak-anak kecil. Baginda juga melarang ibu bapa memarahi dan mencela kelakuan anak-anak.

 

Celaan terhadap perbuatan anak-anak akan menyebabkan anak-anak cenderung untuk memberontak dan memandang remeh terhadap celaan tersebut. Seharusnya ibu bapa perlu menegur dan membetulkan kelakuan anak-anak yang salah tersebut dengan baik dan penuh hikmah.

 

Selain itu, seiring dengan peredaran masa dan perkembangan teknologi, semua maklum bahawa media sosial merupakan satu medium rujukan utama oleh semua golongan masyarakat kini.

 

Ini akan menyebabkan anak-anak akan lebih terpengaruh dengan maklumat yang diperolehi dari media sosial jika tidak dikawal dan dipantau oleh ibu bapa.

 

parafrasa

 

Agak membimbangkan terutamanya kepada kanak-kanak dan remaja kerana kebanyakan mereka akan menerima maklumat tersebut secara terus.

 

Secara tidak langsung ia akan mempengaruhi pemikiran dan tingkah laku mereka. Tidak dinafikan, gajet dan internet menjadi keperluan kepada pelajar masa kini terutama apabila berlakunya pandemik yang menggesa sistem pembelajaran perlu dilaksanakan secara maya.

 

Oleh itu, ibu bapa perlu memberi tunjuk ajar dan memantau anak-anak dalam menggunakan gajet dan melayari internet agar ianya memberi manfaat, bukannya mudarat.

 

Kesimpulannya, walaupun peranan ibu bapa sangat penting dalam membentuk tingkah laku anak-anak, tetapi harus diingat bahawa persekitaran dan sistem sokongan lain juga mempunyai peranannya.

 

Tambahan pula, sebahagian masa anak-anak banyak digunakan di tempat-tempat yang lain selain di rumah seperti di sekolah, rumah pengasuh dan pusat transit.

 

 

parafrasa

 

 

Jadi, sokongan dari semua pihak sangat diperlukan bagi memastikan generasi kini dan akan datang berkualiti dari segi akademik dan akhlaknya.

 

Semoga usaha semua pihak terutamanya ibu bapa membantu melahirkan generasi yang dapat membentuk Keluarga Malaysia yang harmoni. - DagangNews.com

 

 

Siti Rohana Daud merupakan Pensyarah Kanan di UiTM Cawangan Melaka