Keberanian, kebijaksanaan menzahirkan kemuliaan Islam | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 23 September 2022

Keberanian, kebijaksanaan menzahirkan kemuliaan Islam

 

 

KEBERANIAN adalah sifat yang mulia berada di antara dua sifat tercela iaitu ‘jubn’ penakut  dan ‘tahawwur’ berani tanpa pertimbangan.

 

Sifat keberanian disebut sebagai ‘syaja‘ah’ dalam bahasa Arab yang boleh mendorong individu muslim menghadapi bahaya, kesulitan dan sebagainya.

 

Pengertian ‘syaja‘ah’ adalah keberanian yang berlandaskan kebenaran dan dilakukan dengan penuh pertimbangan akal fikiran.

 

Sifat keberanian akan melahirkan keteguhan hati, kekuatan pendirian untuk membela dan mempertahankan kebenaran secara bijaksana dan terpuji.

 

Imam Syahid Hasan Al-Banna mendefinisikan pengertian ‘syaja‘ah’ sebagai ‘‘azhimul ihtimal’ yang bermaksud besar daya pikul dan daya tahan.

 

Justeru, seseorang akan bersabar ketika diberi ujian, dan akan bersyukur ketika diberi kenikmatan.


 

irsyad

 


Sifat berani mendorong individu muslim kekal bersikap benar, bijaksana dan mampu mengendalikan emosi dengan baik.

 

Intipati atau buah dari sifat keberanian adalah mampu berkata-kata benar dan berbuat tindakan benar walaupun dalam keadaan takut dan bimbang.

 

Sifat keberanian perlu selari dengan sifat kebijaksanaan atau hikmah supaya berada dalam batasan yang dibenarkan oleh Islam kerana dibimbangi bertindak melampau, dan menjurus kepada kebinasaan dan kerosakan.

 

Allah SWT menganjurkan sifat berani seperti dalam firman yang bermaksud: “(iaitu) orang-orang (yang mentaati Allah dan Rasul) yang kepada mereka ada orang-orang yang mengatakan: Sesungguhnya manusia telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu, karena itu takutlah kepada mereka, maka perkataan itu menambah keimanan mereka dan mereka menjawab: Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung.” (Surah Ali ‘Imran: 173)

 

Seterusnya Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka tidak merubah (janjinya)” (Surah al-Ahzab: 23)

 

Selain itu, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari sifat penakut, aku berlindung kepadaMu dari dikembalikan pada umur yang hina, aku berlindung kepadaMu dari cubaan dunia dan aku berlindung kepadaMu dari azab kubur.” (Riwayat al-Bukhari)

 

Nabi SAW selalu berdoa berlindung dari sikap penakut yang dapat membentuk kehinaan pada peribadi individu muslim.


 

irsyad

 


Begitulah, mafhum sebaliknya hadis tersebut adalah bahawa sifat keberanian termasuk sifat mulia yang perlu dimohon kepada Allah SWT supaya dihiasi dalam kehidupan.

 

Sikap penakut yang menguasai seseorang individu akan memberi kesan menjadi hina sepanjang hayat kerana terhalang dari keberanian berfikir dan kuat.

 

Sifat penakut merupakan bentuk kehinaan, manakala sifat keberanian merupakan kewibawaan dan kemuliaan.

 

Nabi SAW turut bersabda yang bermaksud: “Sesuatu yang paling hina pada seseorang adalah sikap kikir dan sangat penakut.” (Riwayat Daud)

 

Terdapat beberapa bentuk keadaan atau situasi keberanian yang dianjurkan dalam Islam untuk diaplikasikan dalam kehidupan.

 

1. Keberanian menghadapi musuh ketika berperang

Islam menegah umat Islam melarikan atau menarik diri ketika berlaku peperangan.  

 

Allah SWT memberi ancaman melalui firman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu bertemu dengan orang-orang yang kafir yang sedang menyerangmu, maka janganlah kamu membelakangi mereka (mundur). Sesiapa yang membelakangi mereka (mundur) di waktu itu, kecuali berbelok untuk perang atau hendak menggabungkan diri dengan pasukan yang lain, maka sesungguhnya orang itu kembali dengan membawa kemurkaan dari Allah, dan tempatnya ialah neraka Jahannam, dan amat buruklah tempat kembalinya.” (Surah al-Anfal: 15-16)

 

2. Keberanian menegakkan kebenaran

Bentuk keberanian ini bukanlah sesuatu yang mudah dan senang untuk dilaksanakan ketika berhadapan dengan pemimpim atau kekuasaan yang zalim.

 

Namun Nabi SAW telah menjelaskan keutamaan melalui hadis yang bermaksud: “Jihad yang paling utama ialah mengatakan kebenaran (berkata yang baik) di hadapan penguasa yang zalim.” (Riwayat Abu Daud).

 

3. Keberanian mengendalikan hawa nafsu

Perlu disedari bahawa hawa nafsu adalah sebahagian daripada unsur dalam kejadian manusia.

 

Seseorang yang mampu mengendali hawa nafsu menurut ajaran Islam, pasti menjadi medium kepada mendapat keridhaan Allah SWT.

 

Pengendalian hawa nafsu yang baik mampu mencapai ketenangan jiwa. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diridhaiNya. Maka masuklah ke dalam jamaah hamba-hambaKu. Masuklah ke dalam surga-Ku.”  (Surah al-Fajr: 27-30)


 

irsyad

 


Demikianlah sifat keberanian perlu dipupuk dan disemai dalam diri setiap masyarakat Islam supaya terzahir kemuliaan dan kehebatan Islam. 

 

Pendidikan sifat keberanian perlu dilatih oleh ibu bapa secara tidak formal di rumah dan para guru secara formal di institusi pendidikan. - DagangNews.com

 

DR. AZRI BIN BHARI adalah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.
Portfolio Tags