Kebenaran Guru Berpolitik: Antara Demokrasi dan Kualiti Pendidikan Negara | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 26 January 2022

Kebenaran Guru Berpolitik: Antara Demokrasi dan Kualiti Pendidikan Negara

 

 

 

PERDANA Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan guru sekolah di seluruh negara serta petugas Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dibenarkan untuk berpolitik dan ia berkuat kuasa serta-merta.

 

Adakah sebelum ini guru tidak dibenarkan berpolitik? Ada yang salah faham dengan hal ini.

 

Peraturan 21(2A), P.U.(A)395/1993 dan Pekeliling Perkhidmatan Bil. 9 Tahun 2010  mengariskan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG41 hingga DG48, selain Pengetua atau Guru Besar di institusi pendidikan dan pegawai yang memegang jawatan pentadbiran, boleh bertanding / memegang jawatan / dilantik ke dalam jawatan parti politik setelah mendapat kebenaran secara bertulis daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran.

 

Apakah pekeliling yang menjelaskan pekara ini?

 

Pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan Kumpulan Pengurusan & Profesional dilarang mengambil bahagian di dalam politik. Pegawai tidak boleh:

 

a) membuat apa-apa pernyataan awam, sama ada lisan atau bertulis, memberi pandangan yang berat sebelah atas perkara yang menjadi isu parti politik

b) menerbitkan atau mengedar buku, makalah atau risalah parti politik

c) merayu undi

d) menjadi ejen pilihanraya

e) bertanding apa-apa jawatan parti politik

f) memegang jawatan di dalam parti politik

 

Berpolitik Itu Hak Yang Tidak Boleh Dinafikan

Sebenarnya semua rakyat di Malaysia adalah dibenarkan untuk berpolitik.

 

Jika hak seseorang itu dinafikan untuk berpolitik, ia menjadi petujuk bahawa demokrasi di dalam sesebuah negara itu tidak diamalkan secara matang.

 

Dalam sistem demokrasi berparlimen, “halangan” terhadap mana-mana kumpulan untuk berpolitik dilihat seolah-olah yang “mendiskriminasi” kumpulan ini terhadap hak mereka.

 

George Orwell penulis novel, wartawan, pengulas politik dan budaya dari United Kidgdom juga pernah menyatakan prinsipnya, jika terdapat kekangan atau halangan dalam berpolitik dan ini bukan perkara yang normal dalam praktis demokrasi berparlimen.

 


 

George Orwell
                                                                                   George Orwell

 


Perlu Pekeliling Baharu Yang Lebih Jelas

Dengan kebenaran guru untuk terlibat dalam politik ini, kerajaan atau Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu menyediakan pekeliling baharu yang lebih jelas dengan segala kaedah dan panduan agar ia jelas dan mudah difahami supaya guru-guru yang aktif berpolitik boleh mematuhi peraturan yang ditetapkan.

 

Garis panduan perlu jelas dan menjadi sempadan sejauh mana guru boleh berpolitik tanpa menganggu tugasan hakiki mereka sebagai individu yang bertanggungjawab menyampaikan ilmu kepada anak bangsa.

 

Kita juga tidak mahu, kebenaran diberikan, kelak guru-guru ini dikenakan tindakan kerana dikatakan “melanggar” peraturan atau syarat yang telah ditetapkan.

 

Selain itu ia bagi mengelakkan sebarang isu dan permasalahan luar jangka yang membabitkan guru, pentadbir, ibu bapa dan pelajar terutama membabitkan pengaruh politik.

 

Jangan Jadikan Guru “Kambing Hitam” Politik

Apa yang diharapkan agar kebenaran berpolitik ini tidak menjadikan guru diarahkan bekerja untuk politik.

 

Jika guru terlibat dengan politik, ia boleh menyebabkan  mereka terdedah dengan ugutan dan lain-lain pekara jika mereka enggan melaksanakan aktiviti politik seperti yang diarahkan oleh pihak tertentu terutamanya semasa peralihan kuasa pemerintahan.

 

Kita tidak mahu kelak guru-guru ini dijadikan alat politik!

 

Parti politik janganlah menjadikan guru atau penjawat awam sebagai alat untuk kepentingan politik masing-masing kerana perkhidmatan awam ini perlu menjalankan fungsi dan peranan mereka  secara profesional walaupun mempunyai fahaman politik yang berbeza-beza atau pun tidak sealiran dengan parti pemerintah.

 


 

volatiliti
Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru disertai meriah oleh ibu bapa. - Gambar Hiasan

 


Implikasi Kebenaran Guru Berpolitik

Guru juga perlu bijak menilai jika mereka mahu terlibat dalam politik. Adakah mereka dipergunakan atau pun tidak?

 

Dari susut sisi berbeza, kebenaran guru berpolitik ini dikhuatiri memberi kesan kepada pendidikan negara. Seperti yang kita sedia maklum peranan guru ini amatlah besar dalam membangunkan modal insan untuk negara.

 

Di sekolah lah kemenjadian dan bakat “anak-anak” kita dibentuk dan dilahirkan melalui guru-guru. Peranan dan tanggungjawab guru dilihat yang lebih utama dalam memberi fokus kepada melahirkan modal insan masa hadapan yang berkualiti tinggi untuk negara.

 

Mungkin ada guru yang dapat mengimbangi berpolitik dan tanggungjawab mendidik dengan baik tetapi mungkin juga ada yang tidak ataupun fokus mereka dalam mendidik “sudah tergelincir” sedikit jika mereka terlibat dalam berpolitik.

 

Ia juga dilihat akan wujud situasi yang tegang dan menjejaskan kualiti pendidikan sekiranya mereka gagal membahagikan antara tugasan hakiki dan politik.

 

Selain itu, pembabitan aktif seorang guru dalam politik juga boleh mencetuskan konflik antara rakan seperjuangan dan pentadbir sekiranya terdapat fahaman dan idelogi politik yang berbeza beza dalam kalangan mereka.

 

Perhalusi Kebenaran Ini

Kerajaan mungkin boleh memperhalusi kebenaran guru berpolitik ini. Tidak dinafikan ianya sebagai hak demokrasi kepada golonga ini. Dalam situasi semasa, cabaran pandemik COVID-19 menuntut tugas dan tanggungjawan guru yang lebih besar dalam memastikan modal insan yang berkualiti mampu dilahirkan.

 

Dalam usaha guru “trial and error” dengan pelbagai kaedah terbaik dek kerana sistem pengajaran dan pembelajaran yang berubah dari “face-to-face” kepada atas talian dan kini secara hyrid, pasti komitmen dan tanggungjawab guru juga bertambah.

 

Sepatutnya kini, apa yang perlu difikirkan  adalah langkah untuk memantapkan sistem pendidikan pasca pandemik COVID-19.

 

Ini adalah masa terbaik untuk kita memulihkan kembali semangat pelajar dengan komitmen guru yang sentiasa memberikan khidmat terbaik untuk melahirkan generasi muda yang kompeten dan berkualiti demi masa depan negara.

 


 

volatiliti

 


Jangan Abaikan Pelajar

Tuntasnya, jika guru yang mahu aktif berpolitik perlu mengikut dan patuh kepada syarat dan kriteria yang digariskan oleh pihak KPM.

 

Kita juga bimbang, takut ada guru yang “terlalu obses” sehingga menyebarkan propaganda politik kepada pelajar. Seperti yang kita sedia maklum, pelajar (golongan muda) ini mudah berpengaruh. Jika berlaku, hal ini akan mengakis nilai murni di kalangan pelajar serta asas perpaduan negara dan boleh menjejaskan “pembinaan negara”.

 

Selain itu, guru yang mahu aktif berpolitik ini juga diharapkan tidak akan mengabaikan pelajar atau anak muridnya.

 

Sebelum ini, kita sering mendengar guru yang terbeban dengan tugas hakiki dan tidak mempunyai masa yang cukup untuk menyediakan rancangan pengajaran, menghadiri kelas, mengajar, menilai, menjalankan aktiviti, kursus, mesyuarat serta menyelesaikan tugas pentadibiran mereka.

 

Inikan pula masa mereka kena dibahagi lagi jika mahu aktif berpolitik. Cukup masa ke? Tepuk dada, tanya selera! - DagangNews.com

 

 
SYAMSYUL SAMSUDIN adalah seorang pensyarah kanan dan pelabur tegar di Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI

Portfolio Tags