Kabel dasar laut ketiga Langkawi beroperasi bulan ini | DagangNews Skip to main content

Kabel dasar laut ketiga Langkawi beroperasi bulan ini

LANGKAWI 12 Julai - Penyaluran tenaga elektrik dari Grid Nasional ke Pulau Langkawi akan diperkukuhkan lagi apabila kabel dasar laut sepanjang 26.5km mula beroperasi bulan ini.

Kabel dasar laut itu adalah kabel voltan tinggi ketiga yang dibangunkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi menghubungkan pulau peranginan itu dengan Grid Nasional.

Projek merentang kabel yang menghubungkan Pencawang Masuk Utama (PMU) Kuala Perlis dengan PMU Teluk Apau di pulau peranginan itu bermula Julai 2018 dan kini sudah 98 peratus siap.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah yang meninjau kerja-kerja berkaitan kabel tersebut pada minggu lalu, berpuashati dengan perkembangan projek itu yang berjalan mengikut jadual.

“Dengan siapnya projek ini, pengguna di Langkawi akan mendapat manfaat daripada kestabilan dan kecekapan bekalan tenaga yang dipertingkatkan.

“Projek ini juga mampu menjadi pemangkin kepada usaha meluaskan capaian internet jalur lebar di Langkawi menerusi Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) untuk merancakkan lagi sektor ekonomi pelancongan di pulau tersebut.”

“Projek merentang kabel dasar laut 132 kilovolt (kV) ini adalah sebahagian daripada perbelanjaan modal TNB untuk mengukuhkan infrastruktur elektrik negara,” katanya lagi.

TNB membelanjakan RM161 juta sebagai perbelanjaan modal untuk projek ini.

TNB
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (tiga dari kanan) dan Ir. Husaini Husin (tiga dari kiri) meninjau perkembangan kerja-kerja pembinaan kabel dasar laut sepanjang 26.5km yang menghubungkan Pencawang Masuk Utama (PMU) Kuala Perlis, Perlis dengan PMU Teluk Apau, Langkawi, Kedah. - Gambar TNB
 

Ketua Pegawai Grid TNB, Datuk Ir. Husaini Husin pula berkata, “Sistem elektrik di pulau peranginan itu kini dikawal sepenuhnya secara automasi dan apabila kabel dasar laut ini beroperasi kelak, ia akan meningkatkan kapasiti penerimaan tenaga yang lebih berdaya harap.”

Awal tahun lalu, sistem bekalan elektrik di Pulau Langkawi mula dikawal secara automasi sepenuhnya melalui Kawalan Penyeliaan dan Permolehan Data Berkomputer (SCADA) yang menghubungkan semua 409 pencawang di pulau peranginan itu, katanya.

Automasi ini membantu mempercepatkan masa pemulihan bekalan elektrik sekiranya berlaku kerosakan sistem.

Kabel dasar laut yang sedang direntang itu menggunakan teknologi terkini yang pertama kali digunakan di Malaysia, iaitu cross-linked polyethylene berbanding oil-filled cable yang digunakan sebelum ini, tambah Ir. Husaini. - DagangNews.com