Jangan tunggu nasi sudah jadi bubur, baru nak langgan takaful | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 11 January 2022

Jangan tunggu nasi sudah jadi bubur, baru nak langgan takaful

 

 

SALAH satu produk takaful yang tersedia ialah perlindungan bencana alam seperti banjir termasuk tanah runtuh (untuk harta benda), kenderaan bermotor dan kediaman. Namun, masih ramai di luar sana tidak sedar akan kepentingan produk perlindungan sedemikian.

 

 

Apabila berlaku sahaja insiden luar jangkaan, barulah kesedaran akan timbul tentang pentingnya perlindungan bencana alam ini, walaupun ia tidak disyaratkan oleh pihak pembiaya (sekiranya kediaman atau kenderaan bermotor dibiaya oleh bank).

 

Ibarat sudah terhantuk, baru terngadah. Nasi sudah jadi bubur.

 

Sebenarnya perlindungan bencana alam sebegini telah lama ditawarkan kepada pelanggan tetapi ramai yang tidak mahu mengambil perlindungan ini disebabkan terdapatnya tambahan harga sumbangan (premium) ke tabung tabarru’ yang perlu dijelaskan. 

 

Tambahan pula, amat jarang berlaku musibah bencana alam seperti banjir pada hujung tahun lalu yang mengakibatkan banyak kerosakan kepada kenderaan. 

 

 

banjir
Banjir yang berlaku baru-baru ini telah mengakibatkan banyak kerosakan harta benda dan kenderaan. - Gambar dari Facebook

 

 

Penulis mengharapkan agar bencana alam ini dapat membuka mata para pelanggan untuk memastikan mereka melanggan takaful perlindungan bencana alam yang disediakan oleh 4 penyelia takaful, iaitu Syarikat Takaful Malaysia Am Bhd., Takaful Ikhlas General Bhd., Etiqa General Takaful Bhd. dan Zurich General Takaful Malaysia Bhd.

 

Menurut Persatuan Insurans Am Malaysia (LIAM), kadar standard bagi perlindungan sama ada takaful atau insurans ke atas bencana alam merangkumi tambahan sekitar 0.086% untuk banjir dan 0.081% bagi tanah runtuh daripada jumlah perlindungan biasa. 

 

Bagi kenderaan bermotor pula kebiasaannya tambahan sekitar 0.2 hingga 0.25% di atas jumlah perlindungan biasa. 

 

Oleh itu, pelanggan sebenarnya boleh sahaja membuat penambahan perlindungan mengikut keperluan peribadi.

 

Seperkara lagi yang ingin penulis maklumkan ialah, sebarang tuntutan ganti rugi adalah bergantung kepada polisi atau sijil (perjanjian) individu dan isi rumah sama ada menambah klausa banjir dan bencana alam ke atas perlindungan kenderaan dan harta benda atau tidak.

 

Dalam hal ini, kepada para pelanggan yang terkesan dengan bencana alam ini, boleh merujuk kepada perjanjian mereka dahulu sebelum melontarkan kata-kata sumbang kepada pihak takaful kerana tidak membantu.

 

Sekiranya dalam perjanjian tiada perlindungan untuk bencana alam seperti banjir, maka pelanggan tidak boleh menuntut apa-apa daripada pihak takaful mahupun insurans. 

 

Harus diingat bahawa penyedia takaful mahupun insurans bukanlah badan kebajikan.

 

Di tahun 2022 ini, penulis menyeru para pelanggan untuk melanggan pelindungan bencana alam daripada pihak takaful demi memastikan pengurusan kewangan kita tidak terbantut sekiranya terlibat dengan musibah yang tidak tahu bila akan berlaku. - DagangNews.com

 

 

Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

utm

Portfolio Tags