Istiqamah Selepas Ramadan cara terbaik bagi seorang Muslim | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
WAINUIOMATA - 12 May 2022

Istiqamah Selepas Ramadan cara terbaik bagi seorang Muslim

 

 

SELALUNYA selepas Ramadan berhari raya untuk menyambut kemenangan dengan tahun ini disambut dengan mengejut dan tidak bersedia. Setelah PKP selama dua tahun kembali beramai-ramai memeriahkan suasana.

 

Tidak dapat dijangka pembaziran makanan selama hari raya kerana tiada orang mengagak dan menghitung. Mungkin semakin banyak pembaziran dengan juadah yang bertambah dengan rumah terbuka sepanjang raya sebulan Syawal sedangkan takbir pun hanya sehari.

 

Kalau di UAE hanya sehari pada 1 Syawal dan kembali bekerja dengan setiap masa mensyukuri rahmat setelah menelusuri tarbiyah Ramadan selama sebulan dan meraikan kesyukuran di atas kemenangan.

 

Ramadan jauh lebih meriah dengan suasana beribadah selama sebulan dengan 10 malam terakhir dan lailatulqadar di mana masjid dipenuhi manusia yang melimpah.

 

Dengan bersolat sunat Aidilfitri, bertakbir, bersedekah serta saling bermaafan sesama keluarga dan sahabat handai.

 

Dalam suasana norma baharu dan pelik dengan menyambut raya terkejut tidak mengurangkan kemeriahan manakala amalan tradisi turun temurun diteruskan walau mengambil langkah berjaga-jaga mengikut SOP yang telah ditetapkan.

 

Kesan tarbiyah Ramadan yang mendalam untuk memanfaatkan selepas Ramadan dengan ibadah dan amalan soleh berterusan. Diharapkan  hasil daripada tarbiyah boleh membimbing untuk mengharungi  bulan mendatang sebelum bertemu kembali Ramadan.

 

Untuk orang beriman keghairahan pesta ibadah Ramadan masih lagi berbekas di hati. Dapat mempengaruhi seluruh jiwa raga dan itulah kesan bagi golongan yang benar-benar rindukan Ramadan yang telah pergi.

 


 

fudzail

 


 

Jarak momentum amal ibadah Ramadan tidak terhenti dan mati begitu sahaja. Malah diteruskan dengan ibadah berpuasa enam hari di bulan Syawal di mana Allah SWT menjanjikan ganjaran pahalanya amat besar.

 

Daripada Abu Ayyub al-Ansari RA menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berpuasa sebulan Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam hari di bulan Syawal, maka dia mendapat ganjaran pahala seperti berpuasa sepanjang tahun.” (Riwayat Muslim).

 

Allah SWT menawarkan tambahan ganjaran  yang sangat tinggi nilainya. Dengan hanya menambahkan lagi enam hari berpuasa di bulan Syawal, Allah SWT menganugerahkan ganjaran besar selama setahun penuh berpuasa.

 

Satu peringatan menunjukkan isyarat jelas yang kehidupan perlu sentiasa istiqamah atau konsisten dalam zon ibadah dan amal soleh tanpa terputus dan mati begitu sahaja.

 

Dalam sebulan yang berlalu merupakan madrasah dan pusat latihan untuk memupuk keimanan melalui tarbiah fizikal dan spiritual. 

 

Zahirnya fizikal orang yang berpuasa adalah lebih baik dari keadaan fizikal orang yang sentiasa kenyang kerana perut yang kosong akan memudahkan untuk mengawal hawa nafsu.

 

Tidak dapat dinafikan, setiap kerosakan dan kebinasaan kepada kehidupan manusia banyak didorong oleh kebejatan hawa nafsu yang tidak terkawal dan terjaga. Selalu berlaku apabila Ramadan pergi segala rutin ibadah yang dahulunya sebati dalam diri beralih seolah-olah Ramadan ini tidak pernah kunjung datang.

 

Solat berjemaah sudah menjadi asing pada diri dengan al-Quran mula ditinggalkan, silaturrahim dengan jiran tidak lagi dihayati, fakir miskin dan anak-anak yatim tidak dipeduli dan disantuni lagi serta menjadi ignoran.

 


 

fudzail

 


 

Persoalannya, mengapakah nafsu yang dididik gagal untuk diterjemahkan di luar dan selepas Ramadan? Seharurnya tarbiyah Ramadan boleh meninggalkan kesan berskala besar kepada muslim dengan penuh keimanan dan beramal dengan penuh ketulusan.

 

Kalau di bulan puasa sanggup melazimkan diri berzikir, berwirid dan mengingati Allah SWT dengan membaca al-Quran sehingga khatam, selepas Ramadan tidak mampu untuk membaca al-Quran dan mentadabburnya walau sekadar 5 minit sahaja dalam sehari semalam.

 

Ramai bingkas bangkit bertahajud di sepertiga malam tetapi sungguh berat untuk bangun bertahajud walau sekadar 2 rakaat. Apalagi rutin harian tidak putus-putus bersedekah, menderma dan memberikan makan kepada fakir miskin namun tidak mampu meneruskan amalan bersedekah selepas Ramadan.

 

Dengan konsisten solat berjemaah dalam Ramadan tetapi tidak di luar Ramadan dengan mengabaikannya dan mengalpakan.

 

Melalui kesan tarbiyah dengan mendidik hati nurani supaya sentiasa bersyukur mengingati dan mengagumi kebesaran Allah. Serta tiada cemburu, hasad dengki dan iri hati dengan mengambil berat dan bantu membantu walaupun tidak diminta.

 

Sentiasa menjaga pandangan mata, pendengaran telinga, mulut dipelihara daripada mengeluarkan kata nista yang mencetus kemarahan. Namun sayang  cerminan tarbiyah Ramadan hilang begitu sahaja dengan berlalunya Ramadan yang mungkin usia tidak bertemu lagi.

 

Segala amalan baik yang telah dilakukan sepanjang Ramadan menuntut kepada istiqamah dalam penerusan pelaksanaannya. Mesti tanamkan iltizam dan pasakkan niat untuk meneruskan segala amalan yang telah dilaksanakan.

 

Perasaan bersedih untuk meninggalkan Ramadan dengan harapan untuk bertemu lagi merupakan fitrah jiwa orang yang cintakan amal soleh dan beribadah dalam mencari rezeki halal.

 


 

fudzail

 


 

Terus bermuhasabah tentang kedudukan untuk semangat dan kesungguhan dalam mentaati sepanjang Ramadan yang berlalu diteruskan di sepanjang hidup di dunia yang sementara.

 

Itulah matlamat dan objektif suasana ramadan yang sebenarnya untuk membentuk seorang insan yang bertaqwa dan sentiasa tawaduk dengan kehidupan.

 

Sentiasalah memperbaharui niat dengan ikhlas dalam setiap amalan yang dilakukan. Dengan muhasabah diri bertanya kenapakah semangat beramal soleh di dalam bulan Ramadan lebih hebat berbanding dengan keadaan di luar Ramadan.

 

Jika amal soleh itu ikhlas sepatutnya segala kebaikan dikekalkan dan dilaksanakan sepanjang waktu dalam kehidupan.

 

Mesti memperbanyakkan doa supaya dikurniakan kekuatan untuk melakukan amal soleh dan dijauhkan daripada godaan syaitan yang sentiasa menghasut untuk melakukan maksiat setiap hari.

 

Berikhtiar dalam mencari rakan yang suka melakukan kebaikan dan sentiasa ikhlas kerana dalam proses perubahan diri akan sentiasa mengajak untuk melakukan kebaikan malahan menegur kesalahan dan dosa.

 

Mengkaji dan menghayati sirah Nabi SAW dan kehidupan para sahabat terutama yang dijamin syurga. Dari anugerah yang dikurniakan tidak menjadikan sahabat bermalas-malasan mahupun berehat di rumah dengan duduk bersahaja.  

 

Para sahabat tetap bersungguh-sungguh beramal, bersyukur dan sentiasa bertaubat.

 


 

fudzail

 


 

Patut mulakanlah amal soleh secara berperingkat-peringkat dengan berterusan dan konsisten iaitu istiqamah setiap masa. Bermula langkah dengan jumlah yang sedikit kepada jumlah yang banyak.

 

Harus bermula dari peringkat yang rendah hingga ke peringkat yang tinggi secara perlahan-lahan dan berterusan mengikut kemampuan.

 

Rasulullah SAW telah bersabda: “Amalan yang paling dicintai oleh Allah SWT ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit.” (Riwayat Muslim).

 

Mulakanlah amalan membaca al-Quran dengan jumlah yang sedikit dan ringan di waktu terluang walau sekejap atau ayat yang pendek.

 

Mulakanlah amalan berpuasa sunat dengan puasa 6 hari dibulan Syawal terlebih dahulu kemudian puasa sunat pada hari Isnin dan  Khamis setiap minggu.

 


 

fudzail

 


 

Beramal dengan penuh ketulusan merupakan suatu kewajipan seorang mukmin sebab merupakan syarat suatu amal itu diterima. Segala amal soleh yang telah dikerjakan sepanjang bulan Ramadan perlu diteruskan secara istiqamah.

 

Dalam melaksanakan tuntutan dan kewajipan ibadah harus bersabar menghadapi ujian sebagaimana berpuasa dengan menahan diri daripada lapar dan dahaga serta tuntutan nafsu syahwat.

 

Sentiasa istiqamah biar sedikit amal soleh untuk jalan ke syurga yang kekal di akhirat.

 

Mohd Fudzail Mohd Nor telah aktif menulis di pelbagai medium termasuk sebagai kolumnis portal berita dan memenangi banyak hadiah sastera selama beliau berkelana di luar negara. Kolum Wainuiomata ini adalah bersempena nama bandar universiti beliau di New Zealand. - DagangNews.com

 

 

KLIK DI SINI UNTUK HIMPUNAN KOLEKSI TULISAN WAINUIOMATA

Portfolio Tags