Iskandar Mizal diumum Pengarah Urusan MAHB ganti Shukrie | DagangNews Skip to main content

Iskandar Mizal diumum Pengarah Urusan MAHB ganti Shukrie

KUALA LUMPUR 22 Okt - Desas desus industri mengenai hubungan retak antara Pengerusi Malaysia Airport Holdings Berhad, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dengan CEO Dato Shukrie Mohd Salleh menjadi kenyataan, dengan syarikat itu mengumumkan Dato Iskandar Mizal Mahmood sebagai Pengarah Urusan baharu berkuatkuasa 25 Oktober ini.

 

Iskandar yang merupakan bekas Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, juga pernah menjadi CEO Kumpulan Pos Malaysia, jawatan yang juga pernah dipikul oleh Shukrie sebelum menyertai MAHB.

 

Pelantikan Iskandar ini bagaikan sireh pulang ke gagang kerana beliau pernah menjadi Pengurus Besar MAHB (1999-2003) dan mengetuai pasukan penyenaraian MAHB di Bursa Malaysia selain berkhidmat di bahagian Kewangan, Kewangan Korporat, Pembangunan Perniagaan dan Hubungan Pelabur.

 

Selain itu, Iskandar terlibat dalam usaha sama antarabangsa iaitu mengambil alih operasi Lapangan Terbang Rajiv Gandhi Hyderabad di India dan ahli lembaga pengarah lapangan terbang Phnom Penh dan Siem Reap di Kemboja.

 

Iskandar Mizal Mahmood
Iskandar Mizal Mahmood

 

 

Awal minggu ini, DagangNews memetik sumber industri yang menyatakan hubungan Shukrie dan Zambry berada dalam kedudukan runcing, termasuk dalam isu Lapangan Terbang Subang.

 

MAHB telah mengeluarkan kenyataan khusus untuk menafikan laporan DagangNews tersebut, yang ternyata hari ini ada kebenaran dengan penamatan perkhidmatan Shukrie.

 

Baca di sini : MAHB spat: Zambry and Shukrie at loggerheads over Subang airport

 

dan di sini : MAHB denies Dagangnews's report purportely issues between CEO and Chairman

 

MAHB juga mengeluarkan dua kenyataan media berbeza iaitu satu khusus mengumumkan pelantikan Iskandar dan satu lagi apa yang terjadi kepada Shukrie. 

 

Sehingga artikel ini ditulis pada 6.17 petang Jumaat, kenyataan mengenai Shukrie belum dikeluarkan oleh MAHB.

 

Dalam kenyataan yang diterima pukul 7.15 malam ini, MAHB mengumumkan Shukrie menamatkan perkhidmatannya sebagai CEO Kumpulan berkuatkuasa 24 Oktober 2021, untuk mencari peluang lain. 

 

''Dato’ Mohd Shukrie menyertai MAHB sebagai Ketua Pegawai Operasi pada Mei 2019 sebelum menjadi CEO Kumpulan pada 2020.

 

''Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau adalah instrumental di dalam memacu Kumpulan semasa tempoh teruk pandemik dan mengekalkan operasi dan kestabilan kewangan Kumpulan,'' kata MAHB. - DagangNews.com