Involve Asia umum rancangan kembangkan operasi di Asia Tenggara | DagangNews Skip to main content

Involve Asia umum rancangan kembangkan operasi di Asia Tenggara

Oleh NABILA YASMIN RAZIB

KUALA LUMPUR 27 Jan -  Platform teknologi pemasaran Involve Asia mengumumkan rancangannya pengembangan operasinya di rantau ini selepas berjaya mencatat kadar pertumbuhan tahunan terkompaun 141%.

 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Involve Asia, Jimmy How berkata, langkah tersebut adalah selari dengan pertumbuhan e-dagang dan ekonomi digital yang mantap di Asia Tenggara.

 

"Asia Tenggara kini berada di barisan hadapan dalam bidang e-dagang dengan adanya ramai pengguna baharu dari kawasan-kawasan yang sedang membangun di luar kawasan metropolitan utama yang mula berada dalam talian dan menggunakan perkhidmatan digital baharu. 

 

"Ini menimbulkan keperluan terhadap penyelesaian teknologi pemasaran untuk membantu jenama-jenama mengoptimumkan strategi pemasaran mereka dan mendekati khalayak pelanggan yang lebih besar menerusi usaha sama yang khusus dan setempat dengan penerbit laman web, pempengaruh dan affiliate," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Tambahnya, pengiklan seperti Shopee, Lazada, Tokopedia dan lain-lain lagi mempunyai akses kepada lebih 240,000 rakan niaga yang terdiri daripada pempengaruh sehinggalah kepada laman web yang sering dikunjungi dan lain-lain lagi untuk membantu menarik lebih ramai pengguna ke perniagaan mereka melalui platform Involve Asia.

 

Syarikat berpangkalan di Malaysia yang telah mempunyai kedudukan yang teguh di Asia Tenggara itu menyelia lebih satu juta usaha sama dengan penerbit laman web, pempengaruh dan affiliate di rantau ini, yang membantu pengiklan dari lebih 200 jenama global menjana jualan lebih AS$1.4 bilion sejak ia ditubuhkan, termasuklah syarikat gergasi e-dagang, Shopee, Lazada, JD dan Tokopedia.

 

"Banyak syarikat gergasi e-dagang, penyedia perkhidmatan dan jenama antarabangsa di rantau ini ingin mendekati pengguna yang semakin ramai memilih untuk menggunakan teknologi digital untuk membeli-belah atau mendapatkan perkhidmatan. 

 

"Usaha sama dengan nama-nama dan platform yang mempunyai kedudukan yang mantap di ruang digital kini menjadi tumpuan bagi kebanyakan jenama. Bagaimanapun, pelaksanaannya pada skala yang besar adalah sukar kerana terdapat begitu banyak komponen yang perlu dikendalikan. 

 

"Di sinilah bermulanya penglibatan Involve, di mana fungsinya adalah untuk membolehkan jenama mengekalkan beribu-ribu usaha sama dengan mudah menerusi platform teknologi kami," katanya.

 

Involve Asia kini berada di enam buah negara di Asia Tenggara dan sehingga kini telah meraih AS$3.5 juta, di mana pelabur-pelaburnya termasuklah syarikat modal teroka global 500 Startups, Accord Ventures, OSK Ventures International, GDP Venture, CAC Capital dan Cradle Seed Ventures.  -DagangNews.com