Insentif kepada e-dagang asing bunuh industri tempatan | DagangNews Skip to main content

Insentif kepada e-dagang asing bunuh industri tempatan

Risalah Insentif e-dagang

KUALA LUMPUR 30 Jun – Keputusan kerajaan memilih lima syarikat gergasi e-dagang global sebagai antara penerima dana Kempen E-Dagang Mikro & PKS sebanyak RM70 juta, dan Dana Penjana Shop Malaysia Online juga RM70 juta, dianggap boleh membunuh pemain tempatan.

Persatuan e-Dagang Merentas Sempadan, Chin Chee Seong berkata, dengan memberikan insentif kewangan kepada pemain asing ini, Malaysia sebenarnya memberi subsidi pedagang asing yang sudahpun memiliki sumber yang kuat, termasuk gergasi e-dagang global untuk bersaing dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) negara ini.

Ini bermakna kata beliau, pembayar cukai Malaysialah yang membiayai operasi mereka untuk menerobos industri e-dagang negara ini, sekaligus menjejaskan pemain tempatan.

Chin Chee Seong
Chin Chee Seong

"Ini juga bermakna menembak kaki sendiri menerusi langkah sedemikian kerana ia sangat tidak produktif dengan apa yang PENJANA mahu capai," ujar beliau.

Semalam, portal berita perniagaan DagangNews.com melaporkan lima syarikat multinasional iaitu Lazada, Shopee, Grab, Zalora dan Foodpanda dipilih sebagai antara penerima dana Kempen E-Dagang Mikro & PKS sebanyak RM70 juta, dan Dana Penjana Shop Malaysia Online juga RM70 juta.

Lima lagi entiti merupakan syarikat tempatan iaitu Fashion Valet (terkenal dengan produk tudung Duck), Boost, MyFave, Touch N Go dan Maybank, yang baru melancar portal e-dagang semasa Perintah Kawalan Pergerakan.

Menurut dokumen Kementerian Kewangan yang dilihat dagangnews.com, kesemua entiti di atas berperanan `menyediakan latihan, subsidi penjual dan sokongan pemasaran’ kepada perusahan mikro dan perusahan kecil & sederhana (PKS).

Kedua-dua dana ini diumumkan oleh kerajaan pada 5 Jun lalu, yang menyatakan sebanyak RM70 juta diperuntukkan daripada Bajet negara untuk disepadankan dengan platform-platform e-dagang, bermula Ogos hingga September ini.

Namun, pemerhati industri melahirkan rasa hairan kerana bukan sahaja daripada sudut hanya 10 syarikat terpilih, tetapi 50% merupakan entiti multinasional.

Chee Seong menyarankan supaya pelan pelaksanaan kedua-dua dana itu diperhalusi lagi, dengan para pengendali industri e-dagang tempatan termasuk persatuan perniagaan dibawa berbincang bagi mencapai pendekatan lebih pragmatik untuk memastikan situasi `menang-menang’ bagi peserta industri tempatan dengan rakyat Malaysia sebagai pengguna.

Sebagai contoh ujar beliau, kejayaan #MYCYBERSALE, iaitu inisiatif tahunan kebangsaan dikendalikan PIKOM dengan kerjasama Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) adalah acara yang berjaya untuk tahun keenam berturut-turut diadakan.

Katanya, #MYCYBERSALE sangat berjaya menjadi pemangkin kepada pertumbuhan di dalam industri e-dagang kebangsaan.

"Model pengendalian dan jenama sudah ada, dan Malaysia tidak perlu mencipta benda lain pula untuk skim e-dagang PENJANA," ujar beliau. – DagangNews.com