Industri Perancangan Harta mesti dilesen dan dikawal pihak berkuasa | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 27 June 2022
Wasiyyah

Industri Perancangan Harta mesti dilesen dan dikawal pihak berkuasa

 

 

 

ARTIKEL saya minggu ini ada kaitan dengan artikel minggu lepas. Saya telah pun menceritakan tentang carta alir pengurusan harta pusaka yang tular itu dan pandangan saya terhadapnya.

 

Dari awal artikel ini saya memohon maaf sekiranya ada yang tersinggung dengan apa yang ingin saya utarakan minggu ini.

 

Namun apa yang akan saya kongsikan ini adalah hakikatnya dan apa yang berlaku dalam masyarakat hari ini berpunca dari keadaan ini.

 

Jelasnya pencipta carta alir itu telah tersilap di dalam penerangannya dan ia telah mencetuskan kontroversi yang hangat di dalam masyarakat sehingga timbul semula isu hibah melarikan diri dari hukum faraid.

 

Ini berlaku walaupun telah diperjelaskan oleh pelbagai pihak termasuk saya sendiri tentang hakikat sebenar pelaksanaan hibah ini baik dari sudut hukum syarak mahupun dari segi undang-undang yang berkuatkuasa.

 

Sebenarnya punca utama kepada masalah ini bukanlah kerana instrumen hibah itu sendiri.

 

Kewujudan hibah di dalam Islam cukup lengkap penerangannya berdasarkan al-Quran, hadis dan hujahan ulama.

 

Di Wasiyyah Shoppe Berhad, penyelidikan dan perbincangan ilmiah tentang hibah yang telah kami lalui semenjak 18 tahun yang lepas dengan pelbagai pihak berkepakaran di dalam bidang berkaitan seperti ilmuwan fiqh mawarith, pengamal dan penegak undang-undang Syariah dan Sivil serta pakar pengurusan harta pusaka orang Islam , semuanya menunjukkan dengan jelas bahawa tiada apa pun masalah dengan pelaksanaan hibah dalam perancangan harta bagi orang Islam.

 

 

Wasiyyah

 


Yang menjadi masalah utama ialah apabila ada pihak yang tidak mempunyai ilmu yang mencukupi cuba menyebarkan kefahaman tentang hibah mengikut pengalaman dan  pandangan peribadi, ilmu sekadar tanya-tanya seorang dua kawan atau dari sumber yang mereka agak-agak sahaja.

 

Mereka tidak belajar secara khusus dari mana-mana pakar yang benar-benar berkepakaran di dalam bidang berkaitan jauh sekali dari memiliki disiplin ilmu yang baik.

 

Ilmu fiqh ini luas dan meliputi pelbagai bidang. Tidak semua orang yang belajar ilmu agama dapat menguasai ilmu fiqh mawarith dengan baik.

 

Saya kerap berjumpa orang yang bertaraf profesor di dalam bidang agama pun bertanya saya soalan-soalan ‘asas’ yang masih menjadi kekeliruan mereka tentang harta pusaka.

 

Namun saya ‘angkat topi’ dan menghormati mereka kerana mereka tidak malu mengaku mereka kurang ilmu dalam bidang ini.

 

Saya samakan situasi ini seperti analogi sibuta yang cuba menceritakan deskripsi seekor gajah hanya melalui sentuhan. Pastinya sibuta pertama yang memegang belalai akan mengatakan gajah itu seperti tali. Sibuta kedua yang memegang kaki pula akan mengatakan gajah itu seperti pohon kelapa.

 

Ilmu berkaitan harta pusaka juga sudah menjadi sedemikian. Sibuta yang mempunyai ilmu yang terhad akan memberikan pandangan berdasarkan ilmu mereka yang terhad itu.

 

Inilah yang menjadikan industri perancangan harta di Malaysia hari ini kacau-bilau dan kelam kabut.

 

Saya berpandangan bahawa orang yang ingin membawa ilmu ini ke dalam masyarakat mestilah memegang ketat AMANAH ILMU.

 

Perkataan ini masih asing di telinga penggiat industri perancangan harta di Malaysia dan masih jauh dari menjadi prinsip amalan mereka.  

 

AMANAH ILMU bermaksud kita mesti jujur untuk menyampaikan hanya maklumat yang tepat sahaja kepada masyarakat.

Wasiyyah

 

 

Sekiranya sesuatu itu tidak boleh dilaksanakan kerana kekangan tertentu, maka kita kena berani mengatakan ia tidak boleh dibuat walaupun ia bermakna kita akan kehilangan potensi pendapatan!

 

Orang yang ingin menceburi industri perancangan harta mestilah mampu menguasai aspek teknikal hukum-hakam yang berkaitan dengan penghartaan dalam Islam.

 

Ini bagi memastikan mereka benar-benar mampu memberikan penerangan yang jelas dan tepat kepada masyarakat supaya insiden pencipta carta alir minggu lepas tidak berlaku.

 

Jauh dari sekadar melakukan ‘sales’, keutamaan kepada penggiat industri yang memegang AMANAH ILMU ialah untuk memastikan hukum Syarak itu ditegak dan didaulatkan sesempurna mungkin.  

 

Selain hukum-hakam, mereka juga perlu menguasai aspek teknikal pelaksanaan hukum-hakam tersebut di dalam undang-undang Syariah yang berkenaan di Malaysia.

 

Pengetahuan tentang enakmen-enakmen serta analisis kes-kes lepas yang berkaitan perlu difahami supaya aplikasi hukum selari dengan penguatkuasaan undang-undang Syariah.

 

Tidak cukup dengan itu, mereka juga perlu faham bagaimana pelaksanaan hukum-hakam yang selari dengan undang-undang Syariah itu boleh diharmonikan dengan kerangka undang-undang sivil yang terkait dengan urusan penghartaan orang Islam di Malaysia supaya pihak yang berhak dapat menerima harta yang dimaksudkan dengan tepat, cepat dan mudah.

 

Menjadi tanggungjawab sesiapa pun yang ingin menyertai industri ini  untuk memastikan apa sahaja  yang ingin disampaikan kepada masyarakat tidak menyebabkan berlakunya konflik perlembagaan apabila berlakunya pertembungan bidang kuasa undang-undang Syariah dan Sivil.

 

 

Wasiyyah

 

 

Untuk memastikan semua ini berlaku, seseorang atau sesuatu organisasi itu mestilah mempunyai pengalaman dan kepakaran yang bersesuaian serta dipantau oleh Panel Syariah yang mantap dan diberikan autoriti dari segi tadbir urus korporat organisasi berkenaan.    

 

Apa yang menjadi masalah besar kepada masyarakat Malaysia hari ini ialah apabila orang atau organisasi yang ingin terlibat di dalam industri perancangan harta tidak memahami dan menguasai ilmu-ilmu yang saya sebutkan di atas.

 

Organisasi mereka tidak mempunyai Panel Syariah berkaliber dengan terma rujukan yang jelas.

 

Wujud juga keraguan besar tentang siapakah yang bertanggungjawab dalam pembangunan produk mereka.

 

Adakah produk itu hasil dari pandangan peribadi sahaja, telah melalui proses saringan dan disiplin ilmu yang ketat dan siapakah autoriti yang mengawal perjalanan operasi organisasi ini bagi memastikan kepentingan masyarakat dilindungi dan tidak dieksploit?

 

Semenjak dahulu saya istiqomah memperjuangkan isu bahawa penggiat industri hendaklah terdiri dari mereka yang dilesenkan oleh pihak berkuasa dan aktiviti mereka mesti dipantau ketat.

 

Ini untuk mengelakkan dari berlakunya situasi masyarakat dieksploit atau ilmu perancangan harta itu sendiri diseleweng dan diputarbelitkan untuk kepentingan pihak tertentu.

 

 

Wasiyyah

 

 

Jika penggiat industri kewangan boleh dikawal melalui pensijilan Certified Financial Planner, Shariah Registered Financial Planner, Islamic Financial Planner serta pengeluaran lesen tertentu oleh Bank Negara Malaysia ( BNM ) khas bagi organisasi yang terlibat, kenapa industri perancangan harta tidak dibuat sedemikian? Adakah industri ini hanya picisan dan tidak signifikan kepada Malaysia?

 

Kekurangan kawalan ini menyebabkan sesiapapun boleh mendakwa mereka adalah pakar dan memasuk industri ini tanpa sebarang ‘credential’ yang kukuh malah saya tahu secara jelas ada orang yang berstatus bankrap juga mengetuai organisasi yang mendakwa sebagai pakar di dalam perancangan harta secara Syariah.

 

Semakin hari semakin ramai masyarakat yang terkeliru dengan pandangan individu atau organisasi ‘tidak berlesen’ yang dengan sewenang-wenangnya mengeluarkan pelbagai pandangan ‘tidak cukup masak’ yang mencetuskan pelbagai kontroversi.

 

Situasi ini tidak sihat untuk industri perancangan harta secara Syariah dan menyebabkan perkembangan industri ini terbantut.

 

Sebagai orang tua dalam industri semenjak 1998 dan melihat landskap industri ini berubah di depan mata, saya harap adalah pihak berkuasa memandang isu perlesenan ini dengan serius dan mengambil tindakan sewajarnya.

 

 

ariffinsabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Bhd.

 

 

ariffinsabirin

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

Portfolio information
 
Portfolio Tags