Penstriman langsung - Platform masa kini | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Industri Kreatif - 27 May 2022

PENSTRIMAN LANGSUNG – PLATFORM MASA KINI

 

 

BEBERAPA bulan ini, saya menyaksikan perkembangan yang menarik dengan kemunculan saluran penstriman langsung iaitu ZRA Strim - yang dikendalikan wartawan berpengalaman, Zainal Rashid Ahmad.

 

Dalam tempoh masa tidak sampai dua bulan, saluran tersebut mendapat sambutan yang sangat baik – dengan berbelas ribu pengikut mengikuti halaman Facebook saluran tersebut.

 

Ia angka yang sangat baik bagi sebuah saluran penstriman langsung baharu, apatah lagi kandungan memaparkan subjek yang sarat dengan nilai keilmuan serta isu semasa.

 

Penstriman langsung yang saya maksudkan di sini adalah yang menampilkan kandungan yang bersiaran langsung melalui platform media sosial sedia ada, termasuklah Facebook, Youtube dan lain-lain, yang kelazimannya dikendalikan oleh individu atau perniagaan berskala kecil.

 

Meskipun sebelum itu telah banyak saluran yang menampilkan penstriman langsung terutama oleh para streamers/gamers dengan kandungan bersifat hiburan, tapi kemunculan ZRA Strim yang menampilkan kandungan bertema kemanusiaan dan isu semasa yang sering dimomokkan sebagai kandungan tidak bernilai komersial membuktikan ia adalah sesuatu yang berbeza, sekaligus dilihat sedikit sebanyak merubah demografi pemain dan pengikut dunia penstriman langsung di Malaysia.

 

Mengenali Zainal Rashid Ahmad sebagai bekas seorang majikan ketika saya bertugas di salah sebuah saluran televisyen tanah air, beliau memang diketahui sering tampil dengan idea dan pendekatan di luar kebiasaan.

 

Beliau yang terlebih dahulu tampil melalui platform penstriman langsung `Garasi’ sebuah platform jualan barangan jeans yang dibangunkan bersama rakan-rakan sekali lagi membuktikan keberanian keluar dari zon selesa untuk membawa pembaharuan sekaligus mengusahakan sesuatu yang lebih dekat dengan jiwanya melalui ZRA Strim ini.

 

 

zra strim
Angka tontonan semasa tertinggi ZRA Strim kelolaan Zainal Rashid Ahmad (kanan) bersama artis Salih Yaccob pada 23 Mei 2022

 


Namun, ZRA Strim bukanlah satu-satunya saluran penstriman langsung yang wajar diperhatikan. Saya percaya banyak lagi saluran-saluran seumpamanya yang membawakan kandungan berkualiti yang pelbagai, yang mungkin belum saya temui  tetapi harus kita terokai dan dekati.

 

Dalam dunia hari ini, bakat-bakat terpendam yang mungkin selama ini tidak mendapat pendedahan di media arus perdana sudah mampu membangunkan platform mereka sendiri bagi menonjolkan bakat mereka.

 

Para ilmuan juga sudah mempunyai akses yang sangat baik untuk terus menyebarkan pengetahuan, pengalaman serta kepakaran mereka kepada seramai mungkin ahli masyarakat tanpa perlu ditentukan oleh orang lain – bentuk dan sisi mana yang mereka mahu tampilkan.

 

Satu daripada faktor utama perkembangan pantas dunia penstriman ini adalah sifatnya yang mendukung pendemokrasian media, di mana sesiapa sahaja mampu membangunkan kandungan, mahupun salurannya sendiri dalam menyampaikan apa sahaja yang difikirkan wajar olehnya.

 

Dengan pendekatan penceritaan yang lebih peribadi, ia juga membuatkan penonton merasa lebih akrab dengan kandungan yang disampaikan.

 

Penstriman langsung ini juga memecahkan kepompong dan kerangka kandungan media yang sebelum ini didominasi, dikuasai serta ditentukan perspektifnya oleh organisasi media, sekaligus membuatkan penonton boleh memilih dan menonton kandungan yang membawa naratif yang mereka mahu.

 

 

zra strim
ZRA Strim memiliki pengikut yang mengagumkan dalam masa yang singkat.

 

 

Maka ia juga mewujudkan pasaran niche, yang sebelum kemunculan penstriman ini memerlukan kos yang besar untuk menghasilkan kandungan bagi pasaran dengan pulangan yang tidak setara  tapi kini tidak lagi.

 

Penstriman langsung membuktikan kewujudannya mampu mengubah gaya hidup semasa dan akan datang, dengan ketika permulaannya beberapa tahun lalu  banyak dipelopori oleh strim permainan elektronik (e-games), seterusnya gelombang peniaga yang berjualan secara strim, termasuklah menjadi platform kupasan serta hebahan isu semasa, kini ia terus berkembang dan bercambah untuk pelbagai tujuan.

 

Saya sendiri tidak pasti bagaimana dan apakah yang mampu dihasilkan serta digerakkan oleh penstriman langsung ini pada masa akan datang.

 

Namun, saya pasti ia mampu membawakan sesuatu yang besar dalam ekosistem kehidupan sekaligus mempengaruhi cara hidup seharian manusia pada masa depan.

 

Penstriman langsung bukan sekadar medium yang mengubah gaya hidup global, namun ia juga  mempunyai keupayaan penjanaan ekonomi yang berimpak besar seiring dunia tanpa sempadan kini.

 

 

zra strim

 

 

Saya percaya bahawa sudah ada penstriman langsung oleh individu-individu yang mampu menjadi komoditi bernilai jutaan ringgit, apatah lagi apabila ia dikendalikan oleh seseorang yang bergelar selebriti.

 

Tidak mustahil, dalam masa terdekat, para tokoh dunia dari pelbagai bidang termasuk politik, perniagaan dan sebagainya bakal tampil dengan saluran penstriman langsung mereka sendiri. Sudah ada beberapa yang sudah memulakannya.

 

Namun, ia tidak menghalang sesiapa juga masyarakat termasuklah peniaga kecil, pemuzik jalanan, malah pelajar sekolah untuk turut memanfaatkannya.

 

Begitulah kelebihan yang ada pada penstriman langsung ini – di mana ia sebagai platform media yang menawarkan ruang demokrasi kepada semua. - DagangNews.com

 

Ts Azharul Azmir Kamarulzaman merupakan Pengarah Urusan / Penerbit bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd dan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF).

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL INDUSTRI KREATIF

Portfolio Tags