Individu muflis masih boleh menyumbang kepada ekonomi negara | DagangNews Skip to main content

Individu muflis masih boleh menyumbang kepada ekonomi negara

Ramai kehilangan pekerjaan akibat pandemik COVID-19 sehingga mereka diisytihar bankrap. - Gambar hiasan : Unsplash/Deva Darshan
Oleh FLK

 

 

SETIAP hari, ada sahaja berita bagaimana rakyat menghadapi kesempitan dalam menampung kehidupan seharian. Malah, ia semakin meningkat sejak tercetusnya pandemik COVID-19 pada Mac 2020.

 

 

Cuba bayangkan pula bagaimana individu muflis mengurus kehidupan mereka? Seribu kali lebih teruk. Individu muflis juga adalah orang biasa. 

 

Mereka bukan anasir jahat yang boleh mencetuskan huru-hara atau mengancam keselamatan negara, mereka juga bukan penjenayah.

 

Individu muflis adalah warga yang masih berkebolehan dan mampu menyumbang dalam pelbagai aspek ekonomi negara.

 

Akibat pelaksanaan beberapa siri dan bentuk perintah kawalan pergerakan di negara kita, banyak perniagaan dalam pelbagai sektor ekonomi merosot atau terpaksa gulung tikar.

 

Apabila perniagaan ini gulung tikar, mereka akan memberhentikan pekerja yang menyebabkan kadar pengangguran berada di tahap 4.8% sejak awal tahun ini.

 

Sejak pandemik menular, individu muflis terpaksa bersaing dengan 770,000 penganggur untuk mencari pekerjaan. Angka pengangguran ini dijangka meningkat jika pandemik tidak dapat dikawal.

 

 

gambar hiasan

 

 

Pelepasan automatik di bawah pindaan RUU Insolvensi

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Insolvensi (Pindaan) 2020 di Dewan Rakyat pada 12 Ogos 2020 yang diluluskan tanpa sebarang pindaan menerusi undian suara.

 

Dalam pindaan itu, satu peruntukan baharu diperkenalkan di bawah Seksyen 33C, iaitu pelepasan automatik yang mana tempoh muflis ditadbir selama 3 tahun dari tarikh pemfailan Pernyataan Hal Ehwal orang muflis dengan mengambil kira amalan terbaik antarabangsa bagi melayakkan mereka dilepaskan secara automatik.

 

Walaupun peruntukan itu digelar pelepasan automatik, tetapi ia masih tertakluk kepada pematuhan syarat yang digariskan dalam Akta Insolvensi 1967 (Akta 360). 

 

Syarat itu adalah orang muflis berkenaan perlu mematuhi arahan dan memberi kerjasama penuh kepada Jabatan Insolvensi dengan:

 

  • Mengemukakan penyata hal ehwal secara terperinci berkaitan hutang dan harta kepada Jabatan Insolvensi sebaik dijatuhkan perintah bankrap
  • Mencapai sasaran sumbangan untuk hutangnya dan mematuhi keperluan pemakluman setiap 6 bulan kepada Ketua Pengarah Insolvensi berkaitan penyata pendapatan dan perbelanjaan membabitkan wang serta segala hartanya. Sama ada sasaran sumbangan mencapai tahap yang dikehendaki atau tidak, ia ditentukan Ketua Pengarah Insolvensi
  • Selepas itu, notis mengenai pelepasan automatik ini akan diberikan Jabatan Insolvensi kepada pihak pemiutang yang boleh membawa permohonan bantahan ke mahkamah

 

Kemudian, mahkamah sama ada boleh mengetepikan bantahan pemiutang dan memberikan pelepasan kepada si bankrap atau menangguhkan pelepasan selama 3 tahun dengan pelepasan berkuat kuasa selepas tempoh itu.

 

Sekiranya, mahkamah menerima bantahan pemiutang, si bankrap perlu meneruskan pembayaran sumbangan bagi hutangnya kepada Jabatan Insolvensi. Selepas tamat tempoh 2 tahun dari tarikh perintah mahkamah menangguhkan pelepasan, beliau akan dilepaskan daripada kebankrapan.

 

Masalah kebankrapan jika tidak dibendung boleh menjadi tidak terkawal dan membawa implikasi negatif kepada petunjuk prestasi ekonomi sesebuah negara.

 

Sejak 2017, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyuarakan kebimbangan terhadap situasi ramai penjawat awam berdepan risiko muflis.

 

Antara punca muflis adalah kegagalan membayar hutang, termasuk akibat kegagalan dalam perniagaan, iaitu apabila tidak mampu membayar hutang kepada bank atau pihak kewangan apabila perniagaan gagal.

 

Sepatutnya, bagi golongan ini, pengalaman yang dilalui menjadikan mereka lebih berdaya saing berbanding peniaga lain. Pengalaman sebegitu tidak mudah diperoleh atau dicari di mana-mana.

 

 

gambar hiasan

 

 

Keadaan ekonomi umpama medan perang

 

Keadaan ekonomi negara kini tidak ubah seperti medan peperangan. Dalam keadaan ini, ada kemungkinan negara memerlukan kebolehan setiap rakyat yang berupaya untuk 'berperang' demi mempertahankan kedaulatan negara.

 

Untuk mengembalikan ekonomi ke tahap seperti sebelum pandemik, negara memerlukan pertolongan dan kerjasama setiap lapisan masyarakat. Tiada siapa terkecuali, termasuk individu muflis.

 

Tetapi sebelum individu muflis dapat kembali dan memberi sumbangan kepada negara, status muflis mereka perlu dibubarkan atau dipadam daripada senarai Jabatan Insolvensi dengan serta-merta.

 

Pandemik ini amat luar biasa. Tidak pernah ada wabak sepertinya yang mampu melumpuhkan ekonomi di seluruh dunia.

 

Keadaan luar biasa juga memerlukan penyelesaian luar biasa. Kerajaan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar perlu berani membentangkan dan mencari kaedah penyelesaian untuk memulihkan kembali ekonomi negara.

 

Seperti diskaun yang diberi kepada pesalah trafik untuk menggalakkan mereka membayar saman trafik dengan segera, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar boleh memberi pengecualian khusus sekali, iaitu individu muflis yang berada dalam senarai Jabatan Insolvensi melebihi 3 tahun dikecualikan daripada syarat ditetapkan.

 

Perlukah pindaan dibuat dan diluluskan Dewan Rakyat jika Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersetuju dengan cadangan ini?

 

Kami rasa tidak perlu kerana pindaan yang diluluskan pada Ogos 2020 mempunyai peruntukan untuk pelepasan automatik dan tidak kira sama ada pemiutang kepada pemohon yang muflis membuat bantahan atau tidak, pemohon itu akan dilepaskan.

 

Kalau tiada bantahan, pelepasan boleh dibuat bagi pemohon yang sudah muflis selama 3 tahun.

 

Jika ada bantahan, pemohon muflis boleh memohon kepada mahkamah untuk pelepasaan dan mahkamah akan memerintahkannya meneruskan pembayaran sumbangan hutangnya kepada Jabatan Insolvensi selama 2 tahun lagi sebelum dilepaskan daripada kebankrapan sebaik tamat tempoh itu.

 

Pendek kata, orang muflis akan dilepaskan paling awal 3 tahun atau paling lambat ialah 5 tahun.

 

Cadangan pengecualian ini untuk sekali sahaja dan dilaksanakan khusus akibat pandemik yang menjejaskan banyak perniagaan dan sumber pendapatan rakyat.

 

Kerajaan boleh menetapkan satu tarikh dengan pengecualian ini merangkumi semua orang muflis dalam senarai Jabatan Insolvensi sebelum 31 Julai 2022 atau tarikh lain yang bersesuaian.

 

Negara akan rugi jika kita tidak mengambil kesempatan dan menggunakan pengalaman mereka yang muflis dalam membangun dan membina semula ekonomi negara.

 

Diharapkan, Wan Junaidi dapat memberi pertimbangan dan bertindak atas cadangan terbuka ini. Jasa Datuk Seri dan kerajaan akan dikenang 293,000 rakyat di negara ini yang dikategorikan muflis. - DagangNews.com

 

 

FLK ialah pembaca DagangNews.com