Hero Hikayat Lama/ Pertarungan Epik Sejarah Melayu | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 19 June 2021

HERO HIKAYAT LAMA/ PERTARUNGAN EPIK SEJARAH MELAYU

 

 

HARI ini kita tidak lagi mengenali hero atau wira bangsa yang berwibawa dan dekat di hati, Hang Tuah. Ada pelbagai cubaan memadamkan sinarnya di hati kita.

 

Namun, pada masa saya di alam persekolahan, berlainan halnya - hero dunia Malaya adalah nyata Hang Tuah lima bersaudara.

 

Dunia telah berubah. Kali terakhir kita melihat Hang Tuah contohnya adalah dari filem legenda Puteri Gunung Ledang lakonan Datuk M Nasir dan Puan Sri Tiara Jacquelina 17 tahun yang lalu dan pementasan PGL, the Musical.

 

Mungkin hingga hari ini, filem epik Hang Tuah lakonan Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang ditayangkan pada 1956 antara filem yang terbaik berdasarkan Hikayat Hang Tuah, kisah Laksamana tersohor dan empat teman rapatnya Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu.

 

 

hangtuah
P Ramlee memegang watak Hang Tuah manakala Nordin Ahmad sebagai Hang Jebat dalam filem `Hang Tuah' terbitan 1956.

 

 

Filem ini menerima anugerah 'Best Musical Score' di Festival Film Asia ke-3 di Hong Kong pada tahun 1956 dan ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Berlin ke-7 pada tahun 1957 di mana filem Hang Tuah dicalonkan pemenang Anugerah Golden Bear.

 

Malah, untuk menaikkan semangat orang Malaya untuk menebus kemerdekaan, kata-kata "Takkan Melayu Hilang di Dunia" tersebut menjadi slogan semangat nasionalisme Melayu dalam mengejar Merdeka.

 

Baru-baru ini, saya terbaca cubaan untuk menyindir dan memperkotak-katikkan Hang Tuah dan pertarungan epik versi Hang Tuah dan Hang Jebat di media sosial.

 

Sebenarnya kita sedia maklum bahawa ada dua versi pertarungan epik Melaka ini. Yang konsisten adalah peranan Hang Tuah dalam menangani kejadian amuk di Melaka.

 

Pertama, dalam Salatus Salatin yang juga dikenali sebagai Sejarah Melayu atau The Malay Annals, Hang Tuah bertempur hebat dengan Hang Kasturi. Kisah ini diceritakan dalam kira-kira 900 perkataan mengikut versi Shellabear.

 

          Maka Hang Tuah menyeru Hang Kasturi, menyuruh turun. Maka Hang Kasturi melihat ke bawah, di lihatnya Hang Tuah yang datang itu. Maka kata Hang Kasturi, “Adakah engkau lagi? Kusangka engkau sudah mati. Maka aku mau membuat pekerjaan terlanjur ini. Sekarang marilah engkau naik, supaya boleh kita bertemu seorang sebilah keris bermain sama seorang.”

 

 Sejarah Melayu

 

 

tuah
ADEGAN pertarungan dalam filem Hang Tuah lakonan P Ramlee dan Nordin Ahmad dianggap antara aksi yang paling diingati kerana seni silat yang realistik.

 

 

Dalam Hikayat Hang Tuah pula, yang ditulis kira-kira 200 tahun kemudian, Hang Tuah digambarkan berhadapan dengan sahabat rapatnya, melawan Hang Jebat dalam pertarungan untuk menegakkan undang-undang dan keadilan.

 

Kisah ini dilakarkan sebagai satu kesusasteraan untuk membakar semangat - satu kesusasteraan epik bagai pertempuran Troy dan armada Greek Illiad. Setelah bertikam, Hang Jebat mengamuk lagi sekeliling Kota Melaka, sehingga menghembuskan nafas terakhir.

 

Mengikut hemat saya, kedua-dua penceritaan tersebut menceritakan pertarungan hebat ini dari dua sudut pandangan yang berbeza.

 

Yang pertama, dalam Sejarah Melayu, ia benar-benar merupakan catatan kisah-kisah pada zaman Kesultanan Melayu untuk merakam pengajaran dan penceritaan ketika untuk ‘anak cucu’ yakni generasi akan datang - yang baik dan juga yang buruk supaya menjadi pedoman.

 

Manuskrip Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu ini diiktiraf sebagai Warisan Dunia UNESCO namun generasi muda kita kurang mengenali karya agung ini.  Ramai tidak sedar kisah Sejarah Melayu ini menghuraikan kisah Dunia Melayu merangkumi keseluruhan Dunia Melayu bukannya Melaka sahaja. Kisah Champa, Pahang, Siak, Pasai, Inderagiri dan Siam antara kisah Sejarah Melayu.

 

Hikayat Hang Tuah sebaliknya, yang ditulis sekitar tahun 1700-an merupakan epik klasik lebih 140,000 perkataan yang juga dinobatkan khazanah sastera dunia melalui UNESCO. Hikayat ini juga memperlihatkan pertarungan epik ini, dan kali ini huraian babak ini saja merangkumi  lebih 6,000 perkataan!

 

Pertarungan bersejarah tetap ada, tetapi penceritaannya memenuhi objektif berbeza pada kedua-dua zaman itu.

 

Penceritaan Hang Tuah dari sudut yang berbeza - keperluan seorang pahlawan pada zaman pencerobohan kolonial Belanda dan kemerosotan Melaka. Apakah sebenarnya yang berkisar di pemikiran penulis Hikayat Hang Tuah?

 

Siapakah Hang Tuah

Berbalik kepada keperibadian dan perabadan Hang Tuah yang masih ditimbulkan, sehingga hari ini masih ada yang ingin mempertikaikan kemelayuan Hang Tuah itu. Malah kewujudan Hang Tuah juga ingin dibuang jauh.

 

Nama Hang Tuah, adalah salah satu dari begitu ramai yang mendapat panggilan Hang - terdapat sekurang-kurangnya 11 Hang dari Sejarah Melayu / Hikayat Hang Tuah, termasuk ayah Hang Tuah, Hang Mahmud. Sebenarnya puteri China yang tiba di Melaka dengan nama Li Po, bukan Hang. Kemudian baru dianugerahkan nama Hang Li Po.

 

Beberapa pahlawan dengan panggilan Hang selain Hang Tuah adalah:

- Hang Jebat

- Hang Kasturi

- Hang Lekir

- Hang Lekiu

- Hang Ali

- Hang Iskandar

- Hang Hassan

- Hang Hussin

- Hang Siak

- Hang Nadim

 

Bagaimanapun, peranan Hang Tuah dalam kesusasteraan kita, dari membesarnya di Kampung Sg Duyung ke kisah hidupnya mendapat hati Bendahara dan Sultan, sebenarnya bukan sahaja dari sudut sejarah.

 

Setiap peradaban akan mempunyai wira mereka, dan kod etika zaman. Sebaik-baiknya, kita belajar menghormati mereka, dan jika tidak pun, kita menerima tempat mereka dalam psyche masyarakat.

 

Hang Tuah, selama berabad-abad adalah pahlawan Melayu kerana banyak sebab musabab -  adat dan adabnya, penguasaan bahasa, kemahiran pendekar dan yang paling penting, warisannya sebagai pelayar dan pengembara dunia.

 

 

hangtuah
ARCA Hang Tuah di Muzium Negara adalah hasil karya pengarca Malaysia, Heng Eow Lin dari Kulim, Kedah.

 

 

Kita juga melihat bagaimana penceritaan sejarah ditulis penjajah. Dalam catatan sejarah Antonio Pigafetta, Datu Lapu Lapu dari Cebu membunuh pengembara dunia Magelan. Tetapi di Filipina, dan di dunia Melayu - Datu Lapu Lapu adalah pahlawan penentang penjajahan.

 

Demikian juga, kita menghormati Hua Mulan sebagai srikandi wanita Cina yang dikatakan telah hidup sekitar abad ke-5. Adakah dia pernah wujud? Ini tidak penting sebenarnya - Mulan srikandi China yang memberi semangat kepada gadis-gadis muda di seluruh dunia.

 

Ada banyak contoh pahlawan nasional, wira atau hero yang harus kita hormati, atas kepentingan dan sumbangan kepada masyarakat semasa. Bagi Majapahit ada pengasas dan pemerintah perkasa dan licik, Raden Wijaya, bangsa Yunani mempunyai Hercules, Achilles dan Aristotle serta pencerita Illiad dan Odysseus Homer, Mesir ada Isis, Osiris, Horus dan Cleopatra.

 

Tempat mereka dalam sejarah dan jati diri bangsa, sama ada mereka benar-benar wujud atau tidak, telah membentuk tamadun dunia, apabila kita mengikuti kisah epik mereka sehingga hari ini.

 

Itulah kepentingan hero dunia hikayat dan sejarah epik dalam kehidupan kita.

 

 

Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Sabtu.   Emel : ninotaziz@gmail.com

 

BACA KOLEKSI DARI HIKAYAT KITA:
 

 

 

 

Portfolio Tags