Hasad dengki hanya membinasakan diri sendiri | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 10 June 2022

Hasad dengki hanya membinasakan diri sendiri

 

 

SEGELINTIR masyarakat pada hari ini kurang senang dengan kelebihan dan kemewahan hidup yang dikecapi oleh sebahagian yang lain.

 

Sikap negatif berkenaan adalah nilai yang tidak baik dalam kerangka bersaing mencapai kecemerlangan dan membangunkan Negara.

 

Perasaan kurang senang adalah benih sifat hasad.

 

Hasad berasal dari bahasa Arab yang bererti dengki, sering digabungkan dengan perkataan dengki dalam bahasa harian sehingga disebut hasad dengki.

 

Hasad dengki membawa maksud perasaan inginkan agar nikmat, kelebihan, kebolehan atau keistimewaan yang ada pada orang lain terhapus.

 

Sebaliknya, akan berasa gembira jika termasuk dalam kumpulan yang memperoleh kelebihan serta keistimewaan tersebut.

 

Penyakit rohani ini membawa maksud bahawa tidak hanya benci kepada hamba Allah, tetapi turut benci kepada Allah SWT.

 

Padahal sesuatu nikmat itu datangnya daripada Allah SWT, justeru mengapa perlu membencinya?


 

irsyad

 


Makhluk pertama berbuat hasad di langit ialah iblis laknatullah.

 

Manakala, manusia pertama pula yang melakukan hasad di dunia ialah Qabil ketika hasad terhadap saudara kandungnya iaitu Habil sehingga berlakunya pembunuhan.

 

Perasaan hasad adalah salah satu perangai atau sifat buruk yang telah menghinggapi manusia sejak dari dahulu lagi.

 

Hasad bukan sahaja terjadi dalam dunia politik, perniagaan, pekerjaan dan persahabatan, malahan turut berlaku dalam suasana kekeluargaan.

 

Allah SWT memaparkan kisah Nabi Yusuf yang dicampakkan oleh saudara-saudaranya ke dalam telaga kerana hasad kepadanya yang sangat disayangi oleh bapanya iaitu Nabi Ya’qub.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “(Kisah itu bermula) tatkala saudara-saudara Yusuf berkata (sesama sendiri): Sesungguhnya Yusuf dan adiknya, lebih disayangi oleh bapa kita daripada kita, padahal kita ini satu kumpulan (yang ramai dan berguna). Sesungguhnya bapa kita adalah dalam keadaan tidak adil yang nyata. (Ramai di antara mereka berkata): Bunuhlah Yusuf atau buanglah dia ke suatu tempat yang jauh, supaya perhatian dan kasih sayang bapa kamu tertumpu kepada kamu semata-mata, dan supaya kamu sesudah itu menjadi orang-orang yang baik dan berguna.” (Surah Yusuf: 8-9).


 

irsyad

 


Orang yang berpenyakit hasad dengki disifatkan sebagai kufur nikmat kerana seolah-olah tidak reda dengan ketentuan qada dan qadar Ilahi.

 

Justeru, apabila hasad bermaharajalela menguasai diri seseorang, maka segala kebaikan akan terhakis.

 

Amaran serta peringatan ini terangkum dalam hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Takutlah kamu pada sifat dengki (hasad dan iri hati), sesungguhnya dengki itu dapat memakan kebaikan-kebaikanmu sebagaimana api memakan kayu bakar.” (Riwayat Abu Daud)

 

Justeru, hasad adalah sifat mazmumah yang paling kerap melanda diri manusia. Imam al-Ghazali menyenaraikan tiga ciri orang yang memiliki hasad seperti berikut:

 

1. menginginkan agar kenikmatan atau kelebihan lenyap daripada orang lain dan mengharapkan agar kenikmatan itu berpindah kepadanya.

 

2. Menginginkan agar kelebihan yang dimiliki orang lain itu lenyap meskipun dia sendiri tidak dapat memilikinya disebabkan kekurangan pada dirinya sendiri. Keutamaan baginya ialah orang itu jatuh dan hilang kelebihannya.

 

3. Merasa sakit hati apabila orang lain melebihinya walaupun dirinya tidak berbuat sesuatu untuk menjatuhkannya.

 

Imam al-Ghazali menganjurkan supaya berusaha sedaya upaya mencegah diri daripada dihidapi sifat hasad.

 

Ia perlu bermula di hati dengan menanamkan perasaan ‘al-qanaah’ (cukup dengan apa yang diberikan), ‘al-zuhd’ (tidak mementingkan duniawi) ‘kitmanus-sir’ (merahsiakan rahsia), ‘al-hilm’ (mengawal kemarahan); ‘al-syajaah’ (berani), dan ‘al-iffah’ (pemaaf).


 

irsyad

 


Perlu diinsafi dan diubah dari bersikap sibuk menghabiskan masa meneliti nikmat Allah SWT yang masih kurang tetapi lupa bahawa Allah SWT telah mengurniakan banyak lagi rezeki lain.

 

Justeru, berhenti bersikap hasad kerana nasib diri seseorang tidak berubah lantaran bersikap sedemikian dan sentiasa ingin menjatuhkan orang lain. - DagangNews.com

 

DR. AZRI BHARI merupakan Pakar Rujuk, Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Selangor.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD

Portfolio Tags