Hari Kemerdekaan: pastikan jati diri bangsa berteraskan akidah, syariah | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 26 August 2022

Hari Kemerdekaan: pastikan jati diri bangsa berteraskan akidah, syariah

 

 

 

SABAN tahun peristiwa yang berlaku pada tanggal 31 Ogos 1957 akan disambut oleh seluruh masyarakat di Malaysia sebagai menzahirkan tanda kesyukuran dengan nikmat kemerdekaan yang telah dikecapi.

 

Istilah merdeka menurut Kamus Dewan Bahasa ialah bebas daripada penjajahan, kurungan, naungan dan sebagainya.

 

Selain itu, juga membawa maksud lepas daripada tebusan atau tuntutan serta berdiri sendiri dan tidak bergantung pada yang lain.

 

Pendeta Za’ba seorang tokoh telah menjelaskan bahawa kemerdekaan ialah berubah daripada kepercayaan bodoh yang melemahkan akal dan ikhtiar kepada kepercayaan yang cerdik yang membebaskan fikiran; daripada ajaran yang mematikan hati kepada ajaran yang menghidupkan dan menyuburkan dia; daripada i‘tiqad-i‘tiqad yang serong dan terpesong kepada i‘tiqad yang subur dan merdeka; daripada kezaliman pemerintahan berdasarkan hawa nafsu kepada kesolehan; dan daripada fikiran-fikiran yang menahankan dan menyekat kemajuan kepada fikiran yang membebaskan kemajuan dan menggalakkan kemaraan yang baik-baik dan mulia.

 

Namun, wujud cabaran besar dalam mengekalkan dan meneruskan kelangsungan kemerdekaan supaya masyarakat tidak lagi ketinggalan jauh di belakang dari sudut pendidikan atau keilmuan dan terpesong dari aspek budaya dan penghayatan beragama.


 

irsyad

 


Terdapat beberapa langkah dan kaedah untuk diamalkan dalam kehidupan dalam meneruskan kelangsungan kemerdekaan yang telah dikecapi oleh seluruh masyarakat di Malaysia.

 

1. Mempertahankan ikatan persefahaman dan perpaduan dalam kalangan masyarakat

Perlu diinsafi bahawa kekuatan perpaduan yang menjadi asas kejayaan untuk mencapai kemerdekaan.

 

Justeru, segala unsur yang boleh menjejaskan perpaduan seperti hasad dengki, suka berdendam, gemar memfitnah dan permusuhan hendaklah dihindarkan dari kehidupan bermasyarakat.

 

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Dan janganlah kamu bertelingkah, sesungguhnya orang sebelum kamu bertelingkah lalu mereka binasa.” (Riwayat Ahmad)


 

irsyad

 


2. Berusaha untuk belajar dan menguasai ilmu

Ketika zaman penjajahan, hanya golongan tertentu sahaja yang diberikan keistimewaan untuk menimba ilmu pengetahuan.

 

Namun, setelah merdeka semua rakyat berhak untuk menimba sebanyak mungkin ilmu pengetahuan sehingga ramai dalam kalangan masyarakat yang berjaya menjadi cendekiawan, ulamak dan profesional dalam pelbagai bidang.

Wahyu pertama yang diturunkan jelas menggesa untuk mencari ilmu melalui pembacaan. Ayat tersebut telah menjadi tonggak perubahan peradaban dunia tentang kepentingan ilmu pengetahuan yang membawa perubahan dari kehidupan jahiliyah menjadi terang benderang.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan.” (Surah al-‘Alaq: 1)

 

Seterusnya, firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah SWT meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu, dan orang yang diberi ilmu pengetahuan Agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat.” (Surah al-Mujadalah:11)

 

Islam sangat menganjurkan untuk memberi keutamaan dan penekanan terhadap bidang keilmuan. Oleh itu, masyarakat Islam perlu bersedia untuk berada di hadapan dalam meneroka pelbagai disiplin ilmu supaya tidak terpinggir dan hanya menjadi sekadar penonton kepada arus pembangunan dan kemajuan negara.


 

irsyad

 


3. Memastikan jati diri bangsa tetap berteraskan akidah, syariah dan akhlak Islamiah

Perlu sentiasa diingatkan bahawa Islam telah menjadi pelopor kepada segala bentuk kemerdekaan. Islam telah berjaya memerdekakan jiwa insan dari belenggu kesyirikan dan norma keberhalaan menuju nilai ketauhidan.

 

Perkara ini telah dijelaskan oleh Allah SWT dalam firman yang bermaksud: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.” (al-Dzariyat: 56)

 

Seterusnya, Islam juga telah melepas dan membebaskan insan daripada sistem perhambaan sesama manusia. Terdapat kisah pertemuan bersejarah Rib’ie bin Amir dengan panglima tentera Parsi bernama Rustum yang telah menzahirkan sebuah slogan kemerdekaan serta kebebasan yang sebenar menurut perspektif Islam.

 

Kata Allah Rib’ie bin Amir: “Allah telah mengutuskan kami untuk mengeluarkan manusia daripada penyembahan sesama makhluk kepada penyembahan Allah SWT, daripada kesempitan dunia kepada dunia yang lapang, daripada kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam.”


 

irsyad

 


Malah, Islam turut memberikan jalan yang terbaik kepada manusia agar bebas daripada belenggu penjajahan budaya dan pemikiran menerusi kewajiban menuntut ilmu berpaksikan iman dan takwa.

 

Demikianlah langkah dan kaedah yang boleh dilaksanakan dalam rangka menjamin kelangsungan kemerdekaan supaya terus kekal keamanan dan keharmonian negara Malaysia.  - DagangNews.com

 

DR. AZRI BIN BHARI adalah  Pakar Rujuk, Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD

Portfolio Tags