GOpinjam: BNM tidak campur tangan? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 16 April 2022

GOpinjam: BNM TIDAK CAMPUR TANGAN?

Sin Chew Jit Poh 13 April 2022

 

 

 

Bekas PM, Najib Razak dalam laman Facebook beliau telah mempersoalkan kadar faedah tahunan sehingga 36% pinjaman peribadi yang dilancarkan Touch ‘n Go (TnG) dan CIMB Bank Bhd baru-baru ini.

 

“Adakah terdapat kesilapan maklumat? Jika benar 36%, sangat tinggi dan tidak masuk akal!”

 

Mari kita lihat secara ringkas kadar faedah pinjaman peribadi bank domestik pada tahun 2022 tanpa memerlukan gadai janji atau penjamin, hanya satu per lima daripada TnG dan CIMB.

 

Contohnya, Standard Chartered Bank 5.5%, Maybank 6.5 – 8%, dan Allianz Bank 3.99 – 8.38%. Jadi, kadar faedah pinjaman 36% adalah sangat tinggi! Sehingga mrmbuatkan kita menyamakannya dengan pinjaman ‘Ah Long’.    

 

‘GOpinjam’ satu nama pelan pembiayaan peribadi yang sangat menarik dan mudah ingat.

 

Dengan jumlah pinjaman serendah RM100 sehingga maksimum RM10,000. Jumlah tersebut bertepatan dengan golongan sasaran B40 dan golongan miskin di Malaysia.

 

Jika tidak melihat kepada kadar faedah, pasti ramai yang keliru dan menganggap ini adalah dasar ‘ehsan’ terbaru Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

 


 

gopinjam
Perkhidmatan GOpinjam dilancarkan pada 1 April 2022 oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.

 


 

Mari kita lihat penjelasan TnG berhubung kadar faedah tahunan tinggi ini. Sekali dengar, memang semuanya masuk akal.

 

‘GOpinjam’ akan memberi pinjaman RM100 sehingga RM10,000 kepada pemohon yang layak bergantung kepada jumlah pinjaman, tempoh pembayaran balik dan kelayakan kredit.

 

Tiada kadar faedah 36% dikenakan sekiranya pembayaran balik dibuat kurang daripada 3 bulan.

 

Tetapi jika pinjaman untuk tempoh lebih lama dan kredit peribadi adalah baik, maka kadar faedah tahunan minimum ialah 8% sahaja.

 

TnG dalam kenyataannya juga menegaskan GOpinjam akan menjalankan semakan kredit dan pinjaman hanya akan diberi kepada mereka yang berkemampuan sahaja. Kedengaran usaha sama TnG dan CIMB ini sangat mulia dan hebat.

 

Jumlah pinjaman RM100 sehingga RM10,000 sebenarnya tidaklah begitu tinggi. Siapa yang akan meminjam RM100, RM500? Mungkin seorang lelaki muda daripada keluarga miskin dan baru mendapat pekerjaan pertamanya.

 

Sebelum mendapat gaji, sudah tentu dia sangat memerlukan duit untuk kegunaan kecemasan. Bagaimana pula anak-anak muda miskin akan mempunyai “kredit peribadi yang baik”?

 

Mereka sudah tentu akan memohon dan meminjam, kemudian meminjam lagi dan lama-kelamaan hutang mereka sudah setinggi bangunan.

 


 

gopinjam

 


 

Jika meminjam dengan Ah Long, lambat atau tidak bayar hutang pasti rumah akan disimbah cat merah. Tetapi dengan bank pula, hanya kerana ‘seciput duit’ ini, anda akan diisytiharkan muflis.

 

Siapa yang akan meminjam RM5,000 hingga RM10,000? Semestinya golongan B40  atau mereka yang mahu bekerja sebagai penghantar makanan dan memerlukan duit untuk membeli motosikal terpakai.

 

Kredit golongan ini tidak terlalu tinggi, tetapi mereka paling memerlukan bantuan. Tetapi dalam GOpinjam yang digambarkan sebagai perkhidmatan kewangan terbaik, 36% kadar faedah tahunan dianggap rasional.

 

Kami yakin GOpinjam akan ‘mencantas’ perniagaan Ah Long, tetapi bank juga tidak mudah untuk bertolak ansur.  Selagi anda meminjam dan membuat pembayaran balik secara konsisten, kredit anda akan kekal baik.

 

Tetapi sekiranya gagal, bank kebiasaannya akan mengupah syarikat kutip hutang swasta untuk mengejar penghutang, dan mereka ini tidak mudah untuk ditangani.

 

Kadar faedah pinjaman tinggi GOpinjam telah menimbulkan kontroversi, tetapi Bank Negara Malaysia (BNM) pula berkata ‘tidak akan campur tangan atau mengganggu’ keputusan penetapan harga runcit produk pembiayaan oleh penyedia perkhidmatan kewangan (FSP).

 


 

BNM

 


 

BNM menegaskan hanya campur tangan jika pelaksanaannya menjejaskan pengguna. Sebab ‘tidak campur tangan’ adalah mahu melihat persaingan di kalangan bank untuk membangunkan produk baru bagi memenuhi keperluan golongan yang selalu ‘diabaikan” oleh sistem kewangan.

 

BNM ada menyenaraikan beberapa prinsip yang perlu diberi perhatian sebelum membuat permohonan pinjaman.

 

Tetapi prinsip ini tidak mungkin diendahkan oleh golongan miskin yang benar-benar kesempitan wang dan makanan.

 

Sebaliknya BNM boleh tampil membantu menggubal ‘kontrak standard’ yang tidak boleh diubah suai syaratnya, mendedahkannya kepada umum agar hak dan kepentingan orang yang meminjam wang dari bank dapat dilindungi. - DagangNews.com

 

 

Artikel-artikel ini disiarkan di dalam akhbar Sin Chew Jit Poh 13 April 2022 dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini. - DagangNews.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA

Portfolio Tags