Gelombang Zon Bebas UAE sebagai Pusat Kandungan Kreatif Global | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Industri Kreatif - 21 January 2022

GELOMBANG ZON BEBAS UAE SEBAGAI PUSAT KANDUNGAN KREATIF GLOBAL

 

 

 

DUBAI Expo 2020 kini sedang berlangsung dan bakal berakhir dalam beberapa minggu lagi.

 

Acara yang merupakan sebuah ekspo perdagangan terbesar dunia ini yang berlangsung setiap lima tahun, telah berlangsung sejak bulan Oktober tahun lalu setelah tertunda selama dua tahun lalu akibat pandemik yang melanda.

 

Dengan kawasan acara seluas 438 hektar dan sasaran pengunjung sejumlah 25 juta orang, ia bakal memperkukuhkan keberadaan negara Emiriah Arab Bersatu (UAE) umumnya dan Dubai khasnya sebagai pusat perniagaan dan perdagangan global yang penting dalam dunia moden kini.

 

Namun, selain Dubai Expo, terdapat satu lagi perkara yang lebih menarik perhatian saya mengenai UAE iaitu pelaksanaan kawasan perdagangan zon bebas (free zone)  yang dibangunkan di merata tempat di seluruh UAE  sejak pertama kali diperkenalkan pada tahun 1985 melalui penubuhan Jebel Ali Free Zone (JAFZA).

 

Semenjak itu, dari masa ke masa, semakin banyak zon bebas diwujudkan. Kebanyakannya mempunyai pengkhususan kategori perniagaan yang dibenarkan untuk berdaftar dan beroperasi di sesebuah zon bebas terbabit – namun masih menawarkan variasi pilihan kategori perniagaan yang ingin dijalankan oleh syarikat yang berminat.

 

Satu daripada tarikan utama bagi para usahawan seluruh dunia untuk menubuh dan menjalankan syarikat di zon bebas UAE ini pastinya atas faktor bebas cukai yang ditawarkan iaitu dengan setiap syarikat dan usahawan tidak dikenakan sebarang cukai  sama ada cukai korporat untuk perniagaan mahupun cukai pendapatan persendirian.

 

Selain itu, hak pemilikan syarikat yang terbuka sehingga boleh dimiliki 100% warga asing, membuatkan usahawan dari seluruh dunia selesa untuk menjalankan perniagaan di zon bebas ini tanpa perlu memiliki rakan kongsi tempatan. Visa yang ditawarkan bagi setiap syarikat yang ditubuhkan (termasuk kepada ahli keluarga)  juga menjadi faktor pelengkap tarikan zon bebas terbabit.


 

dubai
Pintu masuk ke Ekspo Dubai 2020 dengan arca `pintu' raksasa.

 


Meskipun syarikat yang didaftarkan sebagai syarikat zon bebas tidak dibenarkan untuk menjalankan perniagaan di dalam UAE (di luar kawasan zon bebas dimana syarikat terbabit didaftar), ia tidak menjadi permasalahan besar memandangkan kebanyakan syarikat yang ditubuhkan di sini sememangnya menyasarkan pasaran global.

 

Kedudukan UAE yang strategik di tengah-tengah laluan penerbangan antarabangsa dengan capaian menyeluruh, diamping kemampuan lapangan terbang antarabangsa Dubai memperkukuh hujah tersebut.

 

Tambahan pula kuasa regulasi dan struktur perundangan setiap perniagaan yang didaftarkan  sama ada bagi penubuhan syarikat zon bebas baharu, mahupun pembukaan pejabat cawangan di kawasan terbabit  adalah di bawah bidang kuasa pihak berkuasa zon bebas terbabit  tanpa terikat dengan perundangan yang ditetapkan oleh kerajaan UAE.


 

dubai
Pavilion Malaysia di Ekspo Dubai 2020

 


Sesetengah pihak berkuasa zon bebas juga tidak mensyaratkan penyerahan audit tahunan untuk syarikat yang berdaftar di zon bebas mereka – sesuatu yang sangat `seksi` di mata ahli perniagaan.

 

Bahkan, sesetengah zon bebas tidak memerlukan pelabur dan pemilik syarikat untuk berada di UAE bagi tujuan penubuhan dan pendaftaran syarikat kerana segalanya boleh dilakukan secara dalam talian.

 

Bagi mengisi keperluan tenaga mahir yang lahir dari pertumbuhan syarikat-syarikat di zon bebas ini, UAE turut memperkenalkan pelbagai visa khas untuk pekerja di zon bebas termasuk `freelance visa`  bagi menarik tenaga pakar dan profesional dalam bidang kandungan kreatif dari seluruh dunia bagi bermigrasi ke UAE bagi menikmati cukai pendapatan 0% yang ditawarkan.

 

Dalam konteks industri kandungan kreatif, daripada sekitar 45 buah zon bebas yang telah dibangunkan di seluruh UAE, terdapat sekurangnya tiga buah zon bebas yang memberikan pengkhususan kepada sektor media dan kandungan kreatif.

 

Pertambahan bilangan zon bebas sektor media dalam tahun-tahun terakhir ini pastinya didorong pertumbuhan industri ini  serta keyakinan kerajaan UAE terhadap potensi industri ini sebagai sektor signifikan kepada ekonomi global masa hadapan.

 

Sebuah daripada zon bebas dengan pengkhususan industri media yang paling terkenal dan dikenali pastinya Dubai Media City (DMC) – yang menempatkan lebih kurang 1,500 buah syarikat dan 25,000 orang profesional media dan kandungan kreatif dari sekitar 142 buah negara.


 

kreatif

 


Dubai Media City dibangunkan bermula tahun 2001 merupakan zon bebas pertama di Dubai yang mengkhususkan kepada industri media.

 

Beberapa gergasi media dunia seperti Disney, BBC, CNN, Spotify dan banyak lagi kini telah membuka pejabat cawangan mahupun anak syarikat mereka di DMC.

 

Ini menjadikan DMC bukan sekadar menjadi pusat penting kandungan kreatif di wilayah Timur Tengah & Utara Afrika (MENA region)  tetapi juga di peringkat global.

 

Ini meletakkan DMC sebagai hab media antarabangsa  yang tidak mustahil malah berpotensi bagi mengambil alih peranan bandar raya-bandar raya utama yang menjadi pusat sektor media di serata dunia.

 

Pendekatan ini membolehkan Dubai menjadi lokasi berkumpulnya tenaga mahir dunia media global,  sekaligus menjadikan bandar ini sebagai `masa depan industri media`.

 

Ini pastinya didukung oleh pembangunan infrastruktur dan teknologi penerbitan yang canggih dan ke hadapan  yang disediakan bagi kemudahan syarikat yang berpusat di DMC.


 

kreatif

 


Zon bebas berkaitan media yang kedua adalah Sharjah Media City (SHAMS) yang terletak dalam wilayah Sharjah serta baharu ditubuhkan pada tahun 2017. Kewujudan SHAMS ini dilihat adalah hasil dan lanjutan kejayaan yang berjaya dicapai oleh DMC dalam tempoh dua dekad kewujudannya.

 

Sharjah sebagai wilayah yang bersempadan dengan Dubai mulai mengambil ruang atas limpahan pembangunan dan populariti Dubai dalam membangunkan wilayah mereka.

SHAMS melengkapkan beberapa lagi zon bebas dalam bidang lain yang dibangunkan di Sharjah seperti Sharjah Airport International Free Zone, USA Regional Trade Centre (USARTC) Free Zone, dan Hamriyah Free Zone.

 

Bandar Sharjah yang pada tahun 2019 diangkat sebagai World Book City Capital oleh pihak UNESCO optimis dengan bidang berkaitan kreativiti sebagai sektor penting dalam pembangunan ekonomi wilayah, seperti mana bandar-bandar lain di UAE.

 

Terbaharu, Ajman Media City dibangunkan di wilayah Ajman, di utara Dubai pada tahun 2018  yang membuktikan signifikannya dunia media dan industri kreatif sebagai sektor ekonomi utama UAE untuk beberapa tahun mendatang.


 

kreatif

 


Setiap bandar dan wilayah utama di UAE dilihat tidak mahu ketinggalan daripada ikut serta dalam pertumbuhan industri kreatif global yang diterjemahkan melalui kewujudan zon-zon bebas ini di wilayah mereka.

 

Walaupun Ajman Media City dilihat sebagai zon bebas baharu dengan fasiliti yang mungkin sukar bagi menandingi dua zon bebas sektor media, namun dengan menawarkan pakej penubuhan syarikat dengan kadar antara yang termurah, ia dilihat mampu menjadi faktor yang membolehkan ia mendapat perhatian daripada pelabur dan usahawan, khususnya dari usahawan golongan pemula (start-up).

 

Dan ia juga bakal menjadi faktor penting dalam perkembangan dan pertumbuhannya sebagai zon bebas yang membangun.

 

Selain tiga zon bebas berkenaan, terdapat beberapa zon bebas lain di UAE yang mempunyai fokus sektor yang turut berkaitan dengan bidang industri kreatif seperti Fujairah Creative City, Sharjah Publishing City dan Dubai Internet City, masing-masing terletak di wilayah Fujairah, Sharjah dan Dubai.


 

Fujairah

 


Malah sebahagiannya juga membenarkan syarikat berteraskan media dan penerbitan untuk didaftarkan dan beroperasi di zon bebas mereka.

 

Segala kemudahan berkelas dunia, dengan insentif percukaian dan kemudahan perundangan fleksibel yang ditawarkan oleh zon-zon bebas di UAE ini dilihat bakal memberikan impak besar dalam dunia korporat global  dan pastinya sektor industri kandungan kreatif tidak terkecuali.

 

Ia dilihat bakal menjadi magnet dengan daya tarikan pelaburan yang kuat untuk menarik perniagaan dari sektor kandungan kreatif untuk menyertai komuniti usahawan kreatif yang lain dalam ekosistem perniagaan global yang kompetatif dan proaktif.

 

Tidak mustahil, dalam masa 10 tahun lagi (malah sudah dapat dilihat kini), kebanyakan syarikat kandungan kreatif dunia bakal `berkampung` untuk beroperasi di UAE  dan meletakkan negara tersebut sebagai kuasa baharu kandungan kreatif dunia. - DagangNews.com

 

 

 

Ts Azharul Azmir Kamarulzaman merupakan Pengarah Urusan / Penerbit bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd dan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF).

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL INDUSTRI KREATIF

Portfolio Tags