Gelombang baharu COVID-19: Bagaimana Industri Kreatif menghadapinya? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Industri Kreatif - 4 March 2022

Gelombang baharu COVID-19: Bagaimana Industri Kreatif menghadapinya?

 

 

 

KENAIKAN mendadak kes positif COVID-19 akhir-akhirnya ini disambut dengan pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak.

 

Sebahagiannya menghadapi situasi ini dengan cemas kerana membimbangkan impaknya terhadap operasi sektor masing-masing, manakala sebahagiannya lagi sudah lebih bersedia dan melihatnya sebagai sebahagian daripada proses serta senario normal yang perlu dilalui dalam menuju fasa endemik di negara ini.

 

Meskipun industri kreatif sentiasa cuba untuk melihat situasi ini dari sudut pandang yang lebih optimis, namun pastinya penggiat industri menghadapinya dengan penuh debaran.

 

Sejarah terdahulu dalam fasa awal pandemik yang meletakkan industri kreatif sebagai salah satu industri yang paling terkemudian dibenarkan kembali beroperasi cukup memberikan kebimbangan kepada para penggiat dalam industri ini.

 

Bagaimanapun, Menteri Komunikasi & Multimedia Malaysia, Tan Sri Annuar Musa dalam lawatannya ke Iskandar Malaysia Studios di selatan tanah air pada minggu ini telah mengumumkan jaminan bagi industri kreatif khususnya sektor perfileman untuk terus beroperasi.

 

Malah beliau memaklumkan bahawa pihak kementerian bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang dari semasa ke semasa meneliti bagi melonggarkan garis panduan standard (SOP) penggambaran perfileman yang sedang berkuatkuasa.


 

kreatif
Tan Sri Annuar Musa mendengar taklimat pegawai di Iskandar Malaysia Studios pada 27 Februari 2022.

 

kreatif

 

kreatif

 


Ini sememangnya suatu pengumuman yang cukup melegakan kepada penggiat perfileman di negara ini, yang kini sedang berusaha memastikan signifikan sektor ini kepada industri dan negara dapat dikembalikan setelah hampir lumpuh dua tahun lalu.

 

Bagi sektor kebudayaan dan seni persembahan pula, komitmen pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) bagi meneruskan penganjuran acara mega sambutan Citrawarna di bandar raya Kuching pada minggu lalu juga dilihat sebagai iltizam pihak kerajaan serta MOTAC selaku kementerian bertanggungjawab bagi  memastikan sektor ini terus beroperasi.


 

kreatif
Konsert Citrawarna yang diadakan di Kuching pada 26 Februari 2022.

 


Kelangsungan aktiviti dalam industri adalah sesuatu yang sangat diperlukan ketika ini dalam memastikan industri kreatif dapat meneruskan momentum fasa pemulihan yang kini sedang berjalan, sekaligus bagi membolehkan usaha mengembali nilai industri ini ke paras asal dapat diteruskan mengikut perancangan.

 

Harapan industri kreatif ini tidaklah berpaksikan kepada kepentingan industri semata-mata, namun ia sememangnya senario lazim di seluruh dunia ketika ini – yang mana kebanyakan industri dan sektor ekonomi tetap berjalan meskipun kebanyakan negara kini sedang berdepan kes baharu yang tinggi.

 

Ini pastinya dapat dilaksanakan memandangkan sifat virus tersebut yang semakin difahami oleh para pakar perubatan global, menjadikan kadar kes kategori 3 hingga 5 berada di paras rendah, sekaligus membolehkan keupayaan fasiliti perubatan kekal terkawal.

 

Ini juga pastinya telah berjaya dicapai atas faktor keberhasilan program vaksinasi, tidak kira di peringkat global mahupun nasional.

 

Meskipun kita semua menyedari bahawa vaksinasi mungkin bukanlah sesuatu yang harus kita bergantung untuk jangka masa panjang, namun ia adalah penyelesaian paling ideal yang kita miliki ketika ini, khususnya dalam konteks perubatan awam dan kesejahteraan manusia sejagat.

 

Melihatkan kepada praktis di peringkat global, semakin banyak negara mula membuka sempadan negara secara total. Ini memperlihatkan keyakinan negara-negara terbabit bahawa varian yang sedang melanda kini adalah dari kategori yang terkawal.

 

Antara negara yang proaktif dalam hal ini adalah negara Emiriah Arab Bersatu (UAE), yang sememangnya merupakan antara negara terawal membuka sempadan negara sejak tahun lalu.


 

UAE
Kelonggaran perjalanan ke UAE diumumkan pada 2 Mac 2022.

 


Minggu ini, mereka sekali lagi mengumumkan sesuatu yang penting iaitu keperluan ujian PCR yang sebelum ini menjadi syarat kemasukan ke negara tersebut kini dimansuhkan.

 

Meskipun keputusan tersebut dijangka tidaklah memberikan kesan yang signifikan kepada jumlah kemasukan ke negara tersebut, memandangkan jumlah kemasukan semasa ke negara tersebut yang sudah sedia tinggi, ditambah pula syarat tersebut bukanlah sesuatu yang berat, khususnya kepada keluar masuk ahli perniagaan ke dua wilayah utama di negara tersebut iaitu Dubai dan Abu Dhabi.

 

Namun ia tetap menjadi satu pengumuman yang penting dalam membina keyakinan dunia terhadap situasi endemik global yang kini diyakini berada dalam situasi terkawal.

 

Dalam konteks Malaysia, ia diharapkan dapat membina keyakinan pembikin dasar untuk melihat praktikaliti pendekatan yang dilaksanakan di UAE, bukan sahaja mempelajari pendekatan pencegahan mereka, tetapi juga pengurusan pandemik yang lebih berkesan, khususnya bagi negara yang telah terbukti berjaya menyeimbangi secara ideal antara tuntutan kesihatan awam dengan pemulihan ekonomi ini.

 

Ini bagi membolehkan seluruh sektor ekonomi, khususnya industri kreatif di negara ini dapat kekal berusaha memacu pemulihan dengan pematuhan garis panduan semasa yang praktikal dan selari dengan hasrat ekonomi dan sosial.

 

Industri kreatif yang diletakkan sebagai salah satu industri yang paling terkesan dalam pandemik di Malaysia harus diberikan ruang untuk kembali dan kekal berfungsi dengan sempurna bagi menjamin kualiti hidup penggiat serta usahawan, sekaligus kelangsungan industri untuk masa hadapan. - DagangNews.com

 

 

Ts Azharul Azmir Kamarulzaman merupakan Pengarah Urusan / Penerbit bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd dan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF).

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL INDUSTRI KREATIF

Portfolio Tags