Skip to main content

Felda buat laporan polis, nafi ada kaitan dengan Felda Invest

KUALA LUMPUR 27 Jan - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menegaskan bahawa agensi ini
tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan Felda Invest, satu entiti klon yang tersenarai dalam amaran Senarai Peringatan Pelabur yang dikeluarkan Suruhanjaya Sekuriti (SC) baru-baru ini.

 

Agensi itu menjelaskan, Felda Investment Corporation Sdn. Bhd. (FIC) adalah syarikat milikan penuh Felda yang sah dan tidak seharusnya disalah tafsir atau disamakan dengan Felda Invest yang dimasukkan dalam Senarai Peringatan Pelabur 

 

Sehubungan itu, Felda berkata, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Dang Wangi pada hari ini bagi memelihara kepentingan nama baik Felda dan integriti organisasi tersebut.

 

"Felda akan meneruskan tindakan undang-undang sekiranya entiti ini masih aktif dan bergerak menggunakan nama Felda secara tidak sah," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Pada masa sama, Felda turut menyeru kepada pelabur, warga Felda serta masyarakat awam untuk tidak terlibat dengan sebarang tawaran daripada entiti ini yang secara terang-terangan telah menyalahgunakan nama Felda untuk kepentingan sendiri.

 

Bagaimanapun, Felda menyokong usaha SC sebagai pengawal selia pasaran modal Malaysia yang mengeluarkan amaran ini bagi melindungi pelabur.

 

Pada Selasa, SC meletakkan Felda Invest sebagai potensi klon kepada Felda di laman web suruhanjaya tersebut. 

 

SC pada November 2020 memberi amaran mengenai peningkatan ketara skim penipuan 'firma klon' yang menyamar sebagai entiti sah, termasuk menyalahguna nama dan logo syarikat awam tersenarai (PLC) untuk memperdaya pelabur dan mendapatkan dana daripada mereka.

 

Firma-firma klon ini menawarkan peluang pelaburan yang tidak wujud termasuk dalam bentuk saham PLC ini, dengan menjanjikan pulangan yang tidak munasabah dalam jangka masa singkat. - DagangNews.com