DUNIA PANIK TANGANI PANDEMIK COVID-19 | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
SENsor RINGGIT - 2 July 2020

DUNIA PANIK TANGANI PANDEMIK COVID19

 

KETIKA virus SARS mula dikesan di Wuhan, China pada Disember 2019, dunia masih belum mengendahkan kesan rantaian globalnya. Namun, apabila WHO mengistyharkan ia sebagai pandemik Covid-19, dunia mula cemas kerana wabak ini mula melanda benua Eropah yang hebat dalam dunia perubatan. 

Dunia semakin panik apabila Covid-19 mula membunuh ribuan nyawa rakyat Itali, Perancis, UK dan Sepanyol sebelum merentasi benua Amerika di mana Amerika Syarikat merekodkan kes jangkitan mencecah 2.5 juta dan kematian 125,000 orang, sekali gus tertinggi di dunia yang mula melumpuhkan sektor ekonomi, kesihatan, pendidikan, sosial dan keselamatan global!

AS sebagai kuasa besar ekonomi dunia mula merasai kesannya apabila New York iaitu bandar raya yang tidak pernah tidur itu `terjaga’ setelah mencatat kes kematian tertinggi di AS. Malah penanda aras Dow Jones menjunam di NYSE sebagai bursa saham terbesar dunia mula melumpuhkan ekonomi AS. Ini memaksa datuk bandar AS `menidurkan’ New York. 

Sehingga Julai 2020, penawar Covid-19 belum ditemui apalagi negara yang sudah bebas seperti China dan Korea Selatan mula menunjukkan ada tanda-tanda gelombang kedua wabak ini kembali sejak Mei 2020!

Dengan jangkitan wabak global Covid-19 menghampiri angka setengah bilion dan kematian 10 juta,  Malaysia turut terkesan dan tidak terkecuali. Bermula dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersiri pada 18 Mac 2020 sehinggalah PKP Pemulihan yang bakal tamat pada 31 Ogos ini. 

Rakyat Malaysia khasnya orang kampung mula belajar banyak istilah dan singkatan baharu daripada sidang media Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia seperti berikut:

  1. Covid-19
    2. Pandemik
    3. PKP
    4. Pelitup
    5. Sanitasi
    6. Jarak Sosial
    7. Kuarantin
    8. Kluster
    9. Pakej Rangsangan
    10. Moratorium

Pakar ekonomi mula melihat dunia akan mengalami `recession’ yang lebih teruk daripada `depression’ pada era 1930an. Ditanya perbezaan antara dua istilah ekonomi tersebut, seorang ahli ekonomi terkemuka global pantas memberi tafsirannya: “Recession” berlaku apabila jiran saya hilang pekerjaan, manakala “depression”  berlaku apabila saya sendiri hilang pekerjaan”. 

Kesannya sistem ekonomi global mula lumpuh apabila premis utama perniagaan ditutup, perintah berkurung dikuatkuasakan dan rakyat di seluruh dunia dikuarantin untuk memutuskan rantaian Covid-. Bukan sahaja pasaran saham global runtuh, komoditi minyak petrol yang disifatkan sebagai `emas hitam’ turut merudum menyaksikan Brent diniaga di bawah paras AS$20 pada April 2020 daripada harga tertinggi AS$74 direkod pada 2019.

Malaysia sebagai anggota OPEC pasti merobekkan poket kerajaan Malaysia di mana setiap AS$1 harga minyak petrol jatuh, kerajaan Malaysia hilang hasil RM300 juta, waima Bajet 2020 mengguna pakai AS$60 sebagai harga rujukan.

Wabak Covid-19 turut melumpuhkan industri sukan di mana sukan terbesar dunia Olimpik ke-32 yang dikenali sebagai Tokyo 2020 ditunda ke tahun hadapan iaitu Julai-Ogos 2021. Juga sukan bolasepak kedua terbesar dunia Euro 2020 turut terkesan yang sepatutnya berlangsung Jun-Julai 2020 ini. Malah, kelab liga-liga bolasepak terkemuka dunia seperti EPL England, La Liga Sepanyol, Serie A Itali, Bundesliga Jerman dan Ligue 1 Perancis di hentikan bermula Mac 2020. Namun, bolasepak kelab-kelab Eropah ini disambung semula pertengahan Jun 2020, khususnya EPL yang memahkotakan Liverpool sebagai juara EPL edisi 2019/2020 selepas menunggu 30 tahun.

Di Malaysia, kerajaan menerusi MKN amat tegas dalam melaksanakan PKP secara bersiri demi memutuskan rantaian wabak Covid-19 yang sudah meragut 121 nyawa sehingga hari ke-100.

Dalam memutuskan rantaian wabak ini, rakyat jelata yang bekerja sendiri dan di sektor swasta pula terpaksa terputus punca pendapatan apabila kilang, premis perniagaan, bas awam, kereta teksi, syarikat penerbangan dan rangkaian hotel diarah menghentikan operasi masing-masing.

Namun kerajaan baharu PN amat proaktif untuk membantu rakyat yang terkesan melalui pakej rangsangan ekonomi PRIHATIN dan PENJANA dengan peruntukan mencecah RM295 bilion hampir menyamai Bajet 2020 sebanyak RM297 billion!

Lebih menyedihkan lagi apabila orang Islam Malaysia tidak berpeluang untuk solat sunat terawih berjemaah di masjid atau surau atas faktor kesihatan ummah. Maka, hikmahnya kaum lelaki sebagai ketua keluarga buat  pertama kali dalam sejarah menjadi imam interim untuk solat terawih bersama famili di rumah masing-masing. 

Malah, bazar popular iaitu bazar Ramadan juga tidak dibenarkan beroperasi seperti Ramadan sebelumnya. Juga, sambutan hari raya aidilfitri kelihatan suram apabila MKN melarang berlakunya rentas antara negeri, di samping kunjungan rumah ke rumah dihadkan kepada raya pertama sahaja dengan bilangan tetamu hanya dibolehkan 20 orang sahaja pada satu-satu masa! – DagangNews.com

IKUT siri kedua tulisan Profesor Rosalan yang akan merungkai sejauh mana pakej stimulus PRIHATIN dan PENJANA mampu membantu rakyat marhaen khasnya perancangan kewangan mikro.

PROFIL PROF. DR. ROSALAN ALI

Beliau memperoleh PhD dari University College Dublin (1995), MBA dari Central Missouri State University (1983), BBA dari Western Michigan University (1981) dan DBS dari Institut Teknologi Mara (1978). Beliau menyertai ITM (kini UiTM) pada 1984. Di samping mengajar kewangan, pelaburan dan pengurusan risiko, beliau menyelia dan memeriksa tesis pelajar PhD, di samping kerja-kerja penyelidikan, penerbitan dan perundingan. 

Beliau banyak menulis dalam Utusan Malaysia mengenai saham amanah, Pasaran Saham Bumiputra, Pasaran Saham Kuala Lumpur dan terbitan awam. Beliau adalah kolumnis untuk sisipan `Pelabur’ terbitan Mingguan Malaysia (1997-1999) dan `Detik Niaga’ terbitan Berita Publishing (1998-2000) mengenai pasaran saham dan derivatif. Selepas bersara wajib daripada UiTM pada 2016, beliau di lantik sebagai Dekan di PICOMS International University College (2017-2019) dan Timbalan Naib Canselor di Meritus University (2019-2020). Beliau bersama kumpulan perunding sedang mengkaji mengenai pembiayaan sukuk untuk pembangunan semula Kg. Baru sejak 2018. Terkini beliau adalah felo penyelidik utama di Asri Ahmad Academy sejak Jun 2020.

 

*Artikel ini adalah pendapat peribadi penulis dan bukan mewakili DagangNews.com

Portfolio Tags