AS dijangka mansuh tarif import produk China, tambah 'parah' syarikat pengeluar sarung tangan Malaysia  | DagangNews Skip to main content

AS dijangka mansuh tarif import produk China, tambah 'parah' syarikat pengeluar sarung tangan Malaysia 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 7 Julai - Prospek hasil dan harga jualan purata (ASP) bagi pengeluar sarung tangan getah kekal mencabar memandangkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dilaporkan mahu mengurangkan tarif import terhadap produk China.

 

Penganalisis Maybank Investment Bank (IB), Wong Wei Sum berkata, sekiranya tarif import dimansuhkan, ASP dijangka terus merudum kerana pengeluar sarung tangan getah China mempunyai ruang untuk menyelaraskan ASP mereka bagi memperoleh bahagian pasaran di AS. 

 

"Perang harga juga boleh meningkat lagi dan ini mengukuhkan pendirian 'negatif' kami terhadap sektor sarung tangan getah," katanya dalam nota kajian.

 

Berdasarkan laporan media antarabangsa, Presiden AS mungkin mengumumkan penarikan semula beberapa tarif ke atas barangan pengguna China secepat mungkin dalam minggu ini bagi mengekang kenaikan inflasi. 

 

Wei Sum percaya terdapat peluang yang tinggi pemansuhan tarif itu akan dikuatkuasakan terhadap pengeluar sarung tangan China memandangkan penglibatan syarikat AS yang tidak ketara dalam pembuatan sarung tangan.

 

Katanya, jika langkah itu dilaksanakan, ia akan memberi kesan negatif kepada pengeluar sarung tangan dari Malaysia.

 

"Untuk mengembangkan bahagian pasaran mereka, pengeluar sarung tangan China sudah pun menjual pada harga yang lebih rendah dan menyerap tarif untuk pelanggan mereka walaupun ketika ini mereka dikenakan cukai sebanyak 7.5%.

 

"Tanpa tarif import, akan ada lebih banyak ruang untuk mereka melaraskan harga dan ini boleh menyebabkan penurunan ASP secara berterusan," jelasnya.

 

Beliau difahamkan pengeluar sarung tangan getah China ketika ini menjual produk mereka di bawah AS$20 per 1,000 keping berbanding pengeluar Malaysia sekitar AS$22 hingga AS$24. 

 

"Terdapat kemungkinan besar model kos tambah yang digunakan secara meluas sebelum COVID-19 mungkin tidak lagi relevan di tengah-tengah persaingan yang sengit.

 

"Malah, kami percaya, ia akan menyebabkan kerugian jika perang harga dilihat semakin memuncak," tambahnya.

 

Mengambil kira semua faktor berkenaan, Maybank IB mengekalkan saranan 'jual' terhadap Hartalega Holdings Bhd., Top Glove Corp. Bhd. dan Kossan Rubber Industries Bhd. dengan harga sasaran masing-masing pada RM2.48, 65 sen dan RM1.10 sesaham. - DagangNews.com