Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 20 August 2022

Dihantui Hantu Lapar setiap kali Ogos menjelma

 

 

SETIAP kaum mempunyai budaya yang unik dan salah satu daripadanya adalah pantang larang nenek moyang atau kebiasaan kepercayaan atau lebih dikenali sebagai tahayul.

 

Pantang larang merujuk kepada perkara yang ditegah untuk dilakukan dan diwarisi secara turun temurun manakala kebiasaan kepercayaan ataupun tahayul pula bermaksud kepercayaan yang karut-marut tanpa sebarang asas berdasarkan sains.

 

Jika dilihat pada hari ini, segelintir masyarakat moden mengambil langkah dengan tidak lagi mempedulikan tentang pantang larang dan tahayul, namun masih ada segelintir yang masih berpegang teguh, mempercayai dan mematuhi dengan taat.

 

Hal ini tidak terkecuali dalam urus niaga pasaran saham baik dari segi pelaburan dan perdagangan saham. Kepesatan teknologi yang semakin berkembang pada masa kini, telah memudahkan pelabur dan pedagang membuat keputusan berdasarkan analisis saham sama ada analisis asas atau analisis teknikal.

 

Tetapi masih sukar untuk dipercayai, zaman yang serba moden dan canggih ini, segelintir pelabur dan pedagang masih berpegang teguh, mempercayai dan dipengaruhi oleh unsur tahayul mengikut kepercayaan budaya dalam membuat keputusan urus niaga saham.

 

Kepercayaan karut atau unsur tahayul di kalangan mereka dalam pasaran saham bukanlah perkara baru kerana banyak dapatan kajian mendapati bahawa tahayul mempunyai implikasi terhadap keputusan pelabur dan pulangan pasaran saham.

 

Dari serangga ke haiwan, warna hingga nombor, tahayul adalah sebahagian daripada kehidupan setiap orang. Ada yang terdengar seperti tidak masuk akal tetapi ada yang mengajar orang untuk berhati-hati sebelum sesuatu yang buruk berlaku.

 

Eksponen

 

Perayaan Hantu Lapar

Salah satu budaya tahayul yang popular di pasaran saham Asia yang dimonopoli oleh Bangsa Cina beragama Budha seperti Malaysia, Singapura dan negara lain ialah "Perayaan Hantu Lapar" (Hungry Ghost Festival) atau dalam bahasa Cina dipanggil sebagai Zhongyuan Jie.

 

Perayaan Hantu Lapar ini dikatakan sebagai satu daripada beberapa hari perayaan penting dalam kalendar lunar Cina.  Ia biasanya disambut pada hari ke-14 atau ke-15 bulan lunar ketujuh (biasanya bermula dari minggu terakhir bulan Julai atau awal bulan Ogos hingga pertengahan bulan September).

 

Semasa perayaan ini, orang Cina, kebanyakannya memberi tumpuan kepada perkara-perkara yang harus dielakkan kerana dipercayai membawa nasib malang termasuk menubuhkan perniagaan baru, membuat pelaburan baru dengan membeli aset baru, berkahwin, mengapungkan syarikat di pasaran saham, melabur di pasaran saham dan beberapa perkara lain yang melibatkan kehidupan seharian.

 

Tidak kira sama ada pengurus dana, pelabur institusi atau pelabur serta pedagang runcit, berdasarkan kepercayaan dan berpegang teguh kepada budaya masing-masing, unsur tahayul dilihat mempunyai pengaruh terhadap pelabur dan pedagang dalam membuat keputusan pelaburan.

 

Pulangan pasaran saham dan Perayaan Hantu Lapar

Tidak pasti sama ada kebetulan ataupun tidak, semasa Perayaan Hantu Lapar, harga saham dilihat lemah dan dalam keadaan menurun. Ini disebabkan oleh pasaran yang tidak rancak kerana kurangnya aktiviti perdagangan saham dan ini mungkin berkait dengan pantang larang semasa Perayaan Hantu Lapar, sebarang aktiviti perdagangan dan pelaburan saham perlu ditangguh terlebih dahulu kerana dikhuatiri akan membawa nasib buruk.

 

Berdasarkan kajian terdahulu, terbukti bahawa unsur tahayul mempunyai pengaruh kepada pelabur dan pedagang dalam membuat keputusan dasar dalam urusniaga saham dan ini boleh dibuktikan dengan pulangan saham.

 

Eksponen

 

Sebagai contoh, indeks Bursa Saham Filipina, Indeks Komposit Shanghai dan Indeks Hang Seng merosot dan mencatat penurunan semasa Perayaan Hantu Lapar bersandarkan data kajian yang diambil selama 10 tahun.

 

Ini disebabkan kebanyakan pelabur dan pedagang mengambil keputusan untuk menangguhkan urusniaga mereka seketika semasa perayaan in sedang berlangsung. Ini juga dapat dibuktikan berdasarkan jumlah urus niaga (bilangan saham yang diniagakan) yang menurun semasa Perayaan Hantu Lapar. Kebetulan mungkin?

 

Perayaan Hantu Lapar dan urus niaga hartanah

Terdapat kajian lain yang dilakukan, namun skop kajian lebih tertumpu kepada transaksi atau urusniaga pembelian hartanah semasa Perayaan Hantu Lapar di Singapura.

 

Hasil kajian menunjukkan tiada sebarang keganjilan dalam pulangan pelaburan (merujuk kepada pulangan yang tidak normal) yang ketara semasa tempoh Perayaan Hantu Lapar.

 

Dapatan kajian menunjukkan yang urus niaga hartanah tidak menunjuk sebarang penurunan yang mendadak.

 

Tetapi berdasarkan faktor demografik dalam kajian ini, ia menunjukkan generasi muda yang berumur di bawah 40 tahun lebih cenderung untuk mengabaikan unsur tahayul yang menjadi sebahagian daripada budaya mereka dengan tidak gentar melakukan urus niaga hartanah dek kerana pada masa ini harga hartanah lebih murah berbanding dengan bulan-bulan lain.

 

Ini juga secara tidak langsung menunjukkan bahawa generasi tua masih percaya dan berpegang teguh terhadap kepercayaan budaya mereka berbanding dengan generasi muda. Pelik bukan?

 

Eksponen

 

Dihantui Hantu Lapar?

Adakah mereka takut? Adakah mereka tidak gentar kerana berdasarkan kepercayaan mereka,  nasib malang akan menimpa mereka jika masih berdegil untuk melakukan urus niaga pada perayaan Hantu Lapar ini.

 

Hubung kait dan ketakutan terhadap Perayaan Hantu Lapar di kalangan komuniti pelabur dan pedagang saham masih tidak dapat digambarkan dengan jelas dan masih dalam keadaan samar kerana kekurangan kajian yang dijalankan menyentuh kebiasaan kepercayaan ini secara khusus di Asia.

 

Tetapi apa yang menariknya tentang Perayaan Hantu Lapar yang jatuh sama ada pada bulan Ogos ataupun September, kebanyakan pengurus dana asing (Amerika dan Eropah) sedang bercuti.

 

Hal ini telah menyebabkan urus niaga pasaran saham dilihat tidak begitu rancak dan boleh dikatakan berada dalam fasa tepu atau tidak bergerak. Hal ini juga terjadi dek kerana kebanyakan pelabur dan pedagang bangsa Cina yang kaya sibuk dengan tradisi mereka dan menyebabkan hal sama terjadi.

 

Eksponen

 

Benar atau tidak kebiasaan kepercayaan atau tahayul memainkan salah satu peranan penting dalam kalangan pelabur dan pedagang membuat keputusan di pasaran saham, ia telah meninggalkan satu persoalan yang sukar untuk dijawab.

 

Tetapi jika dilihat daripada kajian yang sedia ada yang merujuk kepada tingkah laku mereka (dalam membuat keputusan) ketika melakukan urusniaga saham dan dihubungkaitkan dengan teori pulangan pasaran saham menunjukkan bahawa kebiasaan kepercayaan cenderung memberi kesan terhadap topik ini. - DagangNews.com

 

 

Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Ketua Jabatan Penjenamaan Korporat Akademi Pembangunan PKS & Keusahawanan Malaysia (MASMED) Universiti Teknologi MARA
Portfolio Tags