Peribahasa dan Pantun kelembutan jiwa | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 1 May 2023

PERIBAHASA DAN PANTUN KELEMBUTAN JIWA

 

 

DARI kecil sehingga dewasa, Bahasa Melayu itu belaian jiwa. Bahasa sarat dengan perasaan. Ia sangat mudah untuk difaham dan dipelajari, namun susah untuk dimahiri. 

 

Kekayaan Bahasa Melayu tiada tandingan. Contohnya, di dalam Bahasa Inggeris, kita kenal ´love´ . Sayang pada kekasih, ibu bapa, masyarakat, kita gunakan ungkapan ‘love ‘.

 

Dalam Bahasa Melayu pula, ´love´ ada bermacam jenis perkataan yang boleh digunakan, serta memberi makna yang agak berlainan. Sayang, kasih, cinta, berahi, buah hati, jantung hati, rindu dendam. 

 

Begitu juga dengan marah. Jika ibu memarahi anak, begitu tajam dan pedih hingga menusuk kalbu. Namun kita mempunyai pelbagai perkataan untuk marah yang menunjukkan perbezaan halus ‘marah’ yang berlainan. 


 

tnb

 

Panas baran, sakit hati, panas hati, berang, kurang senang, amarah, gusar, mengamuk, dan untuk bahasa istana, murka. 

 

Merah padam mukanya
Bagai ular dipalu…

 

Jika ingin berkasih-kasihan pula, bahasa Melayu terlalu lembut sehingga hari ini kita merasa kurang senang dipujuk rayu sedemikian rupa.  

 

Makan tak lalu tidur tak lena, 
Teringat abang sepanjang waktu. 

Kiri jalan kanan pun jalan
Tengah-tengah pohon mengkudu
Kirim jangan pesan pun jangan
Sama-sama menanggung rindu

 

Ungkapan tradisional mengandungi segala kebijaksanaan, nilai dan hikmah berdasarkan pengalaman hidup pada zaman dahulu.

 

Di samping itu, peribahasa dan pantun mencerminkan nilai kesantunan, sopan santun, dan budaya hormat menghormati dalam masyarakat Melayu, dan pada satu masa dahulu, seluruh Kepulauan Melayu. 


 

ninot aziz

 


Oleh kerana itu, kita boleh mendapati peribahasa dan pantun dalam pelbagai etnik dan dialek seperti Kadazan, Jawa, Bugis, dan juga Peranakan! Namun prinsipnya jelas dan dikenali bentuknya di mana jua. 

 

Tingginya aras bahasa dalam peribahasa dan pantun dapat dilihat dari sebutannya juga serta penggunaan istilah-istilah khusus yang memerlukan pemahaman mendalam terhadap bahasa Melayu. Penyusunan kata dan pembinaan ayat dalam peribahasa dan pantun memerlukan kecekapan dan kreativiti dalam bahasa Melayu. 

 

Adalah penting untuk kita memelihara penggunaan bahasa Melayu yang melambangkan nilai-nilai tradisi dan kearifan tempatan.

 

Sebagai rakyat Malaysia, kita semua harus memahami dan menghargai peribahasa dan pantun dalam bahasa Melayu untuk memastikan kelestarian warisan budaya negara.

 

Keunikan Bahasa

Makyung merupakan pementasan lebih 400 tahun yang lampau dan begitu indahnya bahasanya.  Dari bisikan susun kata tarian pembukaan Mengadap Rebab 

 

Seperti suloh main angin...
Seperti aur menarik sose la...
Seperti denok menanti...

 

Kita lihat pula kata-kata Semar dari Indonesia.  Walaupun tidak mengenali bahasa ini, maknanya sangat jelas dan tidak terasa asing apabila kita dengar walaupun buat kali pertama. 

 

Bekti marang bumi nusantara
Bekti marang wong tuwa
Bekti marang sedulur tuwa

Berbakti kepada bumi nusantara 
Berbakti kepada orang tua  
Menghormati yang lebih tua

 

Malah bahasa yang terpahat di batu bersurat seluruh Nusantara seribu tahun dahulu merujuk kepada Bahasa Melayu kuno yang boleh kita telusuri sebagai  asal usual bahasa Melayu hari ini. 


 

ninot aziz

 


Sesungguhnya, peribahasa dan pantun mencerminkan masyarakat dan bahasa yang digunakan serta makna yang tersirat di dalamnya. Ungkapan atau mutiara kata ini  sudah menjadi pengetahuan umum yang diwarisi dari generasi ke generasi. 

 

Mutiara kata berbentuk peribahasa dan pantun sebenarnya dapat inspirasi untuk mencapai hala tuju bangsa. Ia juga dapat memberi dorongan untuk bekerja lebih keras dalam menghadapi cabaran.

 

Selain itu, mutiara kata dapat menghiburkan dan mengundang senyuman apabila merasa sedih dan meningkatkan semangat untuk mengambil tindakan yang berani. Paling penting, ia melestarikan budaya dan kearifan lokal. 

 

Mutiara kata dunia Melayu! Satu kekuatan bersama yang mesti ditegakkan!  – DagangNews.com

 

 

Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : ninotaziz@gmail.com
 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA

Portfolio Tags