COVID-19 : Tiada projek mega di Johor dibatalkan | DagangNews Skip to main content

COVID-19 : Tiada projek mega di Johor dibatalkan

By Seloloving

Oleh ADAM ALIF


ISKANDAR PUTERI 12 Julai - Pelbagai projek pembangunan yang dirancang di negeri ini termasuk yang berskala mega tidak dibatal atau ditangguhkan sebeliknya dijajarkan semula serta diubah suai ekoran pandemik COVID-19. 

Antara projek mega yang dijalankan di negeri ini iaitu Sistem Transit Rapid (RTS) antara Johor Bahru dan Singapura serta Landasan Berkembar Elektrik (PLBE) Gemas-Johor Bahru.
 
Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohamad berkata, sebagai contoh, projek RTS dijangka bermula pada November dengan pemeteraian perjanjian projek itu dijangka dapat ditandatangani pada penghujung bulan ini.

"Saya dimaklumkan Menteri Pengangkutan, semua perkara yang dikehendaki dalam perjanjian itu telah pun dapat dipenuhi. Jadi apabila ia ditandatangani, dalam tempoh tiga bulan kita dapat melihat permulaan projek itu.

"Yang paling signifikan ialah depoh untuk penyelenggaraan, ubah suai dan operasi telah dipindahkan ke Johor, iaitu di Wadihana dan bukan di Mandai, Singapura seperti sebelum ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja dan meninjau projek pembinaan Jambatan Sungai Pulai, di sini hari ini.
 

JB2
Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad (empat dari kiri) mendengar taklimat daripada Che Khalib Mohamad Nor (dua dari kanan) semasa melawat tapak projek Jambatan Sungai Pulai di Iskandar Puteri, hari ini. - DagangNews


Hasni berkata, tanah seluas 2.4 hingga 2.8 hektar di Wadihana juga telah dikenalpasti bagi pembinaan depoh tersebut yang dijangka dapat  membuka 500 peluang pekerjaan apabila siap kelak.

Kelmarin, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yakin perjanjian projek RTS dapat dimeterai menjelang akhir bulan ini dengan memberi keyakinan bahawa pihak kementerian dapat menyelesaikan beberapa isu tertunggak mengenai RTS pada Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal RTS Malaysia-Singapura, esok dan selepas itu, proses proses perundangan perjanjian akan diperincikan dan dimeterai sebelum 31 Julai.

Pada Oktober tahun lalu, Malaysia bersetuju meneruskan projek RTS dengan kos terbaharu RM3.16 bilion dan dijangka siap pada Disember 2024, ia dibangunkan bertujuan menangani masalah kesesakan lalu lintas untuk perjalanan ulang alik antara kedua-dua negara itu setiap hari merangkumi landasan sepanjang empat kilometer dengan kapasiti mengangkut 10,000 penumpang setiap jam.

Ka Siong pada Mei lalu dilaporkan berkata, Malaysia dan Singapura mencapai kesepakatan untuk melanjutkan perbincangan mengenai perjanjian dua hala projek RTS hingga 31 Julai 2020, lanjutan tiga bulan daripada tarikh yang sepatutnya dimuktamadkan iaitu 30 April, perbincangan dua hala mengenai projek itu turut terkesan, berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia dan Langkah Pemutus Rantaian di Singapura. - DagangNews