Yayasan Aeon peruntuk RM2 juta laksana projek Smart Classroom di 40 sekolah | DagangNews Skip to main content

Yayasan Aeon peruntuk RM2 juta laksana projek Smart Classroom di 40 sekolah

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 29 Mac - Dalam merealisasikan misi membantu para pelajar mendapatkan suasana pembelajaran terkini dan berkualiti, Yayasan Aeon Malaysia memperuntukkan sebanyak RM2 juta untuk projek 'Smart Classroom' yang akan melibatkan sejumlah 23,000 pelajar sekolah.

 

Yayasan Aeon dalam kenyataan hari ini berkata, projek tersebut akan dilaksanakan di 40 buah sekolah rendah dan menengah kebangsaan di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Kelantan.

 

Katanya, projek Smart Classroom merupakan kolaborasi Yayasan Aeon bersama Yayasan Didik Negara di bawah Kementerian Pendidikan yang berfungsi untuk menyelaraskan setiap sumbangan untuk impak yang optimum.

 

"Projek Smart Classroom ini melibatkan kerja-kerja naik taraf infrastruktur dan kemudahan bilik darjah untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan menyeronokkan. 

 

"Ini termasuk pemasangan penghawa dingin baharu, papan putih interaktif, perabot dan peralatan lain untuk bilik darjah.

 

"Ia akan menjadi sebuah platfom yang mampu melonjakkan potensi dan bakat pelajar di sekolah serta memberi peluang menyesuaikan diri dengan dunia pendigitalan teknologi pintar seiring perkembangan teknologi pada masa kini," katanya.

 

Terdahulu, majlis pelancaran projek Smart Classroom dirasmikan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di Sekolah Kebangsaan Mengkuang, Pulau Pinang, baru-baru ini.

 

 

aeon
Fadhlina Sidek (empat, kiri) ketika merasmikan projek Smart Classroom di SK Mengkuang, Pulau Pinang, baru-baru ini. Turut kelihatan, Datin Noryahwati Mohamad Noh (tiga, kanan).

 

 

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Didik Negara, Hardian Hadir; Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali dan Pengerusi Aeon, Datuk Iskandar Sarudin.

 

Dalam pada itu, Presiden Yayasan Aeon Malaysia, Datin Noryahwati Mohamad Noh berkata, MAF akan melaksanakan projek Smart Classroom menerusi dua fasa, iaitu fasa pertama melibatkan kesediaan infrastruktur untuk sekolah. 

 

 

aeon

 

 

"Melalui kerjasama pelbagai pihak, fasa pertama ini telah dilaksana sepenuhnya. Fasa kedua pula akan ditumpukan kepada para guru bagi membantu mereka mengadaptasi sistem ini ke dalam kurikulum mereka," katanya.

 

Beliau berkata, kaedah pembelajaran terkini sangat sesuai dengan jiwa generasi muda dalam membantu proses pengajaran dan pembelajaran supaya lebih interaktif dan menarik minat pelajar. 

 

"Kami merasa amat berbesar hati atas kerjasama yang diberikan semua pihak dalam melaksanakan misi untuk terus membantu mempertingkatkan mutu pendidikan negara," katanya. - DagangNews.com