Umat Islam perlu ada kefahaman terhadap keperluan bermazhab | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 9 December 2022

Umat Islam perlu ada kefahaman terhadap keperluan bermazhab

 

 

 

MAZHAB adalah istilah yang tidak asing dan sering disebut dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia yang majoriti berpegang kepada mazhab Syafie iaitu sebagai mazhab rasmi.

 

Menurut bahasa, mazhab bermaksud condong, cenderung, jalan atau cara berfikir. Manakala dari sudut istilah pula bermaksud jalan atau cara berfikir yang telah diterima sebagai satu kaedah dalam menilai pelbagai perkara terutamanya yang berkaitan dengan bidang ilmu fiqh.

 

Menurut Shaikh Muhammad al-Habib ibn al-Khawjah menjelaskan mazhab ialah segala hukum yang dipegang oleh para pengikut, diamalkan dan dijadikan fatwa. Secara mudah, mazhab juga boleh dianggap sebagai institusi pengajaran hukum syarak.

 

Kaedah dan sumber yang berbeza bagi menilai isu-isu fiqh telah menimbulkan pelbagai mazhab fiqh yang berbeza seperti empat mazhab yang utama iaitu Hanafiyyah, Malikiyyah, Shafiiyyah dan Hanbaliyyah.

 

Selain empat mazhab muktabar di atas, terdapat mazhab lain yang turut diiktiraf dalam Islam iaitu Laythi, Tabari, Zahiri, Awza’i dan Thawri yang mempunyai metodologi hukum tersendiri.

 

Sementara istilah ‘fuqaha mazhab’ pula bermaksud kumpulan pakar hukum yang mengkaji, menyelidik dan menyampaikan fatwa hukum syarak berdasarkan kaedah dan metodologi ijtihad sesuatu mazhab berkenaan.


 

irsyad

 


Justeru, menurut Izz al-Din al-Tamimi menjelaskan bahawa apabila disebut mazhab Syafie bermaksud mencakupi rumusan pemikiran Imam Syafie termasuk doktrin dan metodologi ijtihad beliau dalam pengkajian al-Quran, Sunnah serta pemikiran fiqh yang berkembang pada zamannya.

 

Istilah mazhab Syafie juga meliputi segala pandangan dan penulisan hukum yang dihasilkan oleh para murid dan pengikut Imam Syafie berlandaskan manhaj ilmiah yang telah dibinanya.

 

Kewujudan pelbagai mazhab fiqh dalam Islam merupakan natijah daripada kepelbagaian cara berfikir dalam menentukan hukum dan kedudukan sesuatu perkara menurut perspektif syarak.

 

Pada masa yang sama telah membuktikan dan menzahirkan bahawa Islam mengiktiraf kebebasan berfikir dalam sesuatu perkara dan lingkungan batas yang dibenarkan.

 

Islam sebagai agama untuk manusia di sepanjang zaman sangat memahami kerencaman hidup manusia yang berbeza-beza antara suatu bangsa, tempat dan juga zaman.

 

Lantaran itu, masyarakat Islam tidak dipaksa untuk mengikut hanya satu bentuk cara atau pola berfikir sahaja kerana akan menyebabkan berada dalam suasana hidup yang sukar dan sulit.

 

Malah, Islam memberikan kebebasan dan keterbukaan kepada manusia memiliki kepelbagaian cara dan kaedah berfikir asalkan tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip asas Islam.


 

irsyad

 


Sewajarnya difahami dan dihayati secara betul bahawa kepelbagaian mazhab dalam Islam merupakan satu kekuatan dan rahmat, bukan satu kelemahan dan bencana perpecahan kepada masyarakat Islam.

 

Terdapat pelbagai prinsip dan asas perbezaan mazhab yang perlu difahami oleh seluruh masyarakat Islam supaya tidak berlaku salah faham dan perpecahan yang merugikan.

 

1. Batasan perbezaan

Perbezaan hanya dalam perkara cabang dan furu’ sahaja, bukan dalam perkara dasar dan usul.

 

Perbezaan yang dibenarkan berlaku dalam persoalan fiqh hanya pada persoalan cabang dan furu’ sahaja, bukan perkara tentang usul atau dasar.

 

2. Tidak menyalahkan pihak lain yang berbeza dari sudut cabang dan furu’ sahaja

Setiap pihak atau ahli mazhab yang berbeza tidak boleh menyalahkan antara satu sama lain.

 

Perlu ditegaskan bahawa dalam masalah cabang atau ranting, tidak ada satu pihak yang boleh memonopoli kebenaran. Kebenaran mungkin berada pada semua pihak yang berbeza pandangan tersebut.

 

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Rasulullah pernah memerintahkan Sahabatnya yang akan pergi ke perkampungan Bani Quraizah supaya tidak bersembahyang asar, kecuali setelah sampai di perkampungan tersebut. Namun waktu asar telah tiba semasa mereka masih lagi dalam perjalanan. Lalu ada sahabat yang bersembahyang dan ada yang menangguh sehingga sampai ke perkampungan tersebut. Apabila perkara ini diceritakan kepada Rasulullah, Baginda mengiktiraf keputusan kedua-dua belah pihak.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

 

3. Bekerjasama

Bekerjasama dalam perkara yang disepakati dan bertolak ansur dalam perkara yang tidak dipersetujui.

 

Sewajarnya diinsafi bahawa setiap mazhab yang berbeza pandangan dalam sesuatu perkara tertentu, turut mempunyai persamaan dalam banyak perkara yang lain.

 

Sebaiknya, masyarakat Islam menumpukan perhatian kepada kerjasama dan usaha melaksanakan perkara yang dipersetujui bersama dan bukan sebaliknya fokus kepada perbezaan yang wujud.


 

irsyad

 


4. Bersikap sederhana

Tidak melampau dalam sesuatu pandangan yang dipegang.

 

Islam sangat menganjurkan kesederhanaan dalam semua aspek dan termasuklah dalam perkara yang berkaitan dengan mazhab.

 

Pegangan terhadap sesuatu mazhab hendaklah secara sederhana dengan menerima kemungkinan adanya kesilapan pada pihak diri sendiri dan adanya kebenaran pada pihak orang lain.

 

5. Berdialog

Sentiasa melaksanakan dialog dan perbincangan secara harmoni.

 

Islam sangat menganjurkan perbahasan yang positif untuk mencari titik pertemuan dan menyelesaikan masalah.

 

Sekiranya selepas melakukan dialog masih tidak ditemui titik pertemuan, maka bermakna perlu menerima perbezaan yang wujud.

 

Namun, perbezaan bukanlah bermakna permusuhan kerana perbezaan terutama dalam perkara cabang dan furu’ merupakan rahmat Allah SWT.


 

irsyad


 

Demikianlah, prinsip perbezaan mazhab dan sikap yang perlu dimilki oleh masyarakat Islam dalam menghadapi kepelbagaian mazhab dan pendapat bagi mewujudkan suasana aman dan harmoni.

 

Para Mufti, ilmuan agama dan pihak berautoriti dalam bidang agama di Malaysia perlu bersinergi dalam rangka mewujudkan kefahaman yang benar dan mantap dalam bermazhab. - DagangNews.com

 

 

DR. AZRI BIN BHARI adalah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.
Portfolio Tags