TransNusa mula penerbangan sulung Jakarta-Kuala Lumpur bermula 14 April 2023 | DagangNews Skip to main content

TransNusa mula penerbangan sulung Jakarta-Kuala Lumpur bermula 14 April 2023

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 20 Mac - PT TransNusa Aviation Mandiri memilih Kuala Lumpur sebagai penerbangan antarabangsa sulungnya bermula 14 April 2023 dengan penerbangan pergi balik dua kali sehari.

 

“Selain mendukung kerajaan mempercepatkan pemulihan ekonomi dan sektor pelancongan serta mewujudkan keterhubungan berterusan, pembukaan perjalanan antarabangsa ini juga membuktikan komitmen TransNusa memenuhi permintaan penumpang terutama untuk pergi balik semasa perayaan Hari Raya Aldilfitri,” katanya.

 

Menurut pengumuman hari ini, syarikat penerbangan Indonesia itu menawarkan tiket Kuala Lumpur ke Jakarta serendah RM299 termasuk 30kg bagasi secara percuma dan fleksibiliti untuk mengubah jadual penerbangan tanpa batas, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

“Penerbangan Transnusa juga dilengkapi perkhidmatan premium dalam penerbangan iaitu makan dan minum serta kerusi dengan ruang kaki yang luas,” tambahnya.

 

Harga istimewa tersebut disediakan di seluruh saluran penjualan seperti laman web rasmi TransNusa, ejen perjalanan serta penjual tiket rasmi lainnya.

 

Syarikat itu berkata, tawaran tersebut sudah boleh ditempah sehingga 31 Mac dengan tempoh penerbangan dari 14 April hingga 18 Oktober 2023.

 

Pengarah Urusan Transnusa, Bayu Sutato berkata, “Sesuai dengan slogan syarikat ‘Selamat, Mampu Milik dan Selesa’, kami berharap kehadiran TransNusa yang menghubungkan Jakarta dan Kuala Lumpur dengan harga dan pakej tawaran terbaik memberi keuntungan kepada pelanggan dan menjadi pilihan untuk perjalanan Hari Raya Aidilfitri nanti.”

 

Menurut Bayu, penerbangannya beroperasi di Terminal 3 Bandar Udara Internasional Soekarno-Hatta dengan kod penerbangan 8B dan menggunakan kapal terbang baharu, Airbus A320 Neo dan A320 Ceo.

 

Malaysia masih menjadi salah satu destinasi antarabangsa pilihan untuk perniagaan dan riadah di samping menjadi pilihan pelajar Indonesia untuk melanjutkan pelajaran, katanya yang memetik laporan PT Angkasa Pura II pada tahun lalu.

 

“Ini menunjukkan keperluan yang tinggi dalam kalangan masyarakat untuk mempunyai pilihan penerbangan untuk perjalanan ini.

 

Kuala Lumpur menjadi titik pemula TransNusa untuk menghubungkan pasaran domestik dengan antarabangsa,” tambahnya.

 

TransNusa mengekalkan penerapan protokol kesihatan dan berpesan agar penumpangnya memenuhi syarat perjalanan, sesuai ketentuan baharu yang ditetapkan. -DagangNews.com