Tragedi Oktober pasaran saham tanda permulaan kemelesetan ekonomi 2023 | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 8 October 2022

Tragedi Oktober Pasaran Saham Tanda Permulaan Kemelesetan Ekonomi 2023

 

OKTOBER! Bulan yang kejam untuk pasaran saham seluruh dunia!

 

Kebanyakan indeks prestasi pasaran saham utama dunia mengalami penurunan akibat kebimbangan ketara kemungkinan berlakunya kemelesetan ekonomi global pada tahun 2023.

 

Lautan merah berdarah yang membadai hampir kesemua pasaran saham utama seluruh dunia adalah disebabkan keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu – peningkatan kadar inflasi yang dijangka akan berterusan, langkah serta pengetatan dasar monetari dan fiskal yang dilihat bakal merencatkan pertumbuhan ekonomi, gangguan rantaian bekalan, penutupan berpanjangan hab ekonomi utama di China dan pelbagai faktor lain yang menambah risiko berlakunya kemelesetan ekonomi.

 

Jika keadaan ini terus berlarutan, luka bakal menjadi parah, ia bakal memberi petunjuk bahawa seluruh dunia bakal berhadapan dengan risiko kemelesetan ekonomi.

 

Apabila kemelesetan ekonomi ini benar-benar berlaku, ia dijangka akan menjadi teruk serta berpanjangan diikuti dengan tekanan kewangan dan ditambah buruk dengan krisis hutang yang meluas.

 

Dalam membuat telahan bila kemelesetan ekonomi bakal berlaku, tidak ada satu petunjuk mahupun teori yang boleh memberi jawapan tepat bila ianya akan berlaku.

 

Tetapi, dengan memahami hubungan antara kitaran pasaran saham dan ekonomi serta teori ekonomi dan kewangan (termasuklah kepercayaan tahayul) berdasarkan peristiwa yang telah berlaku pada masa lalu, ia boleh menjadi petunjuk permulaan bibit-bibit kemelesetan ekonomi.


 

Eksponen

 


Pasaran Saham Cerminan Masa Hadapan Ekonomi

Adakah prestasi pasaran saham adalah cerminan kepada keadaan ekonomi semasa? Berdasarkan kepada kajian yang telah banyak dilakukan untuk memahami hubungan antara pasaran saham dan ekonomi, hasil kajian menunjukkan tidak pernah ada hubungan yang konsisten antara pasaran saham dan ekonomi.

 

Pelik bukan? Bukan ke pasaran saham dan ekonomi jika dilihat secara mata kasar cenderung bergerak ke arah yang sama? Boleh dikatakan begitu, pasaran saham dan ekonomi jika dilihat melalui mata kasar bergerak seiring antara satu sama lain - tetapi sebenarnya tidak selalu begitu kerana kedua-duanya bertindak dan bergerak dengan cara berbeza terutamanya dalam tempoh masa yang singkat.

 

Dalam memahami hubungan antara pasaran saham dan ekonomi, kita perlu melihat dari perspektif yang berbeza. Umum mengetahui bahawa pelabur dan pedagang akan membuat analisis (secara asasnya) menggunakan data ekonomi untuk memahami apa yang berlaku dan bakal berlaku pada masa hadapan.


 

Eksponen

 


Setiap transaksi pembelian saham yang di buat oleh pelabur dan pedagang pada hari ini adalah berdasarkan jangkaan prestasi syarikat pada masa akan datang. Dalam erti kata mudah, pasaran saham adalah cerminan kepada apa yang akan berlaku kepada ekonomi pada masa hadapan.

 

Berlawanan dengan ekonomi, data yang dikeluarkan adalah gambaran kembali apa yang telah berlaku sebelumnya. Mengambil contoh data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang dikeluarkan adalah jumlah nilai pasaran keseluruhan barangan dan perkhidmatan berdasarkan apa yang berlaku pada suku tahun lepas.

 

Sama seperti data kadar pengangguran yang menggambarkan berapa ramai orang yang telah kehilangan kerja (dibuang atau ditamatkan perkhidmatan) pada bulan sebelumnya.

 

Pasaran saham dan ekonomi mempunyai kitaran yang sama dalam bahasanya tersendiri.

 

Apabila ekonomi dijangka mula melemah, bak kata pepatah "apa yang naik mesti turun!”, kebanyakan saham yang didagangkan akan mula kehilangan nilai (menurun). Ini disebabkan oleh tindak balas kebiasaan yang diambil oleh pelabur mahupun pedagang.

 

Mereka mula melepaskan pegangan (menjual saham) mereka berdasarkan keadaan (data) ekonomi semasa dan berita negatif yang mula membanjiri pasaran seperti pengecilan operasi (pembuangan pekerja, penutupan cabang serta cawangan perniagaan yang tidak menguntungkan dan lain-lain).

 

Perkara ini akan berlarutan selama beberapa bulan dan menyebabkan indeks prestasi utama pasaran saham menurun sebelum terjadinya kemelesetan ekonomi. Dan apabila kemelesetan berlaku, ia akan terus menjunam dengan ketara.

 

Tidak semua pasaran saham akan berkelakuan dan menunjukkan hal yang sama sebelum kemelesetan berlaku. Tetapi sejarah telah menunjukkan bahawa kebanyakan pasaran saham utama dunia akan berkelakuan sebegitu diambang kemelesetan ekonomi.


 

Eksponen

 


Teori Lautan Berdarah Oktober

Bulan Oktober juga adalah bulan yang cukup unik buat pengkaji pasaran saham kerana ia dapat dikaitkan dengan anomali pasaran yang merujuk kepada Kesan Oktober (October Effect). Secara teori, Kesan Oktober adalah lebih kepada jangkaan psikologi bahawa pasaran saham cenderung untuk menjunam pada bulan Oktober.

 

Wujudnya teori ini adalah berdasarkan beberapa peristiwa yang telah berlaku seperti Bencana Ekonomi yang berlaku pada tahun 1929, yang menyaksikan kemelesetan ekonomi terbesar dan terpanjang dalam sejarah dunia ekonomi moden dan pada tahun 1987 yang berlaku pada bulan Oktober di mana indeks Dow Jones telah menjunam lebih dari 20-peratus dalam masa satu hari.

 

Tetapi, kebanyakan pelabur dan pedagang menyangkal teori ini dan merasakan bahawa Kesan Oktober ini sebenarnya lebih kepada kepercayaan tahayul.

 

Ini kerana kebanyakan data dan statistik menunjukkan keadaan berlawanan dengan teori ini – jika dibandingkan dengan situasi sebenar pasaran saham (merujuk kepada pulangan) pada bulan Oktober.

 

Jadi, adakah Kesan Oktober adalah betul? Adalah tidak masuk akal jika kita percaya dan hanya memberi tumpuan  pada bulan Oktober kerana bulan ini boleh menjadi bulan yang baik atau bulan yang buruk untuk pasaran saham.

 

Berdasarkan statistik pulangan pasaran saham, data menunjukkan pulangan terhadap pasaran adalah tidak berbeza jika dibandingkan dengan 11 bulan yang lain dalam setahun.

 

Jika Kesan Oktober ini adalah benar dan bukan tahayul, ia boleh dijadikan salah satu penunjuk berkesan buat para pelabur dan pedagang untuk mengaut serta mendapatkan pulangan yang tinggi dan mudah melalui pasaran saham.


 

Eksponen

 


Adakah Kemelesetan Bakal Berlaku pada Tahun 2023?

Oleh kerana pasaran saham sentiasa bertindak balas dengan cepat berdasarkan jangkaan dan keadaan ekonomi semasa, kejatuhan pasaran saham utama dunia boleh menjadi petunjuk berguna dan menjadi gambaran kepada keadaan ekonomi sebenar.

 

Andai pasaran saham terus dibadai ombak berdarah sehingga penghujung tahun 2022, secara teori dan praktikalnya ia sedang memohon dan merayu supaya kemelesetan ekonomi berlaku...

 

Jika ia berlaku… Dijangkakan banyak negara tidak akan dapat mengelak dari berhadapan dengan kemelesetan ekonomi pada tahun 2023. - DagangNews.com

 

Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat
Portfolio Tags