Tiba masanya beri tumpuan kepada institusi kewangan Islam bukan bank | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 29 November 2022

TIBA MASANYA BERI TUMPUAN KEPADA INSTITUSI KEWANGAN ISLAM BUKAN BANK

 

 

PEMBANGUNAN kewangan Islam hari ini bergerak dengan pantas berbanding semasa ia masih di peringkat awal dengan beberapa tindakan telah diambil bagi memperkukuhkan lagi asasnya.

 

Tumpuan bukan sahaja diberikan kepada aspek penyeliaan, kawal selia dan perundangan, tetapi juga kepada pembangunan infrastruktur kewangan dan pasaran serta institusi. 

 

Reka bentuk pengawalseliaan berhemat diperlukan untuk membangunkan pasaran kewangan Islam, institusi Islam dan instrumen kewangan.

 

Pertama ialah ciri infrastruktur kewangan diperbaiki agar rangka kerja perundangan, pengawalseliaan dan penyeliaan lebih berkesan untuk menyokong kestabilan sistem kewangan. 

 

Fungsi pengawalseliaan dan penyeliaan adalah amat diperlukan dan penting dalam infrastruktur kewangan. 

 

Bagi sistem kewangan Islam, rangka kerja ini juga perlu selaras dengan keperluan prinsip syariah termasuk penubuhan majlis penasihat syariah, yang memberi jaminan bahawa hala tuju strategik, penggubalan dasar dan pengendalian urus niaga adalah mematuhi prinsip ditetapkan.

 

Ini disokong oleh sistem mahkamah sivil yang cekap dan boleh menangani semua kes perbankan dan kewangan Islam dengan berkesan. 

 

Rangka kerja undang-undang juga harus menangani isu penyeliaan, termasuk agensi kawal selia berkaitan yang terlibat dalam penyeliaan institusi kewangan Islam dan merangkumi pelesenan dan pengendalian perniagaan perbankan Islam. 

 

 

gambar hiasan

 

 

Yang kedua ialah keperluan kepada tadbir urus korporat yang kukuh seperti peraturan dan penyeliaan kerana ia menyumbang ke arah mengekalkan keyakinan pasaran dan mengukuhkan ketelusan dan akauntabiliti.

 

Tadbir urus korporat memerlukan amalan korporat dengan nilai yang baik dan diterapkan dalam semua aspek operasi di semua peringkat dalam organisasi. 

 

Walaupun Islam sentiasa menganjurkan tadbir urus korporat yang baik, cabaran utama ialah penerapannya. 

 

Bagi institusi perbankan Islam, tadbir urus korporat yang baik sepatutnya telah diterapkan dalam semua aspek operasi.

 

Ketiga pula berkaitan dengan ketelusan dan pendedahan. Ia adalah penting terutama dalam persekitaran yang sentiasa berubah. 

 

Walaupun ketersediaan maklumat kewangan yang komprehensif akan meningkatkan disiplin pasaran, pendedahan maklumat perlu dilengkapkan dengan keupayaan para pemain di pasaran untuk menganalisis dan mentafsir maklumat. 

 

Ini lebih relevan lagi dalam peranan pelbagai aspek yang dimainkan oleh institusi kewangan Islam dalam berurusan dengan pelanggan perbankan Islam kerana transaksi kewangan Islam bukan semata-mata berdasarkan hubungan pelanggan dan bank sahaja seperti yang berlaku dalam perbankan tradisional. 

 

Langkah ke arah mempertingkatkan pendedahan produk dan meningkatkan tahap celik kewangan pengguna sewajarnya terus digalakkan.

 

 

gambar hiasan

 

 

Keempat, penekanan kepada tadbir urus korporat yang lebih baik adalah seiring dengan keperluan untuk penambahbaikan dalam piawaian pengurusan risiko. 

 

Amalan pengurusan risiko yang baik akan mengurangkan kesan buruk dihadapi institusi kewangan ketika tempoh tidak tentu. 

 

Kawalan dalaman yang mantap untuk menyediakan piawaian kualitatif juga perlu untuk melengkapkan analisis kuantitatif risiko dalam menyediakan semak dan imbang selaras dengan amalan pengurusan risiko keseluruhan. 

 

Sistem pengurusan risiko dalam institusi Islam dapat menangani ciri dan sifat unik yang berkaitan dengan operasi pembiayaan Islam melibatkan kontrak dan instrumen kewangan yang mungkin menimbulkan risiko selain risiko kredit, risiko pasaran, risiko kecairan dan risiko operasi. 

 

Sistem ini perlu disediakan untuk memudahkan pengenalpastian, pengukuran, pemantauan dan kawalan semua risiko yang wujud dalam semua pelbagai jenis pembiayaan supaya risiko khusus yang terlibat boleh 'dipisahkan'. 

 

Oleh itu, kerumitan risiko masing-masing dalam instrumen kewangan Islam perlu diterokai dan diukur sepenuhnya untuk menyediakan penilaian dan pengurusan yang berkesan.

 

Kelima, dalam usaha ke arah membangunkan industri kewangan Islam yang dinamik, ialah timbulnya isu syariah, yang seharusnya dilihat sebagai pemboleh kepada inovasi dan kreativiti, bukannya kekangan. 

 

Dalam hal ini, usaha perlu dipertingkatkan untuk menghayati dan memaksimumkan potensi sebenar ‘flexibility and accommodativeness' syariah. 

 

Selain itu, kerjasama dalam kalangan sarjana Islam, pengamal, penyelidik dan pengawal selia untuk menjalankan kajian dan penyelidikan mendalam bagi mencipta produk baharu akan menyediakan asas kukuh ke arah pembangunan sistem kewangan Islam yang dinamik.

 

 

gambar hiasan

 

 

Keenam ialah pembangunan infrastruktur undang-undang yang komprehensif, berkaitan prasyarat penting untuk mengekalkan pertumbuhan berterusan perbankan dan kewangan Islam.

 

Ia dilaksanakan melalui infrastruktur undang-undang yang komprehensif untuk penyelesaian undang-undang yang timbul daripada urus niaga kewangan Islam. 

 

Untuk menangani perkara ini, adalah penting untuk melahirkan peguam dan hakim yang cekap, berpengetahuan dan mempunyai kepakaran yang kukuh dalam undang-undang syariah dan sivil untuk menangani perkara tersebut.

 

Yang ketujuh dan terakhir adalah berkaitan dengan pembangunan pasaran kewangan Islam yang dinamik. Di pusat-pusat kewangan dunia yang lebih maju, pembangunan pasaran kewangan yang saling berkaitan telah menyumbang ke arah kestabilan dalam sistem kewangan mereka. 

 

Oleh itu, cabaran dalam industri perbankan Islam di Malaysia adalah untuk memacu pembangunan sistem kewangan Islam ke arah yang lebih dinamik dan responsif. 

 

Pembangunan sistem kewangan Islam harus merangkumi komponen utama terdiri daripada pasaran wang Islam dan pasaran modal ekuiti dan hutang Islam memandangkan hubungan yang kukuh, saling bergantung dan sinergi antara komponen ini di dalam sistem. 

 

Paling penting ialah pasaran wang Islam bertindak sebagai platform untuk menyediakan sumber pembiayaan dan pelaburan jangka pendek yang efisien. 

 

Instrumen kewangan dan pelaburan antara bank membolehkan lebihan bank menyalurkan dana kepada bank defisit, justeru, mengekalkan mekanisme pembiayaan yang diperlukan untuk menggalakkan kestabilan dalam sistem. 

 

Pasaran wang Islam juga akan memudahkan pelaksanaan dasar monetari. Bagi penulis, untuk melengkapkan pasaran kewangan ini perhatian penuh perlu diberikan kepada pembangunan institusi kewangan Islam bukan bank. 

 

Ini termasuklah koperasi dan syarikat kewangan yang kini bersepah dalam industri dengan menawarkan khidmat kemudahan kredit kepada pengguna termasuk takaful merangkumi perlindungan risiko kepada pemegang polisinya dan berfungsi sebagai penggerak penting dana jangka panjang. 

 

Di samping itu, institusi pembangunan kewangan, pengurusan aset, simpanan dan kredit perumahan juga perlu diberi bantuan dan sokongan untuk memenuhi permintaan pelanggan yang pelbagai. 

 

Kesemua institusi khusus sebegini memenuhi keperluan ekonomi yang berbeza. - DagangNews.com

 

 

 

Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS)
Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

utm

Portfolio Tags