Tafi Industries raih kontrak RM23.46 juta bina kuarters kakitangan MOH di Labuan | DagangNews Skip to main content

Tafi Industries raih kontrak RM23.46 juta bina kuarters kakitangan MOH di Labuan

KUALA LUMPUR 1 Dis - Tafi Industries Bhd. menerusi unit milik penuhnya, T.A. Furniture & Projects Sdn. Bhd. memperoleh kontrak bernilai RM23.46 juta bagi pembinaan kuarters kakitangan Kementerian Kesihatan (MOH) bagi Wilayah Persekutuan Labuan. 

 

Kontrak yang diperoleh daripada Lambaian Delta Sdn. Bhd. itu memakan masa selama 52 minggu mulai 1 Disember 2022 hingga 3 Disember 2023.

 

Perolehan tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada hasil kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23)

 

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Tafi, Datuk Seri Bryan Wong berkata, kumpulan pada September lalu memperoleh kontrak 'turnkey' bernilai RM115 juta daripada Magna Park Sdn. Bhd. bagi pembinaan pangsapuri perkhidmatan Metro Kepong Fasa 2D. 

 

Katanya, ditambah dengan perolehan terkini itu ia akan meningkatkan hasil kumpulan bagi FY23 hingga FY25.

 

"T.A Furniture & Projects juga memperoleh lesen G7 yang dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) yang membolehkannya membuat tender bagi projek pembinaan yang nilainya tidak terhad.

 

"Oleh itu, kami akan terus berusaha untuk meningkatkan aliran pendapatannya daripada kontrak pembinaan dengan menyertai dan mendapatkan lebih banyak tender bagi projek pembinaan untuk sektor swasta dan juga sektor kerajaan," katanya. -DagangNews.com