Sudah stabilkah situasi politik sekarang, atau menanti perang PRN 2023? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 22 February 2023

Sudah stabilkah situasi politik sekarang, atau menanti perang PRN 2023?

 

 

 

TERTARIK dengan ucapan Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Ahli Parlimen Titiwangsa ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat. Beliau telah menggariskan tiga keperluan bagi memulihkan ekonomi negara yang sedang bergelut ketika ini iaitu kestabilan politik, kecekapan dan keyakinan.

 

Beliau juga menyenaraikan cabaran yang merencatkan pertumbuhan ekonomi negara iaitu pendapatan isi rumah berkurangan, pengangguran dan guna tenaga tidak penuh, hasil kerajaan yang rendah dan kadar kemiskinan yang terus meningkat.

 

Memang tidak disangkal lagi! Jika Malaysia berjaya mengecapi kestabilan politik, sudah tentu kecekapan dan keyakinan akan menyusul secara automatik.

 

Apa yang diutarakan oleh beliau bukan sesuatu yang baru, tetapi itu adalah kunci kepada momentum pertumbuhan ekonomi kukuh yang diperlukan oleh sesebuah negara untuk mengorak langkah maju ke hadapan.

 

Pentingnya Kestabilan Politik

Episod duka yang melanda negara selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 telah menyaksikan tampuk kepimpinan telah berubah sebanyak tiga kali. Kemelut politik negara ketika itu boleh diibaratkan seperti tiada kesudahan dan tiada titik noktah.

 

Sehingga satu langkah telah dilakukan oleh Perdana Menteri ke-9 iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mencatat sejarah baru dalam lembaran politik Malaysia untuk meredakan kemelut politik negara dengan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dengan pihak pembangkang.

 

Dengan termeterainya MoU, ini telah membuka budaya baharu dalam politik yang menunjukkan keterbukaan, kematangan dan kebijaksanaan kerajaan di bawah pimpinannya.

 

Bukan hanya sekadar dokumen, MoU ini juga mengetepikan segala perbezaan ideologi politik, mengajak pihak pembangkang untuk bekerjasama dengan objektif untuk mencapai kestabilan politik dalam usaha memastikan pemulihan negara terutamanya dari segi ekonomi berjalan secara holistik dan inklusif.

 

MoU ini merangkumi Pemerkasaan Pelan COVID-19, Transformasi Pentadbiran, Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

 

Hasilnya, Malaysia telah mencatat pertumbuhan kukuh Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 8.7 peratus bagi tahun 2022. Ini secara langsung menunjukkan pemulihan keyakinan pengguna, perniagaan dan pelabur terhadap ekonomi negara.

 

Ini juga, jelas membuktikan jika Malaysia mampu mengecapi kestabilan politik iaitu ahli politik tidak berebut kuasa, tidak membuat dasar yang mengarut dan apa perkara yang berkaitan yang boleh merencat pertumbuhan ekonomi – sudah tentu negara berada di landasan yang tepat untuk kembali menjadi negara yang disegani dengan jolokan, Harimau Ekonomi Asia.

 

Tindakan yang diambil oleh kerajaan terdahulu sepatutnya diberikan pujian serta penghargaan kerana langkah ini telah membentuk strategi mampan bagi mengembalikan kestabilan politik negara yang boleh membawa kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh, selanjutnya mengembalikan kepercayaan rakyat dan pelabur terhadap institusi politik.

 

Ia juga selari dengan dapatan dari kajian akademik yang telah banyak dijalankan, apabila negara mengecapi kestabilan politik, sudah tentu ia akan menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan serta secara langsung dapat menarik lebih banyak minat pelabur asing untuk melabur dalam negara baik dari segi pelaburan langsung asing (FDI) mahupun pelaburan portfolio asing (FPI).

 

Selamat Datang ke Sarkas, Eh Parlimen!

Melihat gelagat ahli-ahli Parlimen semasa Persidangan Dewan Rakyat diadakan. Majoriti rakyat Malaysia yang matang dan boleh berfikir secara waras pasti akan menepuk dahi.

 

Adakah ini kualiti wakil yang membawa suara rakyat? Ini kerana masih wujud sebilangan ahli parlimen yang dilihat tidak bersikap profesional dengan terpekik terlolong umpama berada di dalam Sarkas.

 

Bagaimana negara mahu bergerak ke hadapan jika perkara ini terus berlarutan? Masing-masing sibuk bertelingkah dengan ideologi parti masing-masing. Bukan memperjuangkan nasib rakyat yang memilih beliau untuk membawa suara rakyat di Parlimen.

 

Ingat! Anda adalah ahli parlimen yang membawa suara rakyat dan membela nasib rakyat! Bukan badut sarkas!

 

PRU ke-15 sudah berbulan berlalu. Tahun baharu 2023 pula telah hampir ke penghujung Februari. Tetapi masalah yang dihadapi oleh rakyat masih tidak mempunyai jalan penyelesaian.

 

Alangkah baik jika kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri ke-10, Dato' Seri Anwar  Ibrahim juga mengambil inisiatif yang sama seperti kerajaan terdahulu dengan memeterai satu lagi MoU dengan pihak pembangkang supaya negara dapat mengecapi kestabilan politik demi ekonomi!

 

Ini amatlah penting untuk memastikan masa di Dewan Rakyat tidak dibazirkan untuk terpekik terlolong dengan isu yang hanya melibatkan politik dan sebagainya.

 

Yang paling penting buat masa ini, kerajaan perlu prihatin terhadap nasib rakyat terutamanya mereka yang terkesan dengan keadaan ekonomi semasa yang menghimpit mereka – kenaikan harga barang, hilang punca pendapatan dan kurang peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan kelayakan mereka.

 

Fikirkan cara bagaimana hendak menyelamatkan rakyat kerana rakyatlah yang menjadi mangsa, membayar kegagalan dengan harga yang tinggi akibat dari kelemahan tadbir urus kerajaan yang tidak pandai mengurus ekonomi.

 

Tidak perlu formula yang mengarut dan kenyataan yang merapu! Rakyat ingin tahu apa mekanisme strategik jangka masa pendek dan jangka masa panjang yang kerajaan akan perkenalkan untuk mengatasi segala isu yang membelenggu mereka.

 

Cukuplah Bermain Politik!

Baik pihak kerajaan mahupun pihak pembangkang. Buat masa ini, ketepikan dahulu ideologi parti politik masing-masing.

 

Bekerjalah! Demi membina semula sebuah negara yang utuh, baik dari segi sistem demokrasi mahupun ekonomi, pastikan transformasi kecekapan tadbir urus kerajaan dilaksanakan, pastikan  tiada lagi amalan korupsi serta budaya rasuah dan yang paling patut dititikberatkan adalah dahulukan rakyat – kebajikan rakyat perlu diutamakan.

 

 

Di kala negara terbeban dengan hutang yang makin meningkat, krisis kos sara hidup yang dicetuskan oleh inflasi, korupsi serta keyakinan terhadap institusi politik dan masalah-masalah lain yang memberi kesan terhadap pertumbuhan ekonomi negara.

 

Ini sudah tentu memberi cabaran buat kerajaan hari ini. Ia sama seperti kerajaan terdahulu yang memimpin tatkala wabak pandemik COVID-19 membadai negara dan semasa negara bergelut untuk pulih keluar dari kedudukan ekonomi pasca COVID-19 demi kelangsungan hidup rakyat.

 

Ia adalah cabaran bagi sesiapa pun yang bergelar Perdana Menteri. Berdepan dengan tekanan ekonomi dan lain-lain isu global, ditambah dengan jangkaan kemelesetan ekonomi bakal berlaku seperti yang diramalkan oleh Bank Dunia. Kemungkinan Malaysia tidak akan terheret sekali.

 

Ini kerana, dengan pertumbuhan ekonomi yang kukuh, Bank Negara Malaysia (BNM) menjangkakan Malaysia tidak akan berdepan dengan krisis kemelesetan ekonomi pada tahun ini, tetapi pembaharuan serta langkah strategik perlu direncanakan dan perlu diambil oleh kerajaan untuk memastikan negara terus mengekalkan momentum sekali gus mencatat pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh.

 

Dalam mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi, apa yang menjadi keutamaan sekarang adalah untuk mengecapi kestabilan politik terlebih dahulu! Jika kestabilan politik masih tidak dicapai, kemungkinan drama tiga episod selama empat tahun pasca PRU14 bakal berulang.

 

Malaysia juga perlu mempunyai struktur demokrasi utuh yang menuntut parti politik memahami pengertian demokrasi dan menjadikan mereka lebih cakna kepada negara dan rakyat.

 

Oleh itu manfaatkan sepenuhnya persidangan parlimen. Setiap sidang parlimen perlu membahaskan isu penting yang masih membelenggu negara – membahaskan usul yang secara efektif dan melakukan semak imbang yang adil untuk semua.

 

Buat sebilangan ahli parlimen, hentikanlah perangai terpekik terlolong, hentikan provokasi, jangan menganggu perbahasan dengan cara kurang beradab dan tolong bersikap matang dengan tidak menunjukkan aksi atau tingkah laku yang tidak patut diperlihatkan.

 

Cukuplah membuatkan Speaker Dewan Rakyat sakit kepala dengan perangai anda! Apatah lagi rakyat yang muak melihat persidangan parlimen yang tidak memberi impak kepada mereka.

 

Pada persidangan parlimen yang lepas, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Noor juga telah menegur Ahli-Ahli Parlimen agar sentiasa menjaga kelakuan dan etika bagi mengelak persepsi negatif berterusan masyarakat.

 

Ini berikutan kejadian di restoran mamak di mana ada individu yang melabelkan persidangan Parlimen sebagai ‘Zoo’ dengan mengutarakan pertanyaan kepada beliau – “YB, bagaimana zoo?”

 

Tidak ada rasa malu ke sebagai ahli parlimen apabila mendapat sindiran dan dilabel sebegitu?

 

Walaupun berlainan parti dan ideologi politik, berpeganglah pada etika dan budi pekerti. Sesungguhnya rakyat memerhati.

 

Banyak lagi isu yang penting perlu dibahaskan dan perlu diberi tumpuan. Apa yang perlu dibahaskan oleh ahli Dewan Rakyat buat masa ini:
 

  • Bagaimana untuk memastikan negara terus ke hadapan dengan memastikan nasib setiap rakyat terbela
     
  • Apa langkah strategik perlu diambil bagi mentransformasi institusi-institusi kerajaan supaya beroperasi dengan lebih cekap dan kekal relevan
     
  • memerangi budaya korupsi serta rasuah
     
  • mencari mekanisme terbaik jangka masa pendek dan jangka masa panjang untuk mencapai apa yang dirancang.

 

Carilah penyelesaian menang-menang demi rakyat untuk Malaysia yang semakin baik dari segi politik, sosial dan ekonomi. – DagangNews.com

 

 
Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat
Portfolio Tags