Salah jual produk kewangan: Akta Perkhidmatan Pengguna Kewangan 2013 mesti dikuatkuasakan | DagangNews Skip to main content

Salah jual produk kewangan: Akta Perkhidmatan Pengguna Kewangan 2013 mesti dikuatkuasakan

Oleh Prof. Dr. Ong Tze San, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi,  Universiti Putra Malaysia

UNDANG-UNDANG perlindungan pengguna direka bentuk untuk melindungi kepentingan pengguna dan memastikan mereka tidak tertakluk kepada amalan penipuan atau tidak beretika oleh perniagaan.

 

Dalam sektor kewangan, undang-undang perlindungan pengguna amat penting kerana pengguna sangat bergantung kepada institusi kewangan, terutamanya bank untuk menguruskan wang dan pelaburan mereka.

 

Satu daripada undang-undang tersebut ialah Akta Perkhidmatan Pengguna Kewangan 2013, yang bertujuan untuk melindungi pengguna daripada amalan tidak adil atau menipu oleh institusi kewangan.

 

Satu isu yang patut diberi perhatian dan kini semakin meningkat, sejak beberapa tahun kebelakangan ini ialah `salah jual' oleh bank, di mana bank-bank menjual produk kewangan/pelaburan mereka kepada pendeposit.

 

Salah jualan merujuk kepada amalan menjual produk kewangan kepada pengguna yang tidak bersesuaian dengan keperluan atau keadaan kewangan mereka, sering mengakibatkan kerugian kewangan yang ketara.

 

Bank telah mengamalkan aktiviti-aktiviti salah jual dengan secara agresif terutamanya produk pelaburan seperti dana bersama, saham dan polisi insurans kepada pendeposit mereka, tanpa mendedahkan risiko yang terlibat dengan telus dan secukupnya. Ini boleh menyebabkan pengguna kehilangan simpanan mereka atau tidak dapat mengaksesnya apabila diperlukan.


 

Dr Ong Tze San
         Prof Dr Ong Tze San

 


Akta Perkhidmatan Pengguna Kewangan 2013 bertujuan untuk menangani isu ini dengan mengenakan syarat ketat ke atas institusi kewangan untuk memastikan mereka bertindak demi kepentingan pelanggan mereka.

 

Akta ini ialah satu perundangan penting yang bertujuan untuk melindungi pengguna dalam sektor kewangan.

 

Akta tersebut mengehendaki institusi kewangan mendedahkan maklumat tentang produk dan perkhidmatan mereka dengan cara yang jelas dan ringkas, untuk memastikan pengguna boleh membuat keputusan termaklum.

 

Ia juga memperuntukkan penubuhan mekanisme penyelesaian pertikaian, yang membolehkan pengguna mendapatkan ganti rugi bagi rungutan yang berkaitan dengan perkhidmatan kewangan.

 

Di samping itu, Akta tersebut mengehendaki institusi kewangan mendapatkan maklumat yang mencukupi tentang situasi kewangan dan matlamat pelaburan pelanggan mereka sebelum mengesyorkan sebarang produk pelaburan.

 

Ini amat penting dalam kes pendeposit, yang mungkin tidak mempunyai tahap pengetahuan atau pengalaman yang memadai dalam bidang pelaburan.

 

Dengan mengehendaki bank mengambil pendekatan yang lebih proaktif untuk memahami keperluan dan matlamat pelanggan mereka, Akta ini membantu memastikan pelanggan tidak tertakluk kepada risiko yang tidak perlu.

 

Akta ini juga menyediakan perlindungan yang lebih menyeluruh kepada pengguna sekiranya berlaku pertikaian dengan institusi kewangan seperti bank.

 

Akta Perkhidmatan Pengguna Kewangan 2013

 

Ia mewujudkan mekanisme penyelesaian pertikaian bebas untuk menyelesaikan aduan dan pertikaian antara pengguna dan institusi kewangan, memastikan pengguna mempunyai akses kepada proses yang adil dan saksama untuk menyelesaikan pertikaian.

 

Secara keseluruhannya, Akta Perkhidmatan Pengguna Kewangan 2013 memainkan peranan penting dalam melindungi pengguna daripada salah jual oleh bank dan institusi kewangan lain.

 

Di samping itu, Akta Perkhidmatan Pengguna Kewangan 2013 juga menyediakan pampasan untuk pengguna yang mengalami kerugian akibat salah jual. Institusi kewangan dikehendaki mewujudkan prosedur pengendalian aduan yang membolehkan pengguna membuat aduan dan mendapatkan penyelesaian.

 

Prosedur ini mesti telus dan boleh diakses, dan institusi kewangan mesti mengambil langkah yang munasabah untuk menyelesaikan aduan dengan cara yang cekap, tepat pada masa.

 

Akta ini juga memperuntukkan langkah penguatkuasaan yang diambil terhadap institusi kewangan yang terlibat dalam amalan tidak adil dan menipu. Ini termasuk denda, penalti dan sekatan lain yang mungkin dikenakan oleh pengawal selia. Langkah-langkah ini direka untuk menghalang institusi kewangan daripada terlibat dalam amalan yang berbahaya kepada pengguna.

 

Walau bagaimanapun, adalah penting untuk diperhatikan bahawa undang-undang perlindungan pengguna hanya berkesan apabila ia dikuatkuasakan.

 

Institusi kewangan yang terlibat dalam salah jual mesti bertanggungjawab atas tindakan mereka, dan pengguna mesti diberi kuasa untuk mendapatkan ganti rugi dalam hal demikian.

 

Ini memerlukan rangka kerja kawal selia yang kukuh dan berkesan, serta pendidikan dan advokasi pengguna untuk memastikan pengguna menyedari hak mereka dan dapat melindungi diri mereka sendiri.


 

parafrasa

 


Kesimpulannya, Akta Perkhidmatan Pengguna Kewangan 2013 merupakan satu perundangan penting yang memainkan peranan mustahak dalam melindungi pengguna dalam sektor kewangan.

 

Ia menyediakan urus niaga kewangan yang lebih telus dan jelas kepada pengguna, dan memastikan bahawa mereka tidak tertakluk kepada amalan tidak adil dan menipu.

 

Peruntukan Akta yang berkaitan dengan salah jual produk pelaburan oleh bank kepada pendeposit mereka adalah amat penting, kerana ini merupakan masalah yang telah menjejaskan ramai pengguna pada masa kini.

 

Dengan adanya Akta ini, adalah diharapkan pengguna akan mempunyai keyakinan yang lebih besar dalam sektor kewangan serta hak dan kepentingan mereka dilindungi. – DagangNews.com