PRU15: Parti yang terbukti mampu urus ekonomi berpotensi menang | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 22 October 2022

PRU15: Parti yang terbukti mampu urus ekonomi berpotensi menang

Sin Chew Jit Poh, Nanyang Siang Pao dan Oriental Daily 19-21 Okt 2022

 

 

 

MALAYSIA akan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 19 November 2022 sebagai hari pengundian.

 

Walaupun berdepan dengan risiko banjir kerana pilihan raya diadakan pada musim tengkujuh, alasan yang diberikan oleh kerajaan adalah ‘negara perlu memulihkan kestabilan politik’.

 

Di Malaysia, kestabilan politik pada umumnya dilihat sebagai penguasaan satu parti sahaja. Sebelum tahun 2008, parti pemerintah berkuasa dengan majoriti dua pertiga.

 

Kemudian sejak tahun 2020, tiada blok parti yang telah memenangi walaupun dengan majoriti mudah dalam Parlimen dan keadaan ini menimbulkan keresahan para pengundi.

 

Pada tahun 2018, apabila Barisan Nasional (BN) yang diterajui UMNO berjaya disingkirkan selepas lebih 60 tahun memerintah, ramai yang berharap Malaysia akan mewujudkan sistem dua parti yang stabil antara BN dan Pakatan Harapan (PH) seperti  amalan di United Kingdom dan Amerika Syarikat.

 

Bagaimanapun, kedua-dua pakatan parti ini berpecah-belah sehingga berlakunya ‘Parlimen tergantung’ selama dua setengah tahun yang lalu.

 

 

apa

 

 

Jadi pada PRU kali ini, tiga pakatan parti politik akan bersaing untuk pemerintahan negara manakala tiga blok parti di Sabah dan Sarawak akan menjadi ‘king maker’. Adakah pilihan raya kali ini dapat mengembalikan kerajaan majoriti mudah?

 

Jawapannya, tidak! Ini kerana parti-parti politik di Malaysia Timur mempunyai rancangan dan hala tuju mereka sendiri.

 

Menurut ramalan penganalisis, tiga blok parti Borneo iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) dijangka akan memenangi sekurang-kurangnya 45 hingga 57 kerusi.

 

Melainkan BN, PH atau Perikatan Nasional (PN) boleh memenangi 100 daripada 165 kerusi di Semenanjung, jika tidak tiada pakatan yang boleh meraih majoriti mudah 112 daripada 222 kerusi Parlimen.

 

GPS mempunyai hubungan yang rapat dengan BN manakala GRS yang diketuai oleh Parti Pribumi Bersatu Sabah (PPBM) – sebuah parti berasaskan Semenanjung Malaysia.


 

apa

 


Jika tiada pemenang yang jelas, kedua-dua parti ini boleh sahaja membuat rundingan dengan pakatan yang lain untuk mendapat tawaran yang terbaik.

 

Tetapi ini bukan bermakna berita buruk untuk kestabilan politik Malaysia. ‘Parlimen tergantung’ adalah perkara biasa di Eropah dan beberapa buah negara Komanwel, rata-rata mempunyai kestabilan politik, ekonomi dinamik dan keterangkuman sosial.

 

Contohnya di Jerman, sejak pilihan raya pertama 1949, negara itu telah berhadapan dengan 20 kali Parlimen tergantung dan 21 kali kerajaan campuran.

 

Namun Jerman merupakan negara kuasa ekonomi di Kesatuan Eropah (EU). Begitu juga di New Zealand yang kaya, inklusif dan stabil walaupun mempunyai lapan kali Parlimen tergantung sepanjang suku abad yang lalu, dan juga berapa kali kerajaan minoriti.

 

Di Malaysia pula sejak 2020, Parlimen tergantung yang sama telah melahirkan dua kerajaan yang sangat berbeza.

 

Satunya adalah daripada UMNO iaitu Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, manakala sebelumnya ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin dari Bersatu.


 

apa

 


Rejim Muhyiddin selama 17 bulan dibina atas pengkhianatan PH dan ditambah pula dengan kegagalan percubaan pemimpin PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memancing ahli Parlimen lompat parti.

 

Keadaan ini menyebabkan Parlimen tergantung selama lapan bulan, dan berakhir apabila UMNO dan Bersatu bergabung untuk menamatkan kemelut persaingan ini.

 

Selepas hampir setengah tahun bergolak, Ismail Sabri akhirnya tidak dapat menahan tekanan daripada parti sendiri, menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi pembubaran Parlimen dan membuka jalan untuk PRU15.

 

Di sebalik keyakinan UMNO yang tinggi, persoalannya mampukah UMNO menahan kemarahan pengundi terhadap pilihan raya semasa musim tengkujuh?

 

Di Twitter, hashtag #PRUBanjir telah menjadi topik trending keempat di Malaysia.

 

Mengadakan pilihan raya pada musim hujan sudah pasti menyukarkan mangsa banjir untuk keluar mengundi.

 

Bagaimanapun, penganalisis secara amnya bersetuju bahawa peratusan keluar mengundi yang rendah biasanya akan memihak kepada BN, parti yang mempunyai sokongan teras terbesar.

 

 

apa

 

 

Pada masa ini, UMNO secara umumnya optimis kerana mempunyai mekanisme penggemblengan akar umbi kuat di kawasan luar bandar yang boleh membawa kemenangan kepada BN.

 

Tetapi kenyataan kontroversi Presiden UMNO, Zahid Hamidi semasa Perhimpunan Agung MIC baru-baru ini boleh mengubah gambaran keseluruhan.

 

Beliau menyifatkan PRU15 adalah yang paling penting dan memberi amaran jika UMNO tewas, semua kepimpinan komponen BN akan menghadapi perbicaraan di mahkamah. 

 

PRU15 bukan lagi medan perang antara BN dan PH, tetapi situasi sekarang adalah ‘pelbagai parti, pelbagai pakatan’.

 

Hampir setiap kerusi bakal menyaksikan pertandingan tiga atau empat penjuru. Apa yang pasti, kekuatan BN semakin lemah selepas 2018 daripada 14 komponen parti kini hanya tinggal empat  parti komponen.

 

Jika dulu BN tidak akan sesekali berunding dengan parti-parti luar komponen, tetapi hari ini cuba memancing PAS dan melihat muka parti-parti di Malaysia Timur.

 

Pada PRU kali ini, taburan undi yang disebabkan oleh perpecahan parti politik adalah pembolehubah yang besar.

 

Tetapi perlu ditekankan juga, pembolehubah yang tidak dapat diramalkan ialah kecenderungan ‘pengundi pertama’. King maker yang baru ini juga mempunyai kuasa membuat keputusan paling penting untuk menentukan siapa yang akan memerintah Putrajaya. 

 

 

apa

 

 

Ramai orang beranggapan pengundi pertama adalah pengundi ideal dan progresif, yang akan memberi keuntungan kepada parti pembangkang.

 

Ada juga yang percaya keterbukaan kepada maklumat dan pengundi pertama akan menyerap maklumat sendiri kemudian membuat pertimbangan bebas. Tetapi andaian di atas sebenarnya adalah salah.

 

Pengundi pertama kali ini sedang berdepan dengan kesukaran hidup yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Inflasi yang menyebabkan harga barangan, pakaian, rumah dan pengangkutan naik mendadak, namun tiada peningkatan yang sepadan dalam pendapatan.

 

Jadi, mana-mana pihak yang menawarkan penyelesaian terbaik dan meyakinkan mereka, satu undi pasti dalam genggaman kerana PRU15 adalah perjuangan untuk kelangsungan hidup.

 

Matlamat PRU adalah untuk membentuk Malaysia yang terbaik di kala tempoh yang paling teruk. Kita perlu mengelakkan kebangkitan semula hegemoni politik akibat kekecewaan terhadap keseimbangan politik.

 

Selain itu perlu untuk memastikan hubungan antara pusat dan negeri mempunyai semak dan imbang, bukannya menjadi bandwagoning.

 

Tidak membenarkan satu parti menang besar atau mempunyai majoriti dua pertiga kerusi Parlimen, sebenarnya memberi kepentingan untuk negara dan rakyat jua.

 

 

apa

 

 

Dalam menghadapi PRU15, pasang surut antarabangsa merangsang otak kita untuk berfikir. Parti politik mana yang benar-benar bekerja dan patut diundi.

 

Dalam pilihan yang banyak kali ini, pengundi mesti mempunyai idea yang jelas di hati mereka. Iaitu selepas parti ini berkuasa, berapa banyak kebebasan yang sanggup diberikan kepada kita, bukannya terperangkap dalam kotak berterusan patuh dan mengangguk tanpa syarat terhadap kejahilan ahli-ahli politik. - DagangNews.com

 

 

 

Artikel ini disiarkan di dalam akhbar Sin Chew Jit Poh, Nanyang Siang Pao dan Oriental Daily 19-21 Okt 2022 dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini. 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA

Portfolio Tags