PRU15: Mengapa hanya TPM, apa salah terus jadi PM? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 29 October 2022

PRU15: Mengapa hanya TPM, apa salah terus jadi PM?

Sin Chew Jit Poh dan Oriental Daily 25-28 Okt 2022

 

 

 

SEJAK Pilihan Raya Utama (PRU) 2008, kebangkitan parti pembangkang dan perubahan landskap politik di Semenanjung Malaysia, membuatkan kedudukan politik di Malaysia Timur menjadi semakin penting. 

 

Selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2020, parti-parti politik di Malaysia Timur semakin ‘berkuasa’ kerana sesiapa sahaja yang memerintah perlu menjaga mereka.

 

Ini adalah realiti politik. Jika dulu UMNO dominan, parti-parti politik di Malaysia Timur hanya dipandang sekadar ‘bunga hiasan’.

 

Sudah tentu waktu itu, UMNO boleh sahaja mengabaikan rakan politiknya dari seberang Laut China Selatan itu.

 

Tetapi hari ini segalanya berbeza kerana selepas PRU2008, dengan keadaan Barisan Nasional (BN) dan UMNO yang hampir tumbang dan situasi politik di Semenanjung hancur berpecah belah.

 

Sama ada BN mahupun PH terpaksa bergantung kepada parti-parti politik di Malaysia Timur, barulah mempunyai harapan untuk jejak kaki ke Putrajaya.

 

Oleh kerana status politik Malaysia Timur semakin meningkat, maka BN dan PH bersaing untuk mendekatkan diri.


 

PMO

 


BN memberitahu jika berjaya mengambil alih semula Putrajaya, Malaysia akan mempunyai timbalan perdana menteri (TPM) masing-masing dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

 

Begitu juga dengan PH, enggan kalah dengan menjanjikan jawatan TPM dari Semenanjung dan seorang dari Malaysia Timur. 

 

Tidak dinafikan menyemai janji jawatan TPM dari Malaysia Timur adalah satu pertimbangan politik yang munasabah demi untuk menarik sokongan parti politik di negeri itu.

 

Persoalannya, adakah jawatan tersebut cukup untuk membuatkan parti politk Malaysia Timur ‘tersentuh hati’?

 

Dengan melantik TPM dari Malaysia Timur, sekurang-kurangnya dapat mendekatkan hubungan dengan Semenanjung Malaysia dan memperkukuhkan lagi konsep Keluarga Malaysia.

 

Namun untuk mencapai kejayaan di atas, TPM Malaysia Timur perlu memiliki kuasa tertentu untuk menjaga kepentingan semua rakyat.

 

Jika hanya sekadar nama TPM sahaja tetapi keberadaannya hanya di Malaysia Timur, keadaan ini tidak akan membantu memecahkan jurang dengan Semenanjung Malaysia.

 

Jawatan TPM menjadi persaingan ahli-ahli politik kerana kedudukannya sebagai ‘pengganti’.


 

dun sarawak
Dewan Undangan Negeri Sarawak

 


Sejak merdeka, TPM akan menjadi ‘waris pertama’ jawatan perdana menteri (PM). Dengan mengandaikan selepas PRU15, kerajaan yang memerintah akhirnya melantik dua atau tiga TPM, sudah tentu salah seorang sahaja yang akan menjadi pengganti PM dan calon tersebut kemungkinan besar adalah dari Semenanjung Malaysia.

 

Makanya kuasa sebenarnya masih lagi terletak di tangan ahli politik Semenanjung Malaysia. 

 

Dari segi kepentingan politik, jawatan TPM mungkin tidak banyak mendatangkan faedah kepada parti-parti politik di Malaysia Timur. Tetapi ia amat berguna dalam menggalakkan permuafakatan nasional.

 

Konsep yang sama juga sebenarnya boleh digunakan untuk ‘timbalan perdana menteri Cina-India’. Namun kerana TPM adalah pengganti PM, jadi adalah mustahil jawatan ini diberikan kepada Cina atau India.

 

Bagaimanapun jika ingin melakukan perubahan, membuang istilah ‘pengganti/waris’ dan melantik TPM dari kalangan kaum Cina dan India wajar dipertimbangkan. 

 

Ini kerana perubahan ini pastinya akan dapat mengukuhkan lagi kesedaran bahawa Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum selain membantu menghapuskan sentimen perkauman.


 

dun sabah
Dewan Undangan Negeri Sabah

 


Semakin kita menghampiri PRU15, semakin jelas wajah-wajah veteran politik yang masih tidak jemu-jemu mengintai jawatan PM.

 

Mereka termasuklah Ismail Sabri, Anwar Ibrahim, Tun Dr. Mahathir dan Muhyiddin Yassin. Sudah tentu dalam senarai itu kita tidak nampak calon daripada kaum lain seperti Cina, India, Iban, Kadazan dan lain-lain.

 

Ini adalah realiti politik di Malaysia pada hari ini, PM bukan dari kalangan kaum Melayu adalah mengarut dan mustahil.

 

Rishi Sunak menjadi Perdana Menteri Britain pertama dari kalangan bukan berkulit putih. Beliau terpilih kerana pengetahuan, keupayaan dan kekuatan sumber kewangannya, langsung tiada kaitan dengan warna kulit.


 

Rishi Sunak
                                                Rishi Sunak

 


Jika di Amerika Syarikat ada presiden kulit hitam dan perdana menteri berketurunan India di Britain, perkara yang mustahil secara beransur-ansur akan menjadi realiti sejajar dengan peredaran masa.

 

Pun begitu, dengan penambahan jawatan TPM dari Malaysia Timur, sudah menjadi satu kejayaan politik yang besar.

 

Kita sebelum ini tidak pernah ada TPM dari Malaysia Timur, jika jawatan ini benar-benar diwujudkan, apakah kuasa yang akan ada padanya?

 

Sudah tentu niat utama cadangan jawatan ini adalah untuk meredakan emosi rakyat di Malaysia Timur, agar mereka rasa dihargai dan yang paling penting adalah untuk tarik undi.

 

Reaksi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berhubung cadangan ini sangat berterus terang dan padat, “jika tiada kuasa sebenar, hanya sekadar jawatan bersifat rasmi sahaja tidak akan memberi sebarang makna.”


 

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg
                               Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg

 


Jawatan rasmi dengan kuasa sebenar adalah penting, tetapi perkara yang lebih penting lagi adalah siapa calon yang akan memegang jawatan tersebut. Sama ada TPM atau PM, sifat dan gaya pentadbirannya menjadi keutamaan.

 

Apabila UMNO dan PH berterusan menjaja tiket TPM kepada pemimpin Malaysia Timur, ramai wakil politik daripada parti Malaysia Timur mempersoalkan, mengapa tidak membiarkan terus rakyat Malaysia Timur memegang jawatan PM?

 

Persoalan yang sama turut kedengaran dalam kalangan penganalisis politik. Sejujurnya selagi seorang pemimpin itu boleh memberi khidmat kepada negara dan rakyat, jadi pemimpin dari negeri mana atau wilayah mana yang dilantik sebagai PM tidak akan mendatangkan sebarang masalah.

 

Dalam PRU kali ini, rakyat dapat merasai terdapat risiko untuk mengembalikan kekuatan UMNO. Mengetahui kepentingan mengekang hegemoni UMNO, rakyat Malaysia Timur sudah tentu akan menggunakan undi mereka dengan baik dan menumpukan usaha untuk mengukuhkan kedudukan di peringkat Nasional, supaya mewujudkan situasi yang menguntungkan semua rakyat. - DagangNews.com

 

 

 

Artikel ini disiarkan di dalam akhbar Sin Chew Jit Poh dan Oriental Daily 2528 Okt 2022 dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini. 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA

apa

 

Portfolio Tags