PRU15: BN masih mendahului, kata Sin Chew dan Nanyang | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 5 November 2022

BN masih mendahului, kata Sin Chew dan Nanyang

 

 

 

 

SETIAP kali apabila tiba pilihan raya, pilih calon atau parti sering menjadi isu perdebatan berterusan antara parti pemerintah dan pembangkang.

 

Jika perkhidmatan wakil rakyat menjadi pertimbangan, maka pengundi akan memilih ‘calon’.

 

Sebaliknya jika pertimbangan pengundi adalah individu yang boleh berdebat dan membawa isu-isu besar di Parlimen, maka hala tuju undi adalah kepada ‘parti’.


 

PRU15

 


Jadi bagaimana pula dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, pengundi akan memilih calon atau parti?

 

Selepas melihat senarai calon Barisan Nasional (BN) yang diumumkan oleh Presiden BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, ibarat melempar bom jangka kepada parti sendiri.

 

Jelas sekali menunjukkan peluang untuk Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kembali sebagai perdana menteri (PM) adalah sangat tipis sekali.

 

Semua menteri UMNO, penyandang asal Parlimen dan pemimpin peringkat bahagian yang tidak sehaluan dengan Zahid dan menyokong Ismail Sabri, tidak dicalon semula untuk bertanding.

 

Jika dulu pengundi yang menyokong UMNO terutamanya dalam kalangan konservatif dan luar bandar, tiada pilihan terpaksa mengundi UMNO tanpa mengira siapa calon yang ditampilkan.

 

Tetapi zaman telah berubah, UMNO kini berdepan saingan daripada Bersatu. Walaupun kekuatan akar umbi Bersatu jauh lebih rendah daripada UMNO, namun pada asasnya kedua-dua mempunyai akar yang sama.

 

 

PM

 

 

Selepas nama diumumkan, terdapat 7 orang bekas menteri dan timbalan menteri yang ‘digugurkan’ daripada bertanding. Mereka pasti ada perasaan dendam dalam hati, apatah lagi Zahid langsung tidak memberi kata-kata ‘pujukan’, sebaliknya memberi amaran jangan menjadi ‘pengkhianat UMNO’ , kerana dulu parti telah memberi mereka peluang.

 

Jika melihat dari susun atur Zahid, beliau sudah tidak boleh bertolak ansur kerana sebagai Presiden UMNO yang tidak dapat memegang jawatan PM.

 

Jadi ketujuh-tujuh menteri dan timbalan menteri yang ‘pro Ismail Sabri’ diusir terlebih dahulu, kemudian menghantar Khairy Jamaluddin menyerang kerusi Parlimen Sungai Buloh di mana pada PRU14 BN hanya memperolehi 21.4% undi – PKR 55.97%.

 

Prestasi Khairy Jamaluddin semasa menjadi menteri adalah sangat baik dan mendapat pengiktirafan rakyat.

 

Sekiranya Zahid menggugurkan terus namanya, sudah tentu akan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat.

 

Jadi menghantar Khairy ke Sungai Buloh adalah cara yang paling ‘bijak’. Jika menang dapat menambah kerusi UMNO, jika kalah anggap sahaja duri dalaman ini telah dihapuskan.

 

Khairy adalah seorang pemimpin yang disenangi oleh rakyat, mempunyai imej baik dan populariti juga tinggi.

 

Jika UMNO benar-benar menghargai aset ini, sepatutnya beliau diletakkan di kawasan yang selamat untuk memastikannya dapat masuk ke Parlimen.

 

Namun tindakan Zahid mempamerkan satu mesej yang kuat dan Khairy pastinya tahu maksud tersirat.

 

Pakatan Harapan

Bercerita mengenai Pakatan Harapan (PH) pula, baru-baru ini Timbalan Presiden PKR , Rafizi Ramli memberitahu berdasarkan kepada data yang dimilikinya, PH dijangka dapat memenangi 100 kerusi di Semenanjung.

 

 

rafizi

 

 

Jadi pakatan itu hanya perlu memenangi 12 lagi kerusi di Malaysia untuk kembali mentadbir dengan majoriti mudah.

 

Bagi mereka yang tidak menyukai PH, pasti menganggap Rafizi bermimpi di siang hari.

 

Tujuan sebenar Rafizi adalah untuk memberi sokongan moral dan mempertahankan benteng semangat parti yang jelas sekali hampir runtuh.

 

Adakah 100 kerusi yang diramal oleh Rafizi benar-benar akan menjadi milik PH?

 

Jika dikira mengikut kerusi yang dimenangi PH di Semenanjung pada PRU14 (termasuk 13 kerusi yang dimenangi Bersatu), dan 14 kerusi yang tewas dengan margin tipis, maka PH memang berpotensi menang lebih 100 kerusi.

 

Selain itu, peluang baik kepada PH juga apabila UMNO menyingkirkan menteri dan timbalan menteri daripada bertanding.

 

Keadaan ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada UMNO, kerana meskipun undi emosi penyokong UMNO tidak diberikan kepada PH, tetapi boleh menurunkan jumlah undi BN.

 

PH masih boleh mempertahankan kerusi asal dan kemungkinan kerusi yang tewas tipis juga boleh ditembusi. Walaupun masalah dalaman UMNO tidak semestinya memberi bonus kepada PH, tetapi yang paling menderita adalah parti UMNO sendiri.

 

Perikatan Nasional

Sementara itu, Perikatan Nasional (PN) adalah yang paling lemah antara tiga gabungan utama.

 

 

PN

 

 

Akar umbi Bersatu secara keseluruhannya masih belum kuat dan kukuh.

 

Paling tidak PN terpaksa bergantung dengan kekuatan PAS terutamanya di kawasan Kelantan, Terengganu dan Kedah.

 

Pengaruh di negeri-negeri lain masih lagi terhad.  Sudah cukup baik, jika PN boleh mendapat 15 hingga 20 kerusi dalam PRU kali ini.

 

GTA bukan kingmaker

Bagi gabungan parti politik dikenali Gerakan Tanah Air (GTA) pimpinan Tun Dr. Mahathir pula, sukar untuk membuat perubahan besar. Keputusan yang terbaik mungkin boleh menang 2 atau 3 kerusi sahaja, bukan sebagai ‘king-maker’ PRU15.

 

Jika melihat pilihan raya Parlimen di Semenanjung sebagai permainan catur, UMNO dan PH masing-masing mempunyai ‘kawasan pasti menang’, manakala Bersatu pula tiada.

 

Jadi situasi di Semenanjung adalah pertembungan antara 2 blok gabungan kuat ini, dan UMNO/BN masih lagi mendahului. 

 

 

apa

 

 

Bagaimanapun, andai kata pemimpin akar umbi UMNO tidak berpuas hati dengan percaturan Zahid, keadaan mungkin akan berbeza. Akar umbi yang tidak keluar mengundi akan memberi peluang kepada PH menewaskan UMNO/BN menerusi undi bukan Bumiputera.

 

 Tetapi sekiranya akar umbi UMNO memberi undi kepada Bersatu, maka Bersatu mungkin akan menonjol.
 

BN di depan

PRU15, BN mungkin tidak boleh mentadbir secara bebas namun yang pasti masih lagi akan mendahului tiga blok utama.

  1. Tiada lagi aura Mahathir
  2. Najib telah dipenjarakan jadi isu rasuah sukar membangkitkan sentimen
  3. Perpecahan PH telah membawa kepada pertempuran tiga penjuru yang tidak menguntungkan PH dan PN.
  4. DAP tidak lagi berada dalam situasi menggenggam ‘95% undi Cina’ dan usaha untuk menembusi kawasan Melayu juga masih belum membuahkan hasil.
  5. PH masih perlu bergantung kepada DAP kerana melihat kepada situasi PRN Melaka dan Johor yang lepas, undi Melayu PKR adalah terhad.

 

Kesimpulannya, pengundi Melayu akan mengundi PN jika mereka tidak mengundi BN.

 

Tinjauan yang dijalankan oleh Ilham Centre dan O2 Research Malaysia (02) telah jelas memberitahu bahawa pilihan kedua pengundi Melayu adalah PN!

 

Tinjauan pendapat rata-rata menunjukkan rakyat sangat mengambil berat isu berkaitan dengan ‘sara hidup’.

 

Yang lain termasuklah isu pendidikan, kestabilan politik, keharmonian kaum, hutang negara dan kadar pertukaran asing serta menghapuskan budaya rasuah dalam kerajaan.

 

pru15

 


Tetapi melihat kepada beberapa video terbaru, sesetengah parti politik masih lagi tidak mengubah tabiat ‘menggunakan mulut’ menyelar pihak lawan dan angkuh mempromosikan kejayaan diri.

 

Tidakkah pengundi lama-kelamaan rasa jelik?

 

Kita tunggu keputusannya pada 19 November nanti. - DagangNews.com

 

 

 

Artikel ini disiarkan di dalam akhbar Sin Chew Jit Poh dan Nanyang Siang Pao 1-4 November 2022 dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini. 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA

apa

 

Portfolio Tags