PM yakin Malaysia mampu catat pertumbuhan ekonomi 7% tahun ini | DagangNews Skip to main content

PM yakin Malaysia mampu catat pertumbuhan ekonomi 7% tahun ini

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

MELAKA 14 Okt - Malaysia muncul antara negara yang menyaksikan prestasi ekonomi terbaik di Asia Tenggara dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 8.9% pada suku kedua berbanding 5.0% pada suku pertama 2022, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Perdana Menteri berkata, beliau juga yakin ekonomi negara tahun ini mampu mencapai sasaran KDNK antara 6.5 hingga 7% dengan mengambil kira pencapaian separuh pertama tahun 2022 sebanyak 6.9%.

 

Beliau berkata, kejayaan itu disahut oleh Bank Dunia yang telah menyemak semula unjuran KDNK bagi tahun 2022 kepada 6.4% berbanding 5.5% yang diunjurkan pada bulan Mac lalu.

 

"Berkat kerjasama Keluarga Malaysia serta kecekapan kerajaan dalam mentadbir negara, dalam tempoh lebih setahun ini telah mencatat banyak kejayaan meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran luar biasa.

 

"Alhamdulillah, Malaysia juga diiktiraf sebagai negara ke-18 paling aman di dunia daripada 163 negara dan kedua di Asia berdasarkan Indeks Keamanan Global (GPI) 2022, yang menjadi ukuran utama kedamaian global di dunia. Ini merupakan pencapaian terbaik Malaysia sejak GPI diperkenalkan pada tahun 2008.

 

"Pembangkang mendakwa, kononnya Malaysia bukan lagi destinasi pelaburan asing. Namun bagi separuh pertama 2022, pelaburan langsung asing (FDI) mencatat aliran langsung bersih lebih tinggi bernilai RM47.4 bilion," katanya ketika berucap merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Melaka di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, hari ini.

 

Menurut Ismail Sabri, kerajaan juga sentiasa memantau kesan inflasi kepada harga barangan asas hingga berjaya mengawalnya ke tahap lebih rendah berbanding negara serantau.

 

Beliau berkata, dalam tempoh setahun, Kerajaan Keluarga Malaysia telah berjaya mengembalikan pasaran buruh ke tahap guna tenaga penuh. 

 

 

PM
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

 

 

Menurutnya, kadar pengangguran telah menurun untuk 12 bulan berturut-turut iaitu 3.7% pada Julai 2022, berbanding 4.8% pada Julai 2021.

 

"Bagi meringankan beban Keluarga Malaysia, kerajaan menyalurkan subsidi sebanyak RM77.7 bilion. Subsidi terbesar dalam sejarah. Daripada jumlah itu, lebih 50% adalah untuk subsidi petrol, diesel dan LPG iaitu RM41.7 bilion, bantuan terus kepada rakyat seperti tunai, pendidikan, pengangkutan dan pertanian bernilai RM25.7 bilion dan RM5.8 bilion untuk tarif elektrik," katanya.

 

Beliau berkata, pada sesi pembentangan Bajet 2023 yang bertemakan “Keluarga Malaysia, Makmur Bersama” yang lepas, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM372.3 bilion, bajet terbesar dalam lipatan sejarah negara. 

 

"Peruntukan ini mencakupi semua lapisan masyarakat bagi memastikan tiada Keluarga Malaysia tertinggal. Daripada seawal usia dalam kandungan sehinggalah warga emas, golongan B40, golongan M40, peniaga diceruk desa sehinggalah konglomerat di tengah kota, semuanya mendapat manfaat," katanya.

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap merasmikan Jelajah AKM di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh pada 14 Oktober 2022. - Gambar RTM

 

 

Tambahnya, daripada jumlah itu, sebanyak RM1 bilion diperuntukkan bagi Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) untuk memenuhi sasaran Sifar Kemiskinan Tegar pada akhir tahun 2025.

 

Katanya, peruntukan itu meningkat lima kali ganda berbanding RM150 juta pada tahun ini bagi memastikan tiada ahli Keluarga Malaysia yang dipinggirkan.

 

"Fasa pertama BMTKM di Melaka, melibatkan dua lokaliti iaitu Jasin (Melaka Selatan) dan Alor Gajah (Melaka Utara) yang akan memanfaatkan 60 Ketua Isi Rumah (KIR).

 

"Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) pula akan terus ditambah baik yang akan memberi manfaat kepada 8.7 juta penerima dengan peruntukan sebanyak RM7.8 bilion, berbanding 5 juta penerima dengan peruntukan RM5 bilion pada tahun ini.

 

"Ini merupakan bantuan tunai yang terbesar dalam sejarah sehingga RM2,500 untuk setiap KIR yang mempunyai lima orang anak," katanya. - DagangNews.com