PKNPk bangunkan model penginapan pekerja berpusat pertama di Perak  | DagangNews Skip to main content

PKNPk bangunkan model penginapan pekerja berpusat pertama di Perak 

Asrama Murni @ Jelapang ini akan dijadikan model bagi membangunkan projek CLQ di kawasan-kawasan berpotensi lain di Perak.
Oleh ZAKI SALLEH 

IPOH 2 Dis - Perak melaksanakan projek pembangunan penginapan pekerja berpusat (CLQ) yang mampu menempatkan sehingga 12,000 pekerja asing di negeri ini dalam tempoh lima tahun akan datang.

 

Asrama Murni di Jelapang dekat sini merupakan projek rintis dengan kemudahan penginapan yang boleh menempatkan 368 orang pekerja.

 

Projek ini bagi menyokong sektor perindustrian yang semakin meningkat khususnya di Daerah Kinta. 

 

Ia dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dan kerajaan negeri secara usaha sama dengan Advancecon Holdings Bhd. 

 

 

asrama
Redza Rafiq (tiga dari kiri) menunjukkan pelan projek Asrama Murni kepada Saarani semasa melakukan tinjauan di sana semalam.

 

 

Ketua Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata, Asrama Murni @ Jelapang akan dijadikan model bagi membangunkan projek CLQ di kawasan-kawasan berpotensi lain di Perak.

 

Katanya, CLQ merupakan inisiatif pembangunan aset dan hartanah di bawah pelan transformasi Roadmap PKNPk. 

 

"Pengurusan aset dan fasiliti antara fokus kami dalam usaha mengukuhkan tawaran nilai aset dan hartanah di bawah Kumpulan PKNPk. 

 

"Kerjasama ini diharap dapat mengukuhkan kerjasama antara pihak awam dan swasta bagi penyediaan CLQ yang menepati piawaian dan kompetitif di negeri Perak," katanya dalam kenyataan.

 

Menurut beliau, bagi mengukuhkan lagi peranan PKNPk dalam segmen ini, anak-anak syarikatnya akan menjadi peneraju dalam menyediakan perkhidmatan nilai tambah kepada penyewa, sekali gus dapat menyumbang kepada sumber pendapatan negeri.

 

 

asrama
Kemudahan penginapan di CLQ selesa dan teratur mewujudkan persekitaran yang baik kepada pekerja asing.

 

 

Terdahulu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad hadir pada sesi taklimat dan lawatan ke Asrama Murni di sini semalam.

 

Kerajaan negeri merancang membangunkan model CLQ sama di sekitar kawasan perindustrian berskala besar dengan bilangan pekerja asing yang tinggi.

 

Antaranya Kawasan Estet Perindustrian Kerian, Taman Perindustrian Kamunting, Silver Valley Technology Park (SVTP), Tanjung Malim, Taman Perindustrian Bemban, Manjung dan Seri Iskandar. 

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Advancecon Holdings, Datuk Phum Ang Kia memberitahu, pihaknya berbesar hati apabila diberi peluang terlibat dalam projek berkenaan.

 

"Kami berharap kejayaan projek perintis ini akan membuka jalan kepada pembangunan di dalam negeri di samping meningkatkan produktiviti untuk membawa Perak ke hadapan," katanya. - DagangNews.com