Perjumpaan pimpinan UMNO tegang berikutan cadangan kerjasama dengan PH | DagangNews Skip to main content

Perjumpaan pimpinan UMNO tegang berikutan cadangan kerjasama dengan PH

KUALA LUMPUR 20 Nov – Pertemuan tidak rasmi antara pimpinan tertinggi Umno malam tadi dikatakan berakhir dengan ketegangan apabila ada antara mereka menolak cadangan mengadakan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

 

Cadangan mengadakan kerjasama dengan PH dibawa oleh seorang pemimpin tertinggi parti tersebut dan ditolak oleh sekumpulan pemimpin kanan UMNO.

 

Memetik sumber, portal Suara.tv melaporkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, antara yang keras membantah dan meninggalkan terus perbincangan.

 

Bagaimanapun Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid dijangka membawa cadangan ini kepada mesyuarat Biro Politik dan Majlis Kerja Tertinggi Umno hari ini.

 

UMNO sebagai teras Barisan Nasional (BN) tewas teruk dalam sejarah penubuhannya apabila hanya meraih 30 kerusi daripada 178 kerusi yang ditandinginya dalam PRU15.

 

BACA: MENTERI BESAR JOHOR DESAK ZAHID LEPASKAN JAWATAN PRESIDEN UMNO

 

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh mengisytiharkan tiada mana-mana parti memperoleh 50% daripada 219 kerusi Parlimen yang dipertanding atau majoriti mudah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

 

Berdasarkan keputusan rasmi sehingga 4.30 pagi ini, Pakatan Harapan (PH) memenangi 76 kerusi manakala parti gabungannya DAP di Sarawak mendapat lima kerusi dan MUDA menang satu kerusi, menjadikan keseluruhan 82 kerusi Parlimen diperoleh gabungan itu.

 

Gabungan Perikatan Nasional (PN) dan PAS pula memperoleh 73 kerusi Parlimen selepas masing-masing menang 51 dan 22 kerusi.

 

Selain itu, Barisan Nasional (BN) memperoleh 30 kerusi diikuti Gabungan Parti Sarawak (22), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Parti Bangsa Malaysia (satu) dan calon Bebas (dua).  - DagangNews.com