Mengenali. Mencintai. Menghargai tanah tumpahnya darah kita bersama | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 23 January 2023

MENGENALI. MENCINTAI. MENGHARGAI TANAH TUMPAHNYA DARAH KITA BERSAMA

 

 

 

DI awal tahun ini, saya bersama seluruh keluarga telah pergi bercuti ke Fraser’s Hill.

 

Sungguh nyaman keadaan di sana, dengan udara yang segar, pemandangan yang cukup menawan, bukit bukau diselaputi awan dan tiada hiruk-pikuk bandar raya yang kadangkala membosankan. 

 

pepohon gah mencakar langit
paku pakis gergasi menari lembut
irama air terjun memecah suasana

 

Saya bertakafur sejenak memikirkan betapa indah bumi Pahang ini dengan segala kecantikan alam semulajadi - Taman Negara. Fraser’s Hill. Gunung Tahan. Pantai Teluk Cempedak. Cerating. Sungai Pahang yang mengalir dari Banjaran Titiwangsa turun Semantan dan berakhir di Laut Cina Selatan (yang dulunya Laut Melayu - suatu kisah untuk di lain hari.)


 

Ninot Aziz

 


Semuanya berpotensi menjadi tarikan pelancong ke Negara kita - ini juga pastinya dapat menaik taraf ekonomi komuniti di Pahang jika diatur perancangan dengan baik.

 

Barangkali kita agak sedih melihat keadaan di Cameron Highland yang begitu tercabar disebabkan pembangunan dan pembukaan tanah yang tidak terkawal.

 

Kawasan tanah tinggi Cameron Highlands yang begitu tersohor kini  tercemar kelestariannya disebabkan  penerokaan tanah secara haram yang berleluasa.

 

Kawasan tanah di diusahakan secara rakus sewenang-wenangnya tanpa mempedulikan undang-undang dan hak milik. Antara akibat dari kurang keprihatinan dalam hal ini adalah tanah runtuh yang meragut nyawa dan harta, kekurangan sumber air dan penghakisan tanah.

 

Inilah contoh penggunaan khazanah semulajadi tidak bertanggung jawab yang merugikan komuniti itu sendiri.


 

Ninot Aziz

 


Sudah sampai masanya kita serius terhadap Sustainable Development Goals (SDG Goals 2030) atau Matlamat Pembangunan Mampan dalam memulihara destinasi serta khazanah semulajadi yang menjadi pengisian penting sektor pelancongan kita.

 

Sektor pelancongan tanggungjawab bersama 

Di seluruh dunia, pelancong kini inginkan pengalaman yang memberikan satu kepuasan berbeza - mendekatkan mereka dengan komuniti dan budaya setempat.

 

Mereka sedar tidak wajar bagi pelancong meninggalkan kesan buruk apabila melawat sesebuah destinasi. Semakin ramai pergi ke destinasi yang dahulunya sukar dilawat kini lebih mudah diakses.  

Peningkatan penggunaan media sosial memberi satu aspirasi kepada orang ramai untuk melancong, melawat saudara-mara berjauhan serta bekerja di luar negara. Ini  tentulah membawa kepada peningkatan sektor pelancongan. 

 

Ada baiknya. Dan juga kesan negatif di mana di seluruh dunia, memberi kesan kepada sumber, alam sekitar dan komuniti tempatan.

 

Pasca CCOVID-19, ini sesuatu yang amat ditunggu-tunggu kerana di peringkat global, sektor pelancongan telah dikenal pasti sebagai satu daripada penyumbang penting kepada ekonomi dan peluang pekerjaan.  Malah, sebelum wabak global COVID-19, industri ini menyumbang kira-kira 10% daripada KDNK global. 

 
 

Ninot Aziz

 


Nasib baik, lebih ramai pelancong dan mereka yang berkembara hari ini lebih cenderung ke arah pengalaman yang mampan, bersedia untuk menitik-beratkan tanggungjawab bersama dan menjaga kemampanan.  

 

Perjalanan sebegini kini menjadi penting, mendorong pengembara untuk mempertimbangkan kesan perjalanan mereka ke atas ekosistem dan komuniti.

 

Dengan mengamalkan falsafah ini, beberapa langkah kecil boleh memulihara persekitaran kita demi melindungi warisan semula jadi dan biodiversiti, menghormati keaslian sosiobudaya masyarakat tempatan dan perkhidmatan sosial, ke arah mengurangkan kemiskinan.

 

Seni dan budaya negeri Pahang

Pelancong datang ke negeri kita untuk mengenali kita dengan lebih dekat. Dari sajian yang berasal sejak turun temurun seperti masak tempoyak ikan patin, emping dan kuih badak berendam, inilah keunikan Negeri Pahang.

 

Novel Pak Sako, Sasterawan sejati, amat mendalam maksudnya. Di celah penceritaannya, kita kenali Gunung Tahan, puncak tertinggi di Pahang. Kisah Walinong Sari membawa kita menyusuri sungai bersama perjalanannya sepanjang Sungai Pahang dengan nostalgia.

 

Tarian Che Nor dan Joget menjadi kegemaran di Chenor. Dan kain tenun Pahang kebanggaan Ke Bawah Duli Seri Paduka Baginda Permaisuri Agong sesuatu tidak ternilai.

 

Inilah antara penawaran yang perlu kita pakejkan untuk para pelancong. Yang paling penting cerita-cerita indah setiap saat mereka di Pahang.

 

Malah, inilah aktiviti yang boleh dijalankan di kesemua negeri. Janganlah diharap pelancong shopping sahaja!

 

Sebuah kisah dari Pahang

Saya ingin melihat di sekolah-sekolah di Pahang meraikan kisah-kisah legenda di Pahang contohnya kisah Naga Tasik Chini, Puteri Walinong Sari, Tun Teja, Kisah Mat Kilau dan Datuk Bahaman, Kisah Tok Parit dan Tok Tembaga. Memang banyak kisah menarik sebegini - melalui kisah legenda anak bangsa dapat mengenal Tanah TumpahNya Darah Bersama dengan lebih dekat lagi.


 

chini
Tasik Chini di Pekan, Pahang menunjukkan kesan penebangan hutan yang mengancam ekosistem Chini

 


Mari saya ceritakan sebuah kisah pendek waris keluarga yang lama:

 

Tok Tangguk Bingkai Tembaga, Tok Parit nama diberi
Dari Hikayat Pahang, boleh keduanya dikenali

Menangkap lanun di Laut Melayu, kedua pun pergi
Dua puluh orang, harta Sultan tak habis habis dicuri

 

Naiklah ke perahu, Tok Tembaga berdiri di kepala
Diikat besi dipegang sauh, ada berpeti peti harta
Tok Tembaga bertempik, Wahai Lanun, cepat bersuara
Nak hidup ke mati Tuan Hamba semua

 

Lanun pun menjawab, ketakutan semuanya
‘Nak hidup Tok, Ampunkan kami Tok Tembaga
Terjun semuanya ke dalam laut dengan segera
Tok Parit  dan Tok Tembaga pun mengumpul harta

 

Pulang ke Istana…

 

 

Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : ninotaziz@gmail.com
 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA

Portfolio Tags