Memilih database relasional atau Data Raya? | DagangNews Skip to main content

Memilih database relasional atau Data Raya?

Oleh  Mohd Hafizan Musa

DENGAN pertumbuhan data yang semakin ketara dari semasa ke semasa pada hari ini timbul satu masalah tentang bagaimanakah cara yang paling sesuai untuk menyimpan dan menguruskan data-data tersebut.

 

Secara umumnya, relational database adalah satu teknologi storan simpanan data yang berpaksikan hubungan intersesi di antara kolum dan baris untuk mewakili satu data kecil.

 

Dicipta oleh E. F. Codd pada tahun 1970 dan ia masih lagi digunakan secara meluas sehingga ke hari ini.

 

Kolum dan baris ini akan disusun menjadi satu set berbentuk table yang terkait kepada satu objek atau entiti tertentu. Setiap data kecil ini akan disusun berdasarkan kepada kolum tertentu dan setiap kolum akan mempunyai nama dan jenis data yang berbeza-beza seperti integer, decimal, char, varchar dan lain-lain lagi.

 

Dengan adanya kelebihan ini, dapat dipastikan data yang berada di dalam kolum tersebut akan menggunakan jenis data yang sama dan sekata.

 

Bagi memastikan setiap data yang disimpan adalah unik, Database relasional menggunakan konsep kunci yang dipanggil primary key atau kunci utama. Kunci ini adalah penting untuk memastikan data yang dimasukan adalah unik dan tidak berulang sekaligus memastikan data yang disimpan di dalam storan kita adalah sangat berintegriti.

 

 

parafrasa

 

 

Setiap data ini tidak terikat dengan entiti mereka sendiri sahaja bahkan ia boleh dihubungkan dengan entiti-entiti yang lain.

 

Untuk menghubungkan sesebuah jadual kepada entiti lain yang berada di dalam storan, satu lagi kunci khas yang dipanggil kunci asing atau foreign key boleh digunakan.

 

Dengan syarat data yang berada di dalam kolum kunci asing ini perlulah ada di dalam jadual yang ingin dihubungkan itu terlebih dahulu.

 

Bagi memastikan data yang di simpan di dalam sesebuah database relasional itu selamat dan terjamin ada fitur khas yang disediakan beberapa aplikasi database relasional premium seperti Oracle dan Microsoft SQL yang dipanggil ciri-ciri backup.

 

Ciri ini adalah penting dan perlu dilakukan sekerap mungkin untuk memastikan data pendua disimpan dan selamat. Jika terdapat sebarang masalah pada storan utama, data ini boleh dikembalikan semula dengan menggunakan ciri restore.

 

Ini antara penyumbang utama di mana masih terdapat lagi ramai pengguna database relasional yang terdiri daripada pelbagai sektor lebih-lebih lagi daripada sektor perbankan sendiri yang yakin dengan ciri-ciri yang telah tersedia. Ciri-ciri ini akan memuat naik kesemua data dari file backup yang dijana sebelum ini.

 

 

parafrasa

 

 

Data Raya (Big data) adalah kumpulan data yang besar dan kompleks. Dari segi jumlah saiz data, data raya mempunyai jumlah data yang lebih besar iaitu saiz datanya bermula dari sekecil terabyte sehingga mencapai kepada exabyte.

 

Oleh kerana saiznya sangat besar jadi ia akan memberi kesukaran untuk perisian storan pangkalan data menyimpan dan menguruskan data-data yang disimpan.

 

Berbeza dengan storan relational database yang mana datanya disusun secara lebih berstruktur, data di dalam storan data raya adalah tidak berstruktur.

 

Tiada satu piawaian khas yang digunakan untuk menyimpan data di dalam storan ini. Ciri-ciri data raya lebih tertumpu kepada lima ciri utama iaitu saiz data (volume), kebenaran data (veracity), kelajuan (velocity), kepelbagaian (variety) dan nilai untuk sesuatu data (value).

 

 

parafrasa

 

 

Antara perbezaan yang paling ketara di antara storan database relasional berbanding storan secara data raya adalah dari segi saiz datanya yang jauh lebih besar untuk disimpan sesuai dengan konsep volume.

 

Selain itu, data yang diterima oleh storan secara data raya juga adalah pelbagai. Tidak seperti storan relasional yang hanya menerima data di dalam bentuk perkataan atau teks, storan data raya mampu menyimpan data dari sumber yang pelbagai seperti audio, gambar dan video.

 

Walaupun data yang disimpan adalah dalam jumlah yang besar dan juga pelbagai jenis data, storan data raya ini mempunyai kemampuan untuk menguruskan data-data dengan kadar yang pantas sesuai dengan ciri velocity.

 

Terdapat banyak kajian yang telah dijalankan kebelakangan ini untuk membandingkan kelajuan di antara storan secara relasional dan juga data raya ini. Secara umumnya, hasil menunjukan yang prestasi storan data raya lebih laju berbanding storan relasional sehingga 10 kali ganda lebih pantas.

 

Maka tidak hairanlah storan data raya ini lebih digemari oleh para penganalisis data yang memerlukan analisis data yang lebih banyak tetapi mampu mendapatkan hasil analisis yang diperlukan dalam kadar yang cepat.

 

Sehingga ke hari ini, terdapat lebih kurang 5 kategori untuk teknik storan utama yang berkonsepkan data raya ini iaitu, simpanan berdasarkan kunci utama (key-value), berdasarkan column (column-based), berdasarkan graft (graph-based), berdasarkan objek (object-stores) dan yang terakhir berdasarkan dokumen (document-based).

 

Setiap teknik ini mempunyai cara simpanan dan capaian data yang berbeza-beza di mana setiap satu teknik ini mempunyai kelebihan dan kekurangan yang tersendiri untuk disesuaikan dengan penggunaan yang pelbagai.

 

 

parafrasa

 

 

Walaupun dengan kemunculan Data Raya sebagai teknologi terkini di dalam bidang storan, sehingga kini penggunaan Database relasional masih lagi meluas dan kompak.

 

Ini kerana ia mampu untuk mematuhi prinsip ACID iaitu mampu untuk melakukan satu transaksi itu secara serentak (Atomic), konsisten (Consistent), mampu untuk menguruskan transaksi yang banyak dalam sesuatu masa (Isolated), dan ketepatan dan integriti data (Durable).

 

 

Untuk memastikan integriti data terjaga, Database relasional mensyaratkan bahawa transaksi akan terlaksana jika keseluruhan transaksi berjaya. Jika sebahagian transaksinya gagal, maka seluruh transaksi menjadi tidak sah. Prinsip ini adalah sangat penting untuk memastikan data yang ditulis di dalam storan adalah tepat. 

 

Maka dengan itu untuk sektor-sektor yang mementingkan integriti data seperti transaksi-transaksi penting seperti di bank-bank atau pengurusan maklumat-maklumat penting syarikat, mereka masih lagi memilih untuk menggunakan database relasional ini yang lebih menekankan keutamaan integriti data di dalam setiap transaksi yang dilakukan. – DagangNews.com

 

  

Mohd Hafizan bin Musa adalah pensyarah sains komputer dari Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik & Media, UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat.