Malaysia kurang tenaga kerja mahir pembangunan permainan video, animasi - Todak Academy | DagangNews Skip to main content

Malaysia kurang tenaga kerja mahir pembangunan permainan video, animasi - Todak Academy

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 29 Nov - Malaysia memerlukan lebih ramai pekerja berkemahiran tinggi khususnya dalam bidang pembangunan permainan video dan animasi berikutan permintaan tinggi dalam kalangan industri kreatif.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Todak Academy Sdn Bhd, Taufik Rizal Aminuddin berkata, ini kerana graduan sedia ada tidak memenuhi kehendak pasaran pekerjaan semasa berkaitan pembangunan permainan video dan animasi.

 

Beliau berkata, bagi menangani isu tersebut, Todak Academy dengan kerjasama rakan strategik UTMSPACE telah membangunkan program Diploma Profesional Pembangunan Permainan Video dan Animasi 3D berkonsepkan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dengan menggunakan perisian komputer terkini mengikut kriteria industri bagi membangunkan produk permainan video serta animasi. 

 

"Dengan adanya jalinan industri bersama Todak Studios Sdn Bhd dan Warnakala Studios, ia menjadikan program ini sejajar dalam memenuhi kehendak industri masa kini. 

 

"Program ini boleh disertai pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan juga golongan bekerja yang mempunyai minat dalam bidang ini. Todak Academy akan membuka pendaftaran kumpulan pertama seawal bulan Disember tahun ini dan kelas akan bermula pada Februari 2023. 

 

"Setelah tamat pembelajaran selama 1 tahun 8 bulan, graduan program ini akan dianugerahkan diploma dan Sijil Industri Todak. Graduan juga berpeluang utk mendapatkan Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3 bagi program animasi 3D apabila mengikuti pengajian ini tertakluk kepada kelayakan, terma dan syarat daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut Taufik Rizal, pihaknya yakin graduan daripada program ini akan dilengkapi dengan kemahiran tertinggi bagi memenuhi kehendak industri di dalam bidang pembangunan permainan video dan animasi. 

 

 

todak
                                   Taufik Rizal Aminuddin

 

 

"Ibu bapa tidak perlu khuatir dengan anak-anak yang mempunyai minat yang mendalam di dalam permainan video kerana wujudnya peluang kerjaya yang meluas dan juga mendatangkan hasil lumayan di dalam bidang ini. 

 

"Sebagai sebuah gergasi E-sukan di Malaysia, Todak Academy bersedia untuk membuka peluang pendidikan kepada peminat industri permainan video, animasi dan E-sukan demi menjamin masa depan karier rakyat di negara ini," katanya.

 

Dalam pada itu, beliau berkata, industri pembangunan permainan video dan animasi bertumbuh seperti cendawan yang mekar, berikutan statistik yang dikeluarkan oleh STATISTA (pembekal data pemasaran dan pengguna) bagi tahun 2022, jumlah penduduk dunia yang bermain permainan video mencecah 3.2 bilion. 

 

 

todak

 

 

"Populasi manusia ketika ini adalah seramai 8 bilion. Ini bermakna lebih kurang 40% adalah pemain permainan video. Mengikut nisbah 10 orang, 4 orang adalah pemain permainan video.

 

"Data ini sangat bermakna kepada peminat-peminat industri ini kerana terciptanya peluang kerjaya yang sangat meluas. Ini merupakan industri yang mana hobi boleh dikaitkan dengan kerjaya bagi golongan belia dan dewasa. 

 

 

todak

 

 

"Analogi yang mudah untuk difahami, ramai peminat bola sepak berjaya untuk mendapatkan peluang kerjaya di dalam industri bola sepak dunia," katanya.

 

Tambahnya, untuk mengukuhkan lagi data tersebut, sudah banyak syarikat pembangunan permainan video telah mengorak langkah di Malaysia, salah satunya Todak Studios yang berjaya menghasilkan permainan video buatan Malaysia.

 

 

todak

 

 

"Bukan mudah untuk mengahsilkan sebuah permainan video. Ia memerlukan tenaga kerja yang ramai serta kemahiran tahap tinggi unutk menggunakan perisian komputer yang sesuai bagi mencipta sebuah produk permainan video," katanya. 

 

Sebarang pertanyaan, orang ramai boleh melayari laman web www.todakacademy.com atau hubungi 03-82308002 untuk keterangan lanjut. - DagangNews.com